Thursday 21 September 2017

DAY 6 BORNEO UNITY RIDE 2017 Banjarmasin ke Sampit

Hari Keenam Borneo Unity Ride. Pergerakan hari ini dan seterusnya adalah kembara berpatah balik menuju Kuching, Sarawak setelah berada di penghujung Kalimantan Selatan iaitu di Banjarmasin. Selepas sarapan pagi di kafe hotel sekitar jam 7.25 pagi, kami memulakan perjalanan hari keenam dengan bacaan doa di perkarangan Hotel Treepark, Banjarmasin.

Doa dipanjatkan ke hadrat Illahi mohon diberi keselamtan dalam perjalanan
Lima belas minit kemudian kami tiba di Taman Siring Sungai Martapura untuk bergambar kenangan di nol kilometer Banjarmasin, satu daya tarikan pelancong yang baharu dibina di bandar Banjarmasin ini.


Nol kilometer Banjarmasin
Nol kilometer adalah tempat permulaan kilometer perjalanan dari Banjarmasin ke tempat-tempat yang dituju di luar Banjarmasin. Selepas melawat nol kilometer kami menuju Pertamina untuk mengisi petrol motosikal masing-masing.


Selepas bergerak hampir dua jam, kami singgah di jambatan terpanjang di Kalimantan Selatan untuk bergambar. Jam menunjukkan pukul 10.30 pagi dan cuaca agak baik pagi ini. Jambatan ini sebenarnya adalah jalan raya yang ditinggikan kerana kawasan berpaya sejauh kira-kira 10.2 kilometer ini sering ditenggelami apabila banjir kerap melanda.




Pemandangan indah di Jambatan Tumbang Nusa adalah saujana mata memandang disebabkan kawasan sekitarnya adalah kawasan tanah pamah meskipun tiada sungai yang direntangi oleh jambatan ini. Jambatan Tumbang Nusa yang terletak di kabupaten Pulang Pisau ini menjadi penghubung utama Banjarmasin di provinsi Kalimantan Selatan dengan Palangkaraya di provinsi Kalimantan Tengah dan memendekkan masa perjalanan dari 8 jam kepada 4 jam.

Tumbang Nusa - jambatan terpanjang di Kalimantan
Lebih kurang jam 1.00 tengah hari, kamipun tiba di Rumah Tjilik Ruwit Resto & Gallery, Palangkaraya untuk makan tengah hari dan solat jamak qasar. Ini merupakan kunjungan kali kedua ke Rumah Tjilik Ruwit.

Kopi hitam - minuman utama penduduk Kalimantan

Gambar latar - Aktiviti Tjilik Ruwit
Tempat ini adalah rumah asal Tjilik Ruwit yang telah diubahsuai menjadi restoran dan galeri aktiviti Tjilik Ruwit yang merupakan seorang pejuang kemerdekaan yang sangat terkenal di Kalimantan. Selepas kemerdekaan, Tjilik Ruwit telah membangunkan pekan Palangkaraya di Kalimantan Tengah ini. Tjilik Ruwit Resto dan Galeri ini diuruskan oleh cucu kepada Tjilik Ruwit yang merupakan ahli bikers Indonesia.

Jalur khusus untuk petrol tanpa subsidi
Selepas makan tengah hari dan menunaikan solat jamak dan qsar kami meninggalkan Palangkaraya menuju Sampit. Sebelum itu kami singgah dahulu di Pertamina Palangkaraya untuk mengisi petrol jentera masing-masing. Jam menunjukkan pukul 1.55 petang. Di setiap Pertamina ada lorong khas (Jalur Khusus) untuk mengisi petrol tanpa subsidi dan di jalur inilah kami mengisi petrol.




Dalam perjalanan kami singgah sebentar di warung makan sahabat riders Kalimantan Tengah untuk menikmati makanan di warung yang diusahakan oleh beliau bersama isterinya iaitu Warung Rahayu Blitar-Jatim, Kebanyakan nama kedai di sini adalah mengikut nama tempat di mana pemiliknya atau barangan atau makanan itu berasal, misalnya Rahayu Blitar ini menunjukkan pemiliknya adalah orang Blitar dari Jawa Tengah.

Kami meneruskan perjalanan dan sampai di destinasi tujuan iaitu Sampit jam 7.30 malam. Kami menikmati hidangan makan malam sebelum bergerak ke Hotel Werra iaitu tempat penginapan kami tiga hari lepas untuk bermalam.

Sate ikan gurami @ kaloi

Hotel Werra, Sampit

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...