Thursday 25 August 2011

Baiah Pengetua 2010 - Tahniah!

Saya ingin merakamkan tahniah dan syabas kepada rakan-rakan pengetua dan semua guru serta kakitangan 17 buah sekolah-sekolah menengah di Negeri Sembilan yang berjaya dicalonkan untuk mendapat ganjaran pada tawaran baru bagi tahun 2010. Nama sekolah-sekolah yang dicalonkan mendapat ganjaran di Negeri Sembilan telah diumumkan oleh Puan Hajah Kalsom binti Khalid, Ketua Sektor Jaminan Kualiti, JPNS dalam Mesyuarat Profesionalisme Pengetua bersama PPD Seremban dan Ketua Sektor di bilik mesyuarat PPD Seremban pada 23 Ogos 2011 yang lalu.
Sekolah-sekolah tersebut adalah:
  1. Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (SASER)
  2. SMK Seremban Jaya 2
  3. Kolej Tunku Kurshiah
  4. Sekolah Dato' Abdul Razak
  5. SMK Bukit Jalor
  6. SMK Simpang Gelami
  7. SMK Teriang Hilir
  8. SM Agama Dato' Tan Ahmad
  9. Sekolah Sains Tuanku Jaafar
  10. SM Rendah Agama Ulu Jempol
  11. Sekolah Menengah Agama Teluk Kemang
  12. SMK Yam Tuan Radin
  13. SMA Dato' Haji Mustafa
  14. SBPI Jempol
  15. SMK Tuanku Syed Idrus
  16. SMK Undang Rembau
  17. SMJK Chung Hua, Kuala Pilah
Nama-nama sekolah yang menerima ganjaran mengikut perancangan kementerian sepatutnya diumumkan pada majlis sambutan hari guru yang lalu. Ada desas-desus mengatakan terdapat permasalahan dalam menganugerahkan ganjaran kerana terdapat kontroversi pada pemilihan calon sekolah yang bakal menerimanya. Menurut perjanjian pengetua Tahun 2009 atau Baiah Pengetua 2009, sekolah yang berjaya mestilah mencapai Skor Komposit 92% atau melonjak 300 mata, namun Jawatankuasa NKRA di kementerian telah mengubahnya kepada skor komposit 88% atau lonjakan 500 mata mengakibatkan beberapa sekolah menengah harian digugurkan menjadikan sekolah menengah harian yang layak keseluruhannya adalah 3% sahaja daripada jumlah semua sekolah menengah harian berbanding 45 daripada 60 SBP yang menerima ganjaran. Walau apapun tahniah kepada sekolah yang berjaya walaupun ramai yang terkilan kerana lain yang dijanjikan lain pula yang dikotakan. Bak kata perumpamaan Melayu kerbau dipegang pada hidungnya, manusia dipegang pada janjinya. Ajaran agama Islam pula melalui hadis menyatakan orang yang mungkir janji adalah orang yang munafik dan orang yang munafik pula tidak boleh menjadi wali atau saksi. Wallahu alam.

Maklumat terkini yang diterima adalah 13 buah sekolah menengah layak menerima ganjaran pada tawaran baru 2010 yang akan dinugerahkan kepada mereka dalam satu majlis selepas hari raya Aidil Fitri.

Wednesday 17 August 2011

Pembelajaran Berkesan Melalui Laman Blog

Alhamdulillah. Akhirnya semua panitia mata pelajaran di SMK Senawang 3 telah mempunyai laman blog sendiri. Tahniah kepada semua guru / ketua panitia yang telah berjaya menghasilkan laman blog panitia dalam kursus  asas membina laman blog yang telah diadakan pada hari Sabtu 13 Ogos 2011 bersamaan 13 Ramadhan 1432 Hijrah. Adalah diharapkan semua panitia mata pelajaran dapat mengemaskinikan laman blog masing-masing sekurangnya-kurangya sekali dalam seminggu. Ini ditetapkan menjadi KPI perancangan strategik panitia bagi tahun 2011 untuk  mencapai objektif meningkatkan tahap  pembelajaran pelajar dan menghaslkan pembelajaran yang berkesan melalui laman blog. 

Buat permulaan bahan-bahan yang dimuatkan di dalam blog panitia boleh didapati dengan mengolah nota dari buku rujukan dan tips belajar subjek yang berkaitan. Teknik belajar juga boleh dimuat-naik ke laman blog di samping memasukkan pautan-pautan ke laman-laman pendidikan yang terdapat dengan begitu banyaknya di Internet yang merupakan gerbang ilmu dalam bentuk digital. Juga boleh dimuatkan aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan oleh setiap panitia dalam mempertingatkan prestasi pelajar dalam mata pelajaran berkenaan.



Friday 5 August 2011

Temuduga Calon Pengetua Cemerlang - Perkongsian Pengalaman

Pada Rabu 3 Ogos 2011 yang lalu saya bersama-sama 16 orang rakan pengetua DG48  yang lain telah selamat menghadiri sesi pembentangan dan temuduga calon pengetua cemerlang DG52 bagi tahun 2011. Pendaftaran bagi kumpulan yang ditemuduga oleh panel 1 terdiri daripada saya, Tuan Haji Ab Kadir bin Nordin (SMK Dato Shahardin), Puan Norziah binti Mohd Yusof (SMK Dato' Undang Haji Adnan), Encik Abd Halim bin Md Yunus (SMK Mambau), Encik Hasni bin Dolmat (SM Vokasional Ampangan, kini berkhidmat di SM Teknik Jasin mulai 1 Ogos 2011), Tuan Haji Jamaluddin bin Ahmad (SMK Seri Sendayan), Tuan Haji Nor Hashim bin Othman (SMK Undang Jelebu), dan Tuan Haji Rosdin bin Kasim (SMK Simpang Gelami) bermula jam 8.00 pagi di bilik Ketua Sektor Pengurusan Sekolah di JPNS. Temuduga pula bermula jam 9.00 pagi di Balai Gadang, Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan.

Menunggu giliran pembentangan.
Kumpulan kedua seramai 9 orang lagi ditemuduga oleh Panel 2 di Balai Budi SK Rahang pada masa yang sama. Mereka yang termasuk dalam kumpulan yang ditemuduga oleh panel 2 adalah Puan Maimon binti Talib (SMK Desa Cempaka), Puan Norhayati binti Mat Nor (SMK Bandar Baru Serting), Encik Omar bin Ahmad (SMK Taman Tuanku Jaafar), Major Mohd Tahir bin Mustapha (SMK Datuk Abdullah), Tuan Haji Mohd Sazali bin Sam (SMK  Tunku Besar Burhanuddin), Tuan Haji Awaluddin bin Mat Din (SMK Tunku Syed Idrus), Tuan Haji Mad Amin bin Mad Isa (SMK Dato' Undang  Abdul Manap) dan Puan Faridah binti Jabbar (SMK Warisan Puteri).
Kumpulan kedua di Balai Budi, SK Rahang

Panel 1 diketuai oleh Tuan Abdul Halim bin Abdul Razak, Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan, dan dibantu oleh Tuan Haji Kamarudin bin Abu Bakar, Ketua Nazir Negeri Sembilan, Cik Hajah Ipun binti Shamsuddin, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Tuan Mohd Isah bin Ismail, Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Datin Hajah Naemah binti Ahmad Dahalan, Pegawai Pelajaran Daerah Rembau dan Encik Abdul Rahim bin Bahaman,  Jemaah Nazir Negeri Sembilan. Panel 2 pula diketuai oleh Puan Hajah Kalsom binti Khalid, Ketua Sektor Jaminan Kualiti, dibantu oleh Tuan Mohd Zaki bin Abd Ghani, Ketua Sektor Pendidikan Islam, Puan Hajah Rodiah binti Md Jan, Pegawai Pelajaran Daerah Jempol dan Jelebu, Puan Radziah binti Abdul Manap, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Jempol dan Jelebu serta Cik Zariani binti Ghazali dari  Jemaah Nazir Negeri Sembilan.

Soalan-soalan yang ditanya adalah berkisar kepada pembentangan powerpoint setiap peserta. Walau bagaimanapun, bagi panel 1, Tuan Pengarah Pelajaran paling banyak bertanya. Antaranya bagaimanakah ETR dapat dicapai sedangkan keputusan pertengahan tahun pelajar tidak berapa memuaskan. Panel lain bertanya apakah nich area yang dibangunkan di sekolah baru. Bagaimanakah mengawal penggunaan netbook oleh pelajar sekolah. Tiada soalan tentang dasar-dasar kementerian diberikan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...