Wednesday 26 June 2013

Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkasa, PKTA Ke-29

Alhamdulillah pada hari Sabtu yang lepas bersamaan dengan 22 Jun 2013, saya berpeluang mengikuti Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkasa Ke-29 atau ringkasnya PKTA ke-29 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra, PWTC, Kuala Lumpur. Ini merupakan kali pertama saya mengikuti persidangan ini, begitu juga bagi beberapa orang perwakilan yang sempat saya berbual-bual. Persidangan kali ini begitu menarik sekali kerana berlakunya pertandingan merebut  jawatan Presiden dan Naib Pengerusi Angkasa. Persidangan juga membuat pengundian bagi memilih enam orang daripada perwakilan sebagai Jawatankuasa Menentusahkan Draf Minit Persidangan Kebangsaan Tahunan ANGKASA ke-29.
Ucapan perasmian oleh Datuk Hasan Malek, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. 
Bilangan perwakilan tertinggi dicatatkan pada tahun ini
Seramai 2542 wakil-wakil sah dari 2406 buah koperasi-koperasi ahli ANGKASA dari seluruh negara telah menghadiri persidangan pada kali ini yang berakhir pada jam 4.00 petang. Dato’ Hj. Abdul Fattah Hj. Abdullah telah dipilih sebagai Presiden ANGKASA dengan mendapat 1372 undi. 
Sebahagan daripada perwakilan
Bersama sahabat dari Perak
Keputusan undian adalah seperti berikut :
1. Dato’ Hj. Abdul Fattah Hj. Abdullah 1372 undi
2. Dato’ Jamal Abdullah 919 undi
3. Mohd Said Mohd Kadis 44 undi
4. Tn. Hj. Abd. Latip Ismail 33 undi
Suasana ketika beratur mengambil kertas undi
Bagi jawatan Naib Presiden ANGKASA pula, 4 orang calon bertanding bagi jawatan ini. Tan Sri Dato’ Hj. Alimuddin Mohd Dom, mantan KPPM telah dipilih sebagai Naib Presiden ANGKASA dengan memperolehi 854 undi.

Keputusan undian calon-calon lain yang bertanding adalah :
1. Tan Sri Dato’ Hj. Alimuddin Mohd Dom 854 undi
2. Dato’ Mohamed Farid Zawawi 707 undi
3. Tn. Hj. Mustapa Kamal Maulut 402 undi
4. Pn. Hjh. Armi Hj. Zainudin 354 undi

Saya tidak menyangka kempen untuk pemilihan jawatan Presiden dan Naib Presiden turut dicemari dengan SMS yang berbaur fitnah dan kemunculan laman blog yang mendakwa mempunyai bukti rasuah calon. Ada juga perwakilan yang meminta elaun kehadiran dibayar dahulu tujuannya tentulah untuk balik awal. Rasa geli hati pun ada, rasa marah pun ada. Ada perwakilan yang memotong barisan untuk mendaftar dan mengambil beg serta baju batik dengan segera. Hilang rasa sopan dan malu apatah lagi yang memotong barisan itu berusia lebih tua daripada saya. 

Thursday 9 May 2013

Kolokium Kebangsaan Kepimpinan Instruksional Ke-9 2013

Alhamdulillah, saya berpeluang menghadiri kolokium kebangsaan kepimpinan instruksional ke-9 di IAB Jitra dari 6 hingga 9 Mei 2013. Kolokium kali ini dihadiri oleh lebih 130 peserta yang terdiri daripada pengetua, guru besar dan pegawai-pegawai dari jabatan pelajaran negeri. Kolokium telah dirasmikan pembukaannya oleh Yang Hormat Dato' Haji Khairil Haji Awang, Pengarah IAB yang mewakili Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.
Ucapan perasmian oleh Pengarah IAB
Tema kolokium ialah "Kepimpinan Instruksional Pemacu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025" yang berfokus kepada empat bidang iaitu: (1) kepimpinan instruksional dan perubahan sekolah, (2) bina upaya guru, (3) keupayaan pemimpin dan (4) sarana ibu bapa.

Ucap utama disampaikan oleh Profesor Dr. Cameron Richards dari UTM Perdana School, Universiti Teknologi Malaysia yang bertajuk Educational leadership for a new age: Every lifelong learner a future problem-solver, decision-maker and knowledge-builder? Kemudian ia disusuli dengan pembentangan tiga kertas kerja berhubung dengan tiga bidang fokus tersebut di atas.

Bersama Ahmad Husni, Selama, Perak.

Wednesday 1 May 2013

Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia Ke-52

Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia Ke-52 telah selamat dijalankan di Hotel Promenade, Kota Kinabalu, Sabah. Alhamdulillah saya dapat menyertai persidangan ini bersama-sama dengan 24 orang lagi pengetua dari Negeri Sembilan pada 22 hingga 25 April 2013 yang lalu.


Tema persidangan kali ini adalah "Kepimpinan Berprestasi Tinggi Menjana Pendidikan Berkualiti" yang mengajak semua pengetua mengamalkan kepimpinan berprestasi tinggi secara berterusan bagi menghasilkan modal insan yang dinamik, progresif serta memiliki jati diri yang tinggi selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Negara.

Hari pertama persidangan pada Isnin 22 April 2013 dimulakan dengan taklimat urusetia pengelola persidangan dan ucapan Haji Muhamad Khailani Abdul Jalil, YDP MPSM Kebangsaan pada 8.00 malam. Untuk makluman, waktu Maghrib di Kota Kinabalu adalah pada jam 6.24 petang.

Pada hari kedua persidangan (23 April 2013) diadakan Ceramah Profesional bertajuk Kepimpinan Berprestasi Tinggi Meningkatkan Keberhasilan Murid yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Datuk Dr. Amin bin Senin, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan.

Majlis perasmian persidangan telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Abdul Ghafar bin  Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia mewakili Menteri Pelajaran Malaysia. Di sebelah petang pula diadakan satu forum bertajuk Kepimpinan Berprestasi Tinggi Menjana Pendidikan Berkualiti dbarisi oleh tiga ahli panel iaitu Dato' Haji Mohd Ghazali bin Abdul Rahman, Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Dr. Nai'mah binti Ishak, Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia dan Profesor Dr. Mornie bin Kambrie, Ketua Eksekutif  SIDMA, UNITAR Sabah manakala Encik Abdullah bin Md. Yunus, Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bertindak sebagai moderator.

Pada hari ketiga persidangan (Rabu 24 April 2013) pula diadakan dua slot ceramah iaitu ceramah korporat dan ceramah profesional. Ceramah Korporat diberikan oleh Datuk Wira Dr. Haji Ameer bin Mydin dari Mydin Holding Berhad. Ceramah Profesional yang bertajuk Sarana Ibu Bapa disampaikan oleh Dr. Jamil Adimin, Tmbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Sektor Dasar dan Puan Asiah Hamzah, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian selepas minum pagi. Pada sebelah petang diadakan lawatan penandaarasan ke lima belas sekolah menengah di sekitar Kota Kinabalu oleh lima belas kumpulan. Pada sebelah malam pula diadakan majlis makan malam yang dinamakan Songom Derampun.

Pada hari terakhir persidangan (Khamis 25 April 2013), mesyuarat agung MPSM Kebangsaan ke-52 diadakan di sebelah pagi manakala majlis perasmian penutupan diadakan selepas minum pagi. Majlis Perasmian Penutupan persidangan disempurnakan oleh Tuan Haji Sufa'at bin Tumin, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi Pendidikan).

Tuesday 19 March 2013

Kursus Membina dan Mengurus Blog untuk Pengetua

Alhamdulillah, pada hari ini, saya berjaya mengendalikan kursus membina dan mengurus blog untuk  19 orang rakan pengetua yang berminat menceburi dunia blogging. Terima kasih kepada semua rakan pengetua yang sudi menghadiri kursus ini dan tahniah kerana berjaya menghasilkan blog sendiri. 

Kursus ini dinamakan kursus membina dan mengurus blog kerana membina blog adalah sesuatu yang boleh dianggap mudah. Namun untuk meneruskan penulisan atau penghantaran posting adalah sesuatu yang sukar kerana kesibukan tugas pengetua dalam menguruskan sekolah masing-masing. Sering kali kita dapati begitu banyak laman blog yang dapat dicipta, tetapi akhirnya sedang kita asyik mengikuti blog tersebut, penulisnya sering kali berhenti di pertengahan jalan. Oleh kerana itu mengurus blog adalah satu aktiviti yang sangat penting supaya penulisan blog dapat diteruskan secara berkala.



Harapan saya adalah semua pengetua di Negeri Sembilan dapat membina dan mengurus laman blog sendiri supaya segala pengalaman berkaitan keguruan dan pengurusan serta pentadbiran sekolah yang dikumpul begitu lama sepanjang karier rakan-rakan pengetua dapat dirakamkan dalam bentuk penulisan blog. Akhirnya pengetahuan dan pengalaman ini dapat dikongsi bersama dengan guru-guru dan bakal pengetua supaya ianya dapat membantu meningkatkan lagi tahap profesionalisme guru dan pengurus pendidikan dalam mencapai 11 aspirasi dalam 3PM, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Monday 18 March 2013

PBS Sepintas Lalu

Isu tentang Pentaksiran Berasaskan Sekolah, PBS, sering diperkatakan baik dalam kalangan guru, murid mahupun ibu bapa dan penjaga pelajar. Bagi menjelaskan lagi maksud PBS, Lembaga Peperiksaan Malaysia telah mengeluarkan Surat Pekeliling Lembaga Peperiksaan Bil.2 Tahun 2011.


Menurut surat pekeliling itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan penambahbaikan terhadap Sistem Pentaksiran Kebangsaan bagi PMR iaitu melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah dengan wajaran 100% sepenuhnya pada tahun 2014 bagi murid-murid Tingkatan 3. Murid-murid Tingkatan 1 pada tahun 2012 akan mula melaksanakan PBS bagi PMR ini.

Komponen PBS dengan wajaran 100% dalam Sistem Pentaksiran Kebangsaan merangkumi 4 jenis pentaksiran iaitu:
  1. Pentaksiran Sekolah iaitu pentaksiran yang dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru sekolah berasaskan standard prestasi. Penjaminan kualiti pentaksiran dijalankan melalui pemantauan dan penyelarasan.
  2. Pentaksiran Pusat iaitu pentaksiran yang dilaksanakan di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan tugasan yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan dalam tempoh tertentu mengikut mata pelajaran tertentu berasaskan standard prestasi. Penjaminan kualiti pentaksiran dijalankan melalui pemantauan dan penyelarasan.
  3. Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) iaitu pentaksiran yang dilaksanakan di peringkat sekolah oleh guru untuk mengukur dan menilai prestasi, penglibatan dan penyertaan murid dalam aktiviti jasmani, kesihatan, sukan dan kokurikulum.
  4. Pentaksiran Psikometrik iaitu pentaksiran yang dilaksanakan di peringkat sekolah dan/atau pusat untuk mengukur kebolehan semula jadi, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid.
Pada pandangan saya, PBS ini adalah suatu pentaksiran yang sangat baik kerana murid-murid dapat dinilai secara headcount, namun ia menimbulkan rungutan dalam kalangan guru kerana terpaksa menyediakan pelbagai alat pentaksiran dan kemudahan penyimpanan fail yang banyak perlu disediakan. Di pihak Lembaga Peperiksaan pula mengatakan tak perlu menyimpan terlalu banyak evidens. Ini semua menimbulkan kerumitan dan kekeliruan yang bukan sedikit mungkin disebabkan penjelasan LPM yang tidak dapat dihayati sepenuhnya oleh guru-guru yang bertindak sebagai pentaksir. 

Bagi menyelaraskan pemahaman ini, saya mencadangkan, bahan-bahan dan alat-alat serta apa-apa pun kaedah pentaksiran sebaik-baiknya disediakan oleh pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia sendiri seperti mana yang dibuat dengan peperiksaan PMR sebelum ini. Janganlah semuanya dibebankan ke atas bahu guru-guru di sekolah. Pegawai-pegawai di Lembaga Peperiksaan itupun asalnya adalah guru di sekolah juga sebelum ini, tetapi pengalaman mereka menjadi guru di sekolah dahulu tidaklah sama dengan keadaan guru di sekolah masa kini. Cabaran mengajar dahulu jauh berbeza daripada cabaran sekarang yang lebih hebat lagi terutamanya apabila berhadapan dengan generasi Y yang berada di sekolah hari ini. Jika tidak nanti berlakulah apa yang sering berlaku sebelum ini...Disuruh Lain...Dibuat Lain.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...