Thursday 30 June 2011

1Murid 1Sukan 1Malaysia


Pada hari Sabtu 2 Julai 2011 ini sekolah-sekolah di Malaysia akan mencipta sejarah apabila guru, ibu bapa, penjaga, PIBG dan murid-murid menyertai larian 1Murid 1Sukan 1Malaysia bermula tepat jam 7.45 pagi. Program akan bermula dengan kehadiran guru dan murid pada jam 7.00 pagi di dataran sekolah. Pada jam 7.20 pagi, pengetua akan membacakan perutusan Menteri Pelajaran Malaysia. Sekolah-sekolah yang mempunyai kemudahan wifi bolehlah mempertontonkan kepada peserta siaran langsung majlis Pelancaran Larian Serentak 1Murid 1Sukan oleh YB Tan Sri Haji Muhyiddin bin Mohd Yassin, Menteri Pelajaran Malaysia yang akan berlangsung  di Padang Esplanade, Taiping, Perak pada masa yang sama melalui siaran TV3 dan secara live streaming melalui Portal EduWebTv di alamat www.eduwebtv.com mulai jam 7.30 pagi sehingga 9.00 pagi.

Marilah kita saksikan acara bersejarah ini yang merupakan larian terbesar yang disertai oleh murid-murid sekolah yang pernah diadakan di negara ini. Acara ini juga akan dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBR).

Menurut Buku Panduan Pelaksanaan Dasar Satu Murid Satu Sukan (1M 1S) yang diterbitkan oleh Bahagian Sukan, Kementerian Peljaran Malaysia, dasar 1M 1S mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memberi tumpuan ke arah melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Dasar ini selaras dengan Dasar Sukan Negara yang memberi penekanan kepada Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan. Dasar ini memberi perhatian yang utama kepada murid yang kurang aktif supaya mereka melibatkan diri dalam aktiviti sukan. Pada masa yang sama, bakat murid yang berpotensi akan digilap dan dibangunkan melalui Sukan Prestasi Tinggi Sekolah  (SPTS).

Di peringkat Negeri Sembilan, Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan telah mengambil inisiatif untuk menjayakan larian ini dengan (1) memaklumkan semua sekolah melalui surat siaran (2) mengutip maklumat peserta yang akan mengambil bahagian melalui mel elektronik dan (3) mengadakan taklimat kepada semua pengetua dan guru besar di setiap daerah tentang program tersebut dan (4) menghantar softcopy rakaman dan gambar-gambar aktiviti larian ke urusetia di Kementerian Pelajaran Malaysia.

Pada jam 2.40 petang tadi, Tuan Pkharuddin bin Haji Ghazali, Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan mewakili Tuan Pengarah Pelajaran telah menyampaikan amanat pengarah berkaitan dengan larian tersebut di Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar, Seremban. Tuan Mohd Sah bin Zainal Abdidin, Pegawai Pelajaran Daerah Seremban turut memberi taklimat ringkas kepada semua pengetua dan guru besar serta wakil mereka tentang program 1Murid 1Sukan 1Malaysia. 

Saturday 25 June 2011

Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua-Pengetua Sekolah Malaysia Ke-50

Pada 21 hingga 23 Jun 2011 yang lalu, saya telah mengikuti Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua-Pengetua Sekolah Malaysia Ke-50 di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya, Selangor. Ini merupakan persidangan kedua yang dapat saya ikuti setelah kali pertama menyertainya pada 27 hingga 31 Julai 2007 di Johor Bahru. Persidangan yang merupakan Jubli Emas bertemakan Kepimpinan Holistik Menjana Transformasi Pendidikan Negara yang memang selaras dengan hasrat kerajaan yang memperkenalkan GTP iaitu Government Transformation Programme.
Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya, Selangor
Persidangan kali ini menghimpunkan seramai 842 orang pengetua dari seluruh negara dengan penyertaan teramai tentunya dari Selangor. Hotel Grand Dorsett hanya dapat menampung sebahagian daripada peserta manakala sebahagian lagi ditempatkan di hotel berhampiran iaitu Hotel Holiday Villa Subang. Delegasi dari Kedah, Sabah, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Melaka menginap di hotel ini.

Paluan gong tanda persidangan dirasmikan
Persidangan kali ke-50 ini telah dirasmikan oleh YAB Tan Sri Haji Muhyiddin bin Yasin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia. Persidangan ini lebih bermakna apabila Timbalan Perdana Menteri telah memberi pengiktirafan kepada Majlis Pengetua Sekolah Malaysia, MPSM sebagai suara yang mewakili pengetua-pengetua sekolah Malaysia sambil mengumumkan sumbangan tahunan sebanyak RM 200,000 untuk kegiatan MPSM. Timbalan Menteri Pelajaran II, YB Dr Mohd Puad bin Zarkashi telah berkenan menutup rasmi persidangan pada Khamis 23 Jun 2011.

Gambar-gambar sekitar persidangan ini boleh dilihat di http://galerihamidon.blogspot.com/2011/06/persidangan-kebangsaan-pengetua-ke-50.html

Sunday 19 June 2011

Hari Bapa 2011

Pekan Rabu, Alor Setar, 15 Mei 2011
Hari ini Ahad, 19 Jun 2011 Hari Bapa disambut di sebahagian besar negara di dunia. Ini kerana Hari Bapa disambut oleh beberapa negara pada tarikh yang berbeza mengikut negara berkenaan. Ada negara yang menyambutnya pada hari Ahad minggu pertama bulan Jun, ada juga yang menyambutnya pada hari Ahad minggu kedua bulan Jun. Negara-negara yang menyambutnya pada hari ini ialah Afghanistan, Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Argentina, Bahamas, Bahrain, Bangladesh, Barbados, Belize, Belanda, China, Colombia, Costa Rica, Croatia, Cuba, Cyprus,  Dominica, Ecuador, Ethiopia, Filipina, Ghana, Greece, Guyana, Haiti, Hong Kong, Hungary, India, Ireland, Jamaica, Jepun, Malaysia, Malta, Mauritius, Myanmar, Namibia, Nigeria, Oman, Pakistan, Panama, Paraguay, Peranchis, Peru, Puerto Rico, Republik Czech, Singapura, Slovakia, Sri Lanka, Thailand, Trinidad dan Tobago, Turki, United Kingdom, Venezuela, Zambia dan Zimbabwe.

Bolivia, Honduras, Itali, Portugal dan Sepanyol telah menyambut Hari Bapa pada 19 Mac 2011 yang lalu manakala Uruguay akan menyambutnya pada 17 Julai 2011 nanti. Thailand pula akan menyambut Hari Bapa pada 5 Disember 2011.

Mengikut sejarah Hari Bapa bermula pada awal abad ke-12 untuk memberi penghormatan dan peringatan terhadap para bapa. Sambutannya melibatkan pemberian hadiah kepada bapa dan lain-lain aktiviti kekeluargaan bertujuan untuk mengenang jasa bapa di dalam keluarga.

Hari Bapa menurut perspektif Islam
Menurut pandangan Islam kasih sayang yang paling utama ialah terhadap Allah s.w.t., diikuti Rasulullah s.a.w., kedua ibu bapa, suami, isteri, anak-anak, ahli keluarga, kaum kerabat, jiran tetangga dan seterusnya. Jika sekiranya hendak membuat sambutan, ianya hendaklah dibatasi dengan syarat-syarat yang telah digariskan dalam Islam termasuklah dalam aspek menjaga perhubungan antara bukan mahram dan maruah individu itu sendiri.

Wednesday 15 June 2011

Petua Seorang Guru - Renungan buat Guru dan Bakal Guru

PETUA SEORANG GURU
Kalau guru mengajar sambil duduk
Murid belajar sambil mengantuk
Kalau guru mengajar sambil berlakon
Murid belajar dengan tekun
Kalau guru mengajar tanpa alat
Murid belajar dengan ralat
Kalau guru mengajar banyak bercakap
Ada murid bertambah gagap
Kalau guru menjadi pemudah cara
Ramai murid pandai berbicara
Kalau guru mengajar tanpa menilai
Takkan tahu murid bodoh dan pandai
Kalau guru berbudi bahasa
Dikenang murid sepanjang masa

Rangkaian kata-kata hikmat ini sudah lama terdapat di mana-mana sekolah. Namun sebagai ingatan kepada diri sendiri sebagai pendidik dan guru-guru dan bakal-bakal guru, elok rasanya kita berpegang kepada rangkaian kata-kata ini sebagai pendorong untuk meningkatkan tahap pencapaian murid yang kita ajar di kelas.

Petua Seorang Guru ini boleh dilihat di Kamar Permuafakatan SMK Pasoh 2. Sebagai renungan di dalam petua ini terdapat ciri-ciri guru yang diperlukan oleh murid dan apakah akibatnya jika guru mempunyai sikap negatif seperti kata-kata yang terdapat di dalam petua itu.

Sunday 12 June 2011

Fort Margherita - Apa Ada Di Dalamnya?

Fort Margherita di bandar Kuching, Sarawak mula dibina pada tahun 1878 dan siap sepenuhnya pada 1880. Ia dibina untuk mempertahankan bandar tersebut daripada serangan lanun. Ia mengambil nama isteri Charles Brooke iaitu Ranee Margaret. Bentuknya adalah seperti istana Inggeris di atas tempat stategik untuk mengawal Sungai Sarawak. Gambar di sebelah adalah model Fort Margherita yang dibina bersebelahan Waterfront.

Pada lawatan peserta Program Pengintegrasian Teknologi dan Budaya dalam Pengajaran dan Pembelajaran ke arah Pembestarian Pendidikan PKG Lui pada 4 Jun hingga 8 Jun 2011yang lalu, peserta-peserta tidak dapat memasuki kubu ini kerana telah ditutup untuk proses pemuliharaan sejak tahun 2006 yang lalu. Namun untuk tatapan peserta program saya sertakan beberapa keping gambar apa yang dapat dilihat di dalam kubu ini. Gambar-gambar ini diambil pada bulan Disember tahun 2005 sewaktu saya dan keluarga melawat Kuching pada tahun tersebut.

Pemandangan Fort Margherita dari atas

Bersama ahli keluarga di dalam kubu pada 2005

Sebahgian daripada model yang terdapat di dalamkubu

Lagi objek yang terdapat di dalam kubu Margherita

Lagi objek...

Tuesday 7 June 2011

Lawatan Pengintegrasian Teknologi dan Budaya dalam Pengajaran dan Pembelajaran ke Arah Pembestarian Pendidikan di Kuching

Alhamdulillah pada 4 hingga 8 Jun 2011, saya telah berkesempatan mengetuai rombongan PKG Lui, Jempol dalam program lawatan pengintegrasian teknologi dan budaya dalam pengajaran dan pembelajaran ke arah pembestarian pendidikan di Kuching, Sarawak Bumi Kenyalang. Sepanjang lawatan selama 5 hari 4 malam kami telah menginap di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Sarawak di Kota Samarahan. Kediaman kami itu dinamakan Baruk Kenyalang. Baruk adalah bahasa tempatan yang bermaksud pondok. Lawatan ini adalah kesinambungan daripada lawatan kembara kajian tindakan inovasi di Sabah pada tahun 2009 yang lalu. BTPN Sabah dinamakan Serudung Bayu. Eloklah kita namakan BTPN kita di Negeri Sembilan dengan nama tempatan juga. Saya mencadangkan Teratak Perpateh kepada BTPN Negeri Sembilan.

Selaku ketua rombongan, saya bagi semua ahli rombongan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tuan Haji A.Wahed bin Rosli, Ketua Penolong Pengarah BTPN Sarawak dan barisan staf beliau yang sudi menerima kunjungan kami dan menyediakan tempat penginapan di BTPN Sarawak. Terima kasih tuan! Keenakan nasi dabai dan kueh selorot yang dihidangkan kepada kami sentiasa menjadi ingatan para peserta.
Di hadapan kilang kek lapis Dayang Salhah di Demak
Objektif lawatan ini adalah untuk menghasilkan pembelajaran berasaskan projek (PBL-Project-Based Learning) bagi tujuan pembelajaran dengan bantuan teknologi pendidikan. Rombongan lawatan terdiri daripada 3 orang pengetua, 5 orang guru besar, penolong-penolong kanan, guru perpustakaan dan media, penyelaras bestari serta turut disertai oleh 11 orang murid - 6 daripada sekolah rendah dan 5 orang daripada sekolah menengah. Pelajar-pelajar ini dibawa ke kilang kek lapis Dayang Salhah dan Kampung Budaya Sarawak di Santubong supaya dapat mengambil foto, merakam perbualan dan menemubual kakitangan kedua-dua tempat. Rakaman ini kemudian dimuatkan dalam projek mereka. Bahan-bahan ini  juga diolah untuk dipersembahkan dengan perisian movie maker.

Gambar-gambar di sepanjang program ini boleh dilihat di http://galerihamidon.blogspot.com/2011/06/pkg-lui-ke-kuching-4-jun-2011.html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...