Tuesday 7 February 2012

Percutian Keluarga Sebagai Satu Aktiviti Pendidikan Luar

Pada awal sesi persekolahan 2012 ini terdapat beberapa deretan hari cuti misalnya Cuti Tahun Baru Cina yang lalu yang bermula dari 21 Januari 2012 hingga 28 Januari 2012 bagi sekolah-sekolah di dalam kumpulan B sekiranya mengambil cuti peristiwa pada Rabu 25 Januari dan cuti ganti pada Khamis 26 Januari serta Jumaat 27 Januari. Begitu juga sederet cuti lagi pada 4 Februari 2012 hingga 7 Februari 2012 sempena Cuti Maulidur Rasul dan Cuti Hari Thaipusam bagi beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia. 

Bagi mengisi masa dalam deretan cuti yang panjang ini, kini telah menjadi satu trend dalam kalangan rakyat Malaysia untuk membawa keluarga bercuti di tempat-tempat menarik di dalam negara mahupun di luar negara. Bagi rakan pendidik, percutian keluarga sebegini sebenarnya boleh dimanfaatkan dengan menjalankan aktiviti pendidikan luar sebagai aktiviti sampingan. 

Dari sudut pendidikan, pendidikan luar biasanya merujuk kepada pembelajaran tersusun yang berlaku di luar. Program-progran pendidikan luar biasanya melibatkan pengalaman setempat atau lawatan yang mana pelajar mengambil bahagian dalam kembara yang penuh dengan pelbagai cabaran dalam bentuk aktiviti-aktiviti luar seperti mendaki, berkenu, tali-temali dan permainan kumpulan. Pendidikan luar menumpu kepada falsafah, teori dan amalan pembelajaran pengalaman dan pembelajaran persekitaran.

Pintu masuk Taman Botanikal Melaka
Misalnya jika anda membawa keluarga berkunjung ke Melaka Bandaraya Bersejarah, anda boleh mengajak keluarga mempelajari flora dan fauna yang terdapat di Taman Botanikal Melaka di Ayer Keroh. Di sana juga terdapat replika dinosaur, Kampung Buku Malaysia dan Taman Herba yang mana ahli keluarga dapat menambah ilmu atau meningkatkan tahap keilmuan anda dan keluarga.

Pada Cuti Tahun Baru Cina yang lalu saya telah berkesempatan membawa keluarga bercuti di Bukit Merah Laketown Resort, Taiping dalam perjalanan menghantar anak yang sedang belajar di Kolej MARA Kuala Nerang. Tiga minggu sebelum ke sana, saya telah menempah seunit apartmen di Tropicana Apartment yang terletak di dalam Bukit Merah Laketown Resort singkatannya BMLR. Untuk mendapatkan unit apartmen yang jauh lebih murah daripada yang ditawarkan oleh pengurusan resort, anda digalakkan memilih homestay yang diiklankan melalui mudah.my seperti yang saya lakukan. Perjalanan dari Seremban ke Bukit Merah mengambil masa lebih kurang 4 jam manakala kedudukan pintu masuk Bukit Merah Laketown Resort hanyalah kira-kira tiga minit selepas susur keluar tol Bukit Merah.

Untuk pengetahuan pembaca yang belum pernah ke sana, semua penginapan, antaranya Suria Service Apartment, Lake Front Villa dan Lake Town Service Apartment terletak di dalam kawasan BMLR. Kadar sewaannya berbeza bergantung kepada tuan rumah jika anda memilih konsep homestay. Dari segi kemudahan di dalam apartmen, biasanya tuan rumah menyediakan segala kelengkapan untuk memasak seperti dapur gas, peti sejuk, pinggan-mangkuk dan sebagainya serta 4 atau 5 bantal tambahan kerana pemilik apartmen tahu bahawa kebanyakan penyewa datang dengan keluarga yang ramai. Bagaimana dengan kemudahan makan dan minum?

Dari segi kemudahan makanan dan minuman tidak menjadi masalah kerana terdapat deretan kedai makanan dan minuman dan warung-warung yang banyak terdapat di luar pintu masuk BMLR sendiri iaitu selepas tol Bukit Merah  antara 3 hingga 6 kilometer dari apartmen mana yang anda menginap. Walau bagaimanapun kemudahan makan dan minum yang terdekat adalah di R & R Gunung Semanggol yang terletak di belakang Apartmen Suria. Anda boleh sampai ke R & R ini melalui jalan belakang/jalan tanpa tol melalui pintu keluar di Apartment Tropicana.

Pemandangan Water Park dari atas Chairlift
Apakah tarikan yang terdapat di BMLR? Di BMLR terdapat banyak tempat-tempat menarik seperti Bukit Merah Water Park, ChairLift, Eco Park, Marina Village, Orang Utan Island dan Sky Cycle. Pertunjukan haiwan yang berkebolehan melakukan pelbagai aktiviti menarik boleh dilihat di dalam Eco Park. Pertunjukan paling awal bermula jam 11 pagi. Untuk tatapan pembaca, gambar-gambar berkaitan BMLR boleh diakses di link Galeri Foto di menu atas.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...