Tuesday 20 March 2012

Kuasa SMS

Dua hari lepas sewaktu mengunjungi sebuah kiosk broadband Unifi di Giant Senawang, saya telah ditawarkan perkhidmatan Unifi oleh anak seorang rakan pengetua yang sedang menunggu keputusan SPM 2011 yang bakal diumumkan esok, 21 Mac 2012.

Saya memberitahunya adakah dia tahu keputusan SPM juga PMR dan STPM boleh disemak hanya dengan menggunakan SMS. Jawabnya tidak tahu!. Soalan yang sama saya tujukan kepada anak saya yang juga menduduki peperiksaan SPM 2011 di SaSer. Jawapannya juga sama!

Kepada pelajar-pelajar yang sudah tidak sabar lagi untuk pergi ke sekolah bagi mengetahui keputusan, anda boleh semak keputusan SPM melalui SMS dengan hanya mengikuti langkah-langkah seperti di bawah : -

Taip SPM <space> No Kad Pengenalan <space> No Angka Giliran dan
hantar ke 15888

CONTOH
SPM 941019055009 NA226A077 hantar ke 15888

Perkhidmatan semak keputusan SPM melalui sms ini akan diaktifkan bermula jam 10 pagi, 21 Mac 2012 dan akan ditamatkan pada 12 tengah malam, 27 Mac 2012. Maklumat lanjut boleh didapatkan di MySMS.

Nota::  Perkhidmatan SMS ini sebenarnya bolehlah dikatakan sebagai "Indah Khabar Dari Rupa" kerana keputusan yang diberikan oleh pengendali perkhidmatan sangatlah lambat. lebih baik anda terus ke sekolah sahaja menunggu keputusan. Buktinya saya tunjukkan di bawah.

SMS telah dihantar pada jam 10.02 pagi, tetapi malangnya penyedia perkhidmatan hanya memberikan jawapan SMS 11 jam kemudian iaitu jam 9.13 malam.

Monday 5 March 2012

Merealisasikan Surat Siaran KPPM Bilangan 4 Tahun 2012

Hari ini pasukan sepak takraw sekolah saya yang telah memenangi Kejohanan Sepak Takraw MSS Daerah Seremban 2 pada 29 Februari 2012 yang lalu dalam kategori bawah 15 tahun telah diraikan dengan jamuan makan tengahari di KFC Senawang di Giant Hypermarket Senawang.

Kemenangan dirai bersama
Kemenangan itu merupakan satu peristiwa yang bersejarah kerana buat pertama kalinya sejak SMK Senawang 3 ditubuhkan pada 2007, pasukan sekolah telah berjaya menjadi johan dalam kategori berpasukan. Kejohanan-kejohanan dan pertandingan-pertandingan yang dimenangi sebelum ini adalah dalam kategori individu sahaja. Sebagai sebuah sekolah menumpang dengan bilangan pelajar yang kecil dan mempunyai 6 buah kelas sahaja yang terdiri dari tingkatan satu hingga tiga, kemenangan itu boleh dianggap sebagai suatu kejayaan yang besar dan amat bermakna.

Regu Juara Pencipta Sejarah SMKS3
Namun saya tergerak menuliskan tajuk Merealisasikan Surat Siaran KPPM Bilangan 4 tahun 2012 untuk posting ini. Mengapa? Ianya berkaitan dengan Surat Siaran KPPM Bilangan 4 Tahun 2012 itu yang bertajuk Pelaksanaan Amalan Guru Penyayang. Menurut surat siaran itu Pelaksanaan amalan Guru Penyayang adalah bertujuan agar setiap guru membudayakan sikap kasih sayang di sekolah.

Guru Penyayang didefinisikan sebagai guru yang memiliki sifat kepedulian terhadap muridnya dengan cara mengamalkan nilai kasih sayang, bersikap mesra, mengambil berat, berbudi bahasa, saling menghormati, sentiasa ceria, prihatin dan sabar.

Fasa pertama pelaksanaan amalan Guru Penyayang hendaklah melaksanakan tiga aktiviti berikut:
  1. Mengalu-alukan kehadiran murid
  2. Memberi penghargaan kepada murid
  3. Program mentor mentee
Sehubungan dengan itu semua sekolah telah diarah merancang strategi pelaksanaannya di peringkat sekolah masing-masing. Aktiviti Mengalu-alukan Kehadiran Murid dan aktiviti Memberi Penghargaan Kepada Murid hendaklah bermula pada bulan Mac 2012. Manakala bagi program Mentor Mentee, pelaksanaannnya hendaklah dimulakan pada bulan Mei 2012. seperti yang terkandung dalam surat siaran itu.

Pada pandangan saya ketiga-tiga aktiviti itu sebenarnya memang telah lama dilaksanakan di kebanyakan sekolah-sekolah di negara kita. Walau bagaimanpun dengan adanya surat siaran itu aktiviti-aktiviti ini menjadi satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dan diharapkan amalan guru penyayang ini dapat diperluaskan ke semua sekolah-sekolah yang terdapat di dalam negara kita, yang jumlahnya menjangkau 10,000 buah itu.

Sunday 4 March 2012

Mencontohi Kecekapan Pengurusan Google

Kurang daripada 24 jam, Google Incorporation telah menarik balik penggantungan akaun Google bagi laman blog rasmi SMK Senawang 3. Meskipun pihak Google menjanjikan masalah teknikal itu boleh diselesaikan dalam tempoh 5 hari, ianya dapat dilakukan dengan lebih cepat dan cekap. Inilah sebabnya agaknya mengapa Google Incorporation. tersenarai sebagai antara 10 syarikat teknologi yang paling cekap berdasarkan keuntungan per bilangan pekerja pada tahun 2011 yang lalu. Untuk makluman pembaca, Google Incorporation berada di tangga kedua selepas Sandisk Corporation, pengeluar utama pen drive.

Kedudukan 10 syarikat teknologi paling cekap ditunjukkan dalam graf di bawah:
Sumber: MANDASOFT
Terfikir juga dalam hati, seandainya semua pendidik termasuk penulis mempunyai misi peribadi untuk menjadi top ten sebagai pendidik paling cekap, tentulah kita berupaya melonjakkan tahap pencapaian sekolah masing-masing dalam masa yang singkat. 

Walau bagaimanpun kata anak saya mungkin tidak ramai yang mahu menghubungi pihak Google apabila laman blog mereka disekat menjadikan komplen saya kepada Google menjadi satu-satunya respon yang diterima oleh Google. Oleh kerana itulah laman blog rasmi SMK Senawang 3 dapat dipulihkan kurang daripada 24 jam sehingga ada pembaca yang tidak menyedari ianya telah disekat seketika.

Thursday 1 March 2012

Mirror Site dan Penerusan Maklumat

Hari ini saya mempunyai dua berita yang ingin dikongsikan. Satu berita baik dan satu berita buruk. Agak sukar untuk menggambarkan apakah perasaan yang ada pada waktu ini apabila ada dua perasaan yang saling bertentangan wujud di sanubari kita. Apakah seseorang itu boleh dihidapi penyakit split personality jika dua perasaan yang saling bertentangan sentiasa wujud di sanubarinya secara berterusan. Saya tidak mempunyai jawapan kepada persoalan ini. Sudat tentu pakar-pakar psikologi ada jawapannya.

Baiklah saya mulakan dengan berita baik dahulu. Semalam, 29 Februari 2012, pasukan sekolah saya telah berjaya menjadi Johan di Kejohanan Sepak Takraw Bawah 15 Tahun bagi Daerah Seremban 2. Ini merupakan suatu kenangan yang manis kerana kami telah diberi tanggungjawab oleh PPD Seremban untuk mengelolakan kejohanan tersebut dan berjaya pula menjadi juara. Terasa leganya setelah bertungkus-lumus memastikan pengelolaan berjalan dengan lancar, kami mendapat ganjaran muncul sebagai juara pula. 

Nah ini berita buruknya pula. Lebih kurang jam 11.59 malam sayapun mulalah menulis tentang kejayaan pasukan sepak takrawa sekolah saya di laman blog rasmi sekolah di http://smksenawang3.blogspot.com. Berita dan gambar telah berjaya dimuat-naikkan. Malangnya apabila saya membuka akaun You-Tube untuk memuatnaik video perlawanan akhir, dengan tanpa sengaja saya telah tersalah taip birthday yang diminta oleh Google (You Tube kini dimiliki oleh gergasi IT iaitu Google Incorperation). Akibatnya laman blog rasmi SMK Senawang 3 telah dihalang kerana pemilik blog berumur di bawah 13 tahun. Polisi Google tidak membenarkan individu berumur 13 tahun dan ke bawah memiliki akaun di Google.


Untuk mengatasi masalah teknikal ini, saya telah membuka satu mirror site untuk laman blog itu. Walau bagaimanapun ia tidaklah menyerupai laman sebenar kerana tidak mampu saya untuk mengingati semula semua posting yang telah dihantar sejak April 2011 yang lalu. Dari segi peristilahan, miror site dan site sebenar mestilah sama iaitu seperti kembar siam.


Begitulah pentingnya mirror site ini jika sesuatu terjadi kepada laman web rasmi sekolah. Bagaimanakah kita dapat meneruskan penyampaian maklumat dan membuat dokumentasi segala aktiviti yang berlaku di sekolah sekiranya secara tiba-tiba laman web sekolah kita disekat. Saya berharap tukang-tukang web sekolah-sekolah berhati-hatilah dan segera membuat mirror site bagi mengelakkan posting-posting terdahulu dan catatan-catatan penting tidak terhapus.

Mujurlah Google Incorporation memberi masa selama 29 hari untuk membuat pembetulan sebelum akaun tersebut dihapuskan selepas tempoh tersebut. Saya telahpun menghantar secara online, salinan kad pengenalan saya ke Google untuk mengesahkan bahawa pemilik laman blog SMK Senawang 3 berumur melebihi 13 tahun. Diharap dalam tempoh masa 5 hari lagi seperti dijanjikan oleh Google, akaun tersebut dapat diaktifkan kembali.

Dalam temph masa 5 hari tersebut, terpaksalah saya memuat-turun semua posting terdahulu dan memuat-naikkannya di mirror site. Doakan supaya akaun tersebut dapat dipulihkan. Mirror site laman blog rasmi SMK Senawang 3 boleh diakses di sini. Klik di sini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...