Thursday 30 June 2011

1Murid 1Sukan 1Malaysia


Pada hari Sabtu 2 Julai 2011 ini sekolah-sekolah di Malaysia akan mencipta sejarah apabila guru, ibu bapa, penjaga, PIBG dan murid-murid menyertai larian 1Murid 1Sukan 1Malaysia bermula tepat jam 7.45 pagi. Program akan bermula dengan kehadiran guru dan murid pada jam 7.00 pagi di dataran sekolah. Pada jam 7.20 pagi, pengetua akan membacakan perutusan Menteri Pelajaran Malaysia. Sekolah-sekolah yang mempunyai kemudahan wifi bolehlah mempertontonkan kepada peserta siaran langsung majlis Pelancaran Larian Serentak 1Murid 1Sukan oleh YB Tan Sri Haji Muhyiddin bin Mohd Yassin, Menteri Pelajaran Malaysia yang akan berlangsung  di Padang Esplanade, Taiping, Perak pada masa yang sama melalui siaran TV3 dan secara live streaming melalui Portal EduWebTv di alamat www.eduwebtv.com mulai jam 7.30 pagi sehingga 9.00 pagi.

Marilah kita saksikan acara bersejarah ini yang merupakan larian terbesar yang disertai oleh murid-murid sekolah yang pernah diadakan di negara ini. Acara ini juga akan dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBR).

Menurut Buku Panduan Pelaksanaan Dasar Satu Murid Satu Sukan (1M 1S) yang diterbitkan oleh Bahagian Sukan, Kementerian Peljaran Malaysia, dasar 1M 1S mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memberi tumpuan ke arah melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Dasar ini selaras dengan Dasar Sukan Negara yang memberi penekanan kepada Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan. Dasar ini memberi perhatian yang utama kepada murid yang kurang aktif supaya mereka melibatkan diri dalam aktiviti sukan. Pada masa yang sama, bakat murid yang berpotensi akan digilap dan dibangunkan melalui Sukan Prestasi Tinggi Sekolah  (SPTS).

Di peringkat Negeri Sembilan, Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan telah mengambil inisiatif untuk menjayakan larian ini dengan (1) memaklumkan semua sekolah melalui surat siaran (2) mengutip maklumat peserta yang akan mengambil bahagian melalui mel elektronik dan (3) mengadakan taklimat kepada semua pengetua dan guru besar di setiap daerah tentang program tersebut dan (4) menghantar softcopy rakaman dan gambar-gambar aktiviti larian ke urusetia di Kementerian Pelajaran Malaysia.

Pada jam 2.40 petang tadi, Tuan Pkharuddin bin Haji Ghazali, Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan mewakili Tuan Pengarah Pelajaran telah menyampaikan amanat pengarah berkaitan dengan larian tersebut di Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar, Seremban. Tuan Mohd Sah bin Zainal Abdidin, Pegawai Pelajaran Daerah Seremban turut memberi taklimat ringkas kepada semua pengetua dan guru besar serta wakil mereka tentang program 1Murid 1Sukan 1Malaysia. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...