Tuesday 28 February 2012

Professional Learning Community (PLC) - Satu Sudut Pandangan

Teringat saya suatu waktu dahulu ketika di alam pembelajaran di sekolah menengah apabila guru mengajukan soalan tentang definisi beberapa perkataan, misalnya apakah yang dimaksudkan dengan equilibrium? Dengan pantas pelajar akan menjawab "Keseimbangan Cikgu!". Kalau begitu apakah yang dimaksudkan dengan Professional Learning Community pula? Ada tak pembaca yang akan menjawab Komuniti Pembelajaran Profesional? Pandai....

Sememangnya menjadi amalan sebahagian kita secara spontan akan memberikan terjemahan sesuatu istilah yang dianjurkan kepada kita dalam Bahasa Inggeris. Nah. diisnilah peranan kita sebagai pendidik untuk menukarkan paradigma ini kepada anak-anak didik kita supaya mereka tidak melakukan apa yang sebahagian daripada kita sering lakukan. Jika semua guru dapat menegur murid atau pelajarnya tentang fenomena salah ini, bolehkah kita katakan sudah wujud satu komuniti pembelajaran profesional?

Apakah Professional Learning Community?
Dalam dunia pendidikan istilah komuniti pembelajaran telah digunakan dalam pelbagai situasi. Ia dikatakan sebagai membawa amalan-amalan di dalam kelas ke dalam komuniti. Ia juga dikatakan sebagai mempelawa personaliti dari luar sekolah ke dalam sekolah untuk mengukuhkan kurikulum dan pembelajaran murid. Hal ini sedang dilaksanakan oleh kementerian pelajaran menerusi program barunya Teach For Malaysia (TFM). Ia juga bermaksud  penglibatan murid, guru, dan pentadbir sekolah di dalam pembelajaran.

Astuto dan rakan-rakan (1993) menyatakan terdapat tiga komuniti yang saling berkait iaitu (1) komuniti profesional pendidik, (2) komuniti pembelajaran guru dan murid, dan (3) pihak-pihak yang berkepentingan dalam komuniti (atau PIBG). Astuto dan rakan-rakan menyimpulkan komuniti pembelajaran profesonal sebagai usaha berterusan guru-guru dan pentadbir sekolah berkongsi pembelajaran untuk kebaikan dan kemajuan sekolah.

Untuk lebih mudah memahami komuniti pembelajaran profesional ini, para pembaca bolehlah merujuk buku-buku berikut:
  1. Leading Professional Learning Communities: Voices from Research and Practice oleh Shirley M. Hord dan William A. Sommers (2007)
  2. Revisiting Professional Learning Communities at Work: New Insights for Improving Schools oleh Richard DuFour, Robert Eaker dan Rebecca DuFour (2008), dan
  3. Learning by Doing: A Handbook for Professional Communities at Work oleh Richard DuFour, Robert Eaker, Rebecca DuFour dan Thomas Many (2010)

Tuesday 14 February 2012

Mitos Hari Valentine

Hari ini masyarakat mengenali 14 Februari sebagai Hari Valentine dan sebahagiannya memberikan gelaran seperti Hari Kekasih dan Hari Kasih Sayang. Pagi semalam (Isnin 13 Februari 2012), Radio IKIM turut melontarkan soalan kepada pendengar setianya memohon pandangan tentang Hari Valentine. Namun saya tertarik dengan pandangan seorang pendengar Radio IKIM yang memberi respon kepada soalan penyiar. Pendengar tersebut adalah seorang ibu yang memberitahu ketika anaknya berusia 8 tahun, anaknya telah meminta wang sebanyak RM10 tanpa memberitahu tujuannya. Siibu kemudian bertanya kepada anaknya hendak buat apa dengan wang itu. Sianak menjawab esok kan Hari Kasih Sayang, jadi duit itu nak digunakan untuk membeli hadiah untuk ibu. Ibu tersebut tergamam dengan jawapan anaknya kerana setahunnya dia tidak pernah mengajar anaknya tentang Hari Kasih Sayang. Mungkinkah anak ini belajar di sekolah? Apatah lagi kalau dia mendengar atau diajar tentang itu di sekolah yang kita mengajar. Pada pandangan ibu tersebut, anaknya telah menerima pembelajaran tentang pengertian 14 Februari secara silap. Apa pula pandangan anda?

Pandangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Dato' Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam sidang media pada 10 Februari 2012 selepas mempengerusikan Wacana Dakwah melalui penyiaran di Putrajaya berkata sambutan itu bukan amalan Islam. Walau bagaimanapun katanya, umat Islam mestilah mempunyai programnya sendiri sebagai alternatif kepada sambutan setiap 14 Februari itu.

Dato' Jamil Khir Baharom
Sebagai contoh, katanya, pada 11 Februari JAKIM telah mengadakan forum dan pelancaran kempen "anti Hari Velentine" di Putrajaya.
"Maknanya kita kena ajak orang ramai supaya fahami bahawa itu (Hari Kekasih) budaya asing," katanya.

Pada sidang media tersebut, JAKIM telah mengedarkan kenyataannya kepada media dengan memetik kembali pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan pada November 2005 yang menyatakan amalan merayakan Hari Kekasih tidak pernah dianjurkan Islam. "Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam," kata pegawai perhubungan JAKIM, Asiah Alkharib Shah, memetik keputusan muzakarah majlis itu.

Mitos hari Valentine
Hari Valentine mempunyai pengertian yang berbeza di beberapa tempat dan sejarahnya pun tidaklah begitu jelas kerana latar belakangnya pun tidak jelas baik dari segi cerita asalnya mahupun waktu berlakunya. Adakah ia berlaku pada 14 Februari atau 15 Februari ataupun seluruh bulan Februari atau pada bulan selain daripada Februari?

Maklumat tentang mitos Hari Valentine dan sejarahnya boleh didapati dalam ensiklopedia bebas Wikipedia di http://ms.wikipedia.org. Sambutan hari Velentine di sesetengah negara Amerika Latin dikenali sebagai Dia del Amor y la Amistad (Hari Cinta dan Persahabatan) misalnya di Mexico, Costa Rica, Ecuador, Puerto Rico dan lain-lain. Di Brazil, Hari Kekasih tidak disambut pada 14 Februari tetapi disambut pada 12 Jun kerana ia merupakan hari sebelum Festa Junina (Hari Santo Antonio) yang dikenali sebagai santo perkahwinan apabila ramai wanita bujang melakukan upacara untuk menemui calon suami atau kekasih yang sesuai. Hari Valentine langsung tidak disambut atas sebab-sebab budaya dan perniagaan kerana ia jatuh terlalu dekat dengan perayaan Carnaval yang biasanya jatuh sekitar awal Februari hingga awal Mac. Carnaval adalah suatu bentu perayaan agama yang mengucapkan selamat jalan kepada unsur-unsur jahat dan membuat persediaan menghadapi kematian.

Tuesday 7 February 2012

Percutian Keluarga Sebagai Satu Aktiviti Pendidikan Luar

Pada awal sesi persekolahan 2012 ini terdapat beberapa deretan hari cuti misalnya Cuti Tahun Baru Cina yang lalu yang bermula dari 21 Januari 2012 hingga 28 Januari 2012 bagi sekolah-sekolah di dalam kumpulan B sekiranya mengambil cuti peristiwa pada Rabu 25 Januari dan cuti ganti pada Khamis 26 Januari serta Jumaat 27 Januari. Begitu juga sederet cuti lagi pada 4 Februari 2012 hingga 7 Februari 2012 sempena Cuti Maulidur Rasul dan Cuti Hari Thaipusam bagi beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia. 

Bagi mengisi masa dalam deretan cuti yang panjang ini, kini telah menjadi satu trend dalam kalangan rakyat Malaysia untuk membawa keluarga bercuti di tempat-tempat menarik di dalam negara mahupun di luar negara. Bagi rakan pendidik, percutian keluarga sebegini sebenarnya boleh dimanfaatkan dengan menjalankan aktiviti pendidikan luar sebagai aktiviti sampingan. 

Dari sudut pendidikan, pendidikan luar biasanya merujuk kepada pembelajaran tersusun yang berlaku di luar. Program-progran pendidikan luar biasanya melibatkan pengalaman setempat atau lawatan yang mana pelajar mengambil bahagian dalam kembara yang penuh dengan pelbagai cabaran dalam bentuk aktiviti-aktiviti luar seperti mendaki, berkenu, tali-temali dan permainan kumpulan. Pendidikan luar menumpu kepada falsafah, teori dan amalan pembelajaran pengalaman dan pembelajaran persekitaran.

Pintu masuk Taman Botanikal Melaka
Misalnya jika anda membawa keluarga berkunjung ke Melaka Bandaraya Bersejarah, anda boleh mengajak keluarga mempelajari flora dan fauna yang terdapat di Taman Botanikal Melaka di Ayer Keroh. Di sana juga terdapat replika dinosaur, Kampung Buku Malaysia dan Taman Herba yang mana ahli keluarga dapat menambah ilmu atau meningkatkan tahap keilmuan anda dan keluarga.

Pada Cuti Tahun Baru Cina yang lalu saya telah berkesempatan membawa keluarga bercuti di Bukit Merah Laketown Resort, Taiping dalam perjalanan menghantar anak yang sedang belajar di Kolej MARA Kuala Nerang. Tiga minggu sebelum ke sana, saya telah menempah seunit apartmen di Tropicana Apartment yang terletak di dalam Bukit Merah Laketown Resort singkatannya BMLR. Untuk mendapatkan unit apartmen yang jauh lebih murah daripada yang ditawarkan oleh pengurusan resort, anda digalakkan memilih homestay yang diiklankan melalui mudah.my seperti yang saya lakukan. Perjalanan dari Seremban ke Bukit Merah mengambil masa lebih kurang 4 jam manakala kedudukan pintu masuk Bukit Merah Laketown Resort hanyalah kira-kira tiga minit selepas susur keluar tol Bukit Merah.

Untuk pengetahuan pembaca yang belum pernah ke sana, semua penginapan, antaranya Suria Service Apartment, Lake Front Villa dan Lake Town Service Apartment terletak di dalam kawasan BMLR. Kadar sewaannya berbeza bergantung kepada tuan rumah jika anda memilih konsep homestay. Dari segi kemudahan di dalam apartmen, biasanya tuan rumah menyediakan segala kelengkapan untuk memasak seperti dapur gas, peti sejuk, pinggan-mangkuk dan sebagainya serta 4 atau 5 bantal tambahan kerana pemilik apartmen tahu bahawa kebanyakan penyewa datang dengan keluarga yang ramai. Bagaimana dengan kemudahan makan dan minum?

Dari segi kemudahan makanan dan minuman tidak menjadi masalah kerana terdapat deretan kedai makanan dan minuman dan warung-warung yang banyak terdapat di luar pintu masuk BMLR sendiri iaitu selepas tol Bukit Merah  antara 3 hingga 6 kilometer dari apartmen mana yang anda menginap. Walau bagaimanapun kemudahan makan dan minum yang terdekat adalah di R & R Gunung Semanggol yang terletak di belakang Apartmen Suria. Anda boleh sampai ke R & R ini melalui jalan belakang/jalan tanpa tol melalui pintu keluar di Apartment Tropicana.

Pemandangan Water Park dari atas Chairlift
Apakah tarikan yang terdapat di BMLR? Di BMLR terdapat banyak tempat-tempat menarik seperti Bukit Merah Water Park, ChairLift, Eco Park, Marina Village, Orang Utan Island dan Sky Cycle. Pertunjukan haiwan yang berkebolehan melakukan pelbagai aktiviti menarik boleh dilihat di dalam Eco Park. Pertunjukan paling awal bermula jam 11 pagi. Untuk tatapan pembaca, gambar-gambar berkaitan BMLR boleh diakses di link Galeri Foto di menu atas.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...