Monday 17 December 2012

Kembara Vietnam - Pendidikan Luar 2012

Cuti akhir persekolahan tahun 2012 semakin menghampiri ke penghujungya apabila sesi penggal persekolahan tahun 2013 akan dibuka dengan rasminya pada hari Rabu 2 Januari 2013. Bagi guru-guru dan pengetua serta guru besar sekolah, peluang ini sering kali digunakan untuk membawa keluarga bercuti ke luar sama ada melancong sambil belajar di dalam negeri mahupun di luar negeri terutamnya di sekitar rantau Asia Tenggara. Destinasi di Asia Tenggara merupakan destinasi yang paling popular dilawati kerana kos penerbangan dan penginpan serta lawatan ke tempat-tempat menarik di rantau ini masih lagi dianggap murah dan mampu ditanggung dari segi kosnya.

Pada 23 hingga 26 Mac 2012 yang lalu, saya bersama-sama tiga orang pengetua serta keluarga masing-masing telah berkesempatan mengunjungi HCMC,  Ho Chi Minh City, bandaraya terbesar di Vietnam dengan bilangan penduduk HCMC  melebihi 9 juta orang daripada keseluruhan 87 juta penduduk Vietnam. Bandaraya Ho Chi Minh masih terkenal dengan nama lamanya iaitu Saigon. Kerana itu banyak tempat-tempat menarik dinamakan dengan Saigon, misalnya pusat membeli-belah terkenal Saigon Square yang menjual pelbagai barangan berjenama asli dan tiruan.


Kepada rakan-rakan dan pembaca yang belum pernah menjejak kaki ke Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, saya coretkan pengalaman saya ke sana secara travelog hari ke hari.

Hari Pertama, Jumaat 23 Mac 2012
Kami berlepas ke Ho Chi Minh dengan menaiki pesawat Air Asia AK880 pada jam 9.10 pagi. Menurut kapten pesawat, perjalanan mengambil mengambil masa 2 jam dan dijangka sampai ke sana jam 10.10 pagi waktu tempatan. Alhamdulillan pesawat telah selamat mendarat jam 10.05 pagi waktu tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat. Keadaan terminal lapangan terbang ini nampak seperti baru  kerana ia telah dibuka pada tahun 2007.

Setibanya di sini, wakil syarikat pelancongan Nasaer Travel and Tour iaitu Kelvin telah sedia menunggu. Kelvin memaklumkan sebelum check-in di tempat penginapan kami iaitu Hotel Hong Gia Huy di Saigon (HCMC) kira-kira 6 km dari lapangan terbang, kami akan dibawa melawat beberapa pusat tarikan penlacong dahulu.
Kelvin, pemandu pelancong yang fasih berbahasa Inggeris
Jam 12.00 tengahari, kami sampai di kilang kraf tangan Tay Son untuk melihat hasil kerajinan tangan atau kraftangan penduduk Vietnam. Antara hasil seni yang dipamerkan dan dijual adalah lukisan yang dibuat daripada kulit telur dan lukisan kanvas.


Selepas melawat kedai kraftangan kami dibawa menjamu selera di Kedai Shamsudin Halal Food. Di Ho Chi Minh ini terdapat banyak kedai makanan bertaraf halal. Jadi anda tidak perlu khuatir soal mencari makanan halal di Vietnam kerana ramainya orang Kemboja di sini. Negara Cambodia adalah betul-betul bersempadan dengan negara Vietnam.

Selepas makan tengahari kami dibawa ke Mai Saigon antara destinasi kedai tekstil yang popular di sepanjang Nam Ky Khoi Nghia Street dan kemudian  terus ke hotel untuk check-in dan berehat.


Sekitar jam 6 petang, saya bersama isteri dan anak berjalan kaki ke Ben Thanh Market. Kedudukan Ben Thanh market ke Hotel Hoang Gia Huy adalah sangat dekat iaitu kira-kira 8 minit berjalan kaki. Jalan raya di sini penuh sesak dengan motosikal yang merupakan kenderaan utama penduduk bandaraya ini. Jika anda menunggu jalan raya lengang untuk melintas, anda tidak akan dapat menyeberangi jalan kerana banyaknya motosikal yang lalu-lalang. Apa yang perlu dibuat ialah hulurkan sahaja tangan untuk melintas. Pemandu motosikal itu nanti akan mengelak anda sama ada di depan atau di belakang anda. Keadaan ini sangat berbeza dengan penunggang dan pemandu di jalan raya di Malaysia yang sangat tidak berhemah.
Satu suit jaket dan seluar boleh disipkan dalam satu hari dengan kos RM300
Jam 8.30 malam, kami dibawa oleh Kelvin untuk makan malam di Restoran VN Halal yang terletak di Pham Hong Thai Street. Mungkin VN itu adalah singkatan kepada Viet Nam. Perjalanan mengambil masa 5 minit dengan berjalan kaki.

Selepas makan malam kami terus balik ke hotel untuk beristirahat. (Ejaan yang tepat ialah istirahat. Kata tersebut ialah kata serapan daripada bahasa Arab, istirahat yang bermaksud rehat dan beristirahat bermaksud berehat). Ada sebahagian daripada kami meneruskan aktiviti membeli-belah di Ben Thanh Market.
Pemandangan malam di depan hotel penginapan
Catatan: Lebih banyak gambar boleh dilihat dengan menekan (click) menu Galeri Foto di atas.

Hari Kedua, Sabtu 24 Mac 2012
Agenda lawatan pada hari ini adalah ke My Tho City yang terletak di hulu Sungai Mekong dan menyusuri Sungai Mekong dengan sampan.

Jam 9.00 pagi, kami dibawa ke bahagian tenggara Vietnam ke My Tho City untuk melawat pulau-pulau pertanian di Delta Mekong. Perjalanan dengan bas mini mengambil masa lebih kurang 2 jam. Keadaan jalan raya sangat sibuk dengan ribuan motosikal. Bahagian Sungai Mekong yang mengalir di bandar hitam pekat dengan pelbagai sisa buangan.

Akhirnya kami sampai ke jeti bot menuju ke pulau pertanian jam 11.15 pagi dan terus menaiki bot yang disediakan. Dalam perjalanan yang mengambil masa 20 minit untuk sampai ke pulau pertanian itu kami dihidangkan dengan air minuman kelapa pandan yang enak. Masing-masing juga dihadiahkan dengan satu terendak.

Sebaik sahaja mendarat, kami di bawa ke kedai menjual candy kelapa dan kedai menjual buah-buahan di pulau kecil itu. Sambil menikmati hidangan buah-buahan yang disediakan, kami dihiburkan dengan nyanyian lagu-lagu tradisional termasuk lagu Rasa Sayang. Sebelum persembahan selesai, penghibur tadi dan anak kecilnya akan membawa bekas plastik meminta sumbangan seikhlas mungkin untuk persembahan yang diberikan. Satu strategi pemasaran yang baik. Jamu dulu dengan makanan dan beri sedikit hidangan, lepas itu buat kutipan.

Sekitar jam 12.30 tengahari, kami meninggalkan kedai tadi dan berjalan menuju suatu titi di mana perahu-perahu menunggu untuk membawa penumpang menyusuri Sungai Mekong. Bayaran yang dikenakan adalah 1 USD sahaja. Di Vietnam, matawang Dollar Amerika merupakan matawang yang utama digunakan di samping Dong Vietnam.

Perjalanan dengan perahu mengambil masa lebih kurang 20 minit dan berakhir di jeti pulau, tempat kami mula-mula mendarat. Pengayuh sampan akan selalu menyebut perkataan Hot! Hot! Very hot! untuk menagih simpati anda. Hulurkan lagi 1USD jika ada simpati. Kemudian kami menaiki bot tadi untuk balik ke jeti bot dan meneruskan perjalanan balik ke Ho Chi Minh.

Lebih kurang jam 3.00 petang kami sampai di Ho Chi Minh dan singgah di Restoran Saigon Seri Penang untuk menikmati makan tengahari.

Selepas makan tengahari, kami dibawa balik ke hotel untuk beristirahat dan acara bebas. Selesai solat jamak Zohor dan Asar sebahagian besar daripada kami berjalan kaki ke pasar Ben Thanh untuk meneruskan acara membeli-belah. Di pasar Ben Thanh tiada tanda harga dipamerkan, cuma ada satu deretan gerai yang dimiliki oleh kerajaan, Saigon Ko-op, yang mempamerkan harga tetap.
Saigon Ko-op menawarkan harga murah dan tetap
Peniaga-peniaga di sini bebas meletakkan berapa harga sekalipun. Biasanya harga yang ditawarkan adalah 60% lebih tinggi daripada harga asal. Jadi kalau anda nak tawar-menawar pastikan harga yang anda minta adalah lebih daripada 50% harga yang ditawarkan oleh sipenjual. Sebelum membuat pembelian, eloklah dahulu pergi ke gerai kerajaan untuk meninjau harga yang sepatutnya bagi barangan yang pembaca minati. Jika tidak nanti bila rombongan anda bertemu selepas balik daripada membeli-belah, bolehlah berkata "mari kita lihat siapa yang kena....".

Kembara pada hari kedua di Vietnam ini diakhiri dengan makan malam di Singapore Saigon. Makanannya agak enak stail makanan orang Singapura.

Catatan: Lebih banyak gambar boleh dilihat dengan menekan (click) menu Galeri Foto di atas.


Hari Ketiga, Ahad 25 Mac 2012
Agenda lawatan pada hari ini adalah melawat Cu Chi Tunnel. Cu Chi Tunnel adalah satu rangkaian yang besar menghubungkan terowong-terowong bawah tanah yang terletak di Cu Chi, sebuah daerah di Ho Chi Minh City (Saigon), Vietnam, dan merupakan sebahagian rangkaian terowong yang lebih besar yang melingkari kebanyakan Vietnam. Terowong Cu Chi yang merupakan lokasi beberapa kempen tentera semasa Perang Vietnam, dan adalah asas operasi tentera Viet Cong pada tahun 1968.

Terowong ini  telah digunakan oleh gerila Viet Cong sebagai tempat bersembunyi semasa pertempuran serta bertindak sebagai saluran komunikasi dan bekalan makanan serta senjata. Ia juga merupakan tempat kediaman dan persembunyian bagi pelbagai pejuang gerila. Sistem terowong adalah suatu aset yang besar kepada tentera Viet Cong dalam penentangan mereka terhadap tentera Amerika, dan telah membantu mencapai kejayaan dalam perang tersebut. Amerika tidak akan lupa kekalahan memalukan ini sehingga akhir hayat.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...