Monday 5 March 2012

Merealisasikan Surat Siaran KPPM Bilangan 4 Tahun 2012

Hari ini pasukan sepak takraw sekolah saya yang telah memenangi Kejohanan Sepak Takraw MSS Daerah Seremban 2 pada 29 Februari 2012 yang lalu dalam kategori bawah 15 tahun telah diraikan dengan jamuan makan tengahari di KFC Senawang di Giant Hypermarket Senawang.

Kemenangan dirai bersama
Kemenangan itu merupakan satu peristiwa yang bersejarah kerana buat pertama kalinya sejak SMK Senawang 3 ditubuhkan pada 2007, pasukan sekolah telah berjaya menjadi johan dalam kategori berpasukan. Kejohanan-kejohanan dan pertandingan-pertandingan yang dimenangi sebelum ini adalah dalam kategori individu sahaja. Sebagai sebuah sekolah menumpang dengan bilangan pelajar yang kecil dan mempunyai 6 buah kelas sahaja yang terdiri dari tingkatan satu hingga tiga, kemenangan itu boleh dianggap sebagai suatu kejayaan yang besar dan amat bermakna.

Regu Juara Pencipta Sejarah SMKS3
Namun saya tergerak menuliskan tajuk Merealisasikan Surat Siaran KPPM Bilangan 4 tahun 2012 untuk posting ini. Mengapa? Ianya berkaitan dengan Surat Siaran KPPM Bilangan 4 Tahun 2012 itu yang bertajuk Pelaksanaan Amalan Guru Penyayang. Menurut surat siaran itu Pelaksanaan amalan Guru Penyayang adalah bertujuan agar setiap guru membudayakan sikap kasih sayang di sekolah.

Guru Penyayang didefinisikan sebagai guru yang memiliki sifat kepedulian terhadap muridnya dengan cara mengamalkan nilai kasih sayang, bersikap mesra, mengambil berat, berbudi bahasa, saling menghormati, sentiasa ceria, prihatin dan sabar.

Fasa pertama pelaksanaan amalan Guru Penyayang hendaklah melaksanakan tiga aktiviti berikut:
  1. Mengalu-alukan kehadiran murid
  2. Memberi penghargaan kepada murid
  3. Program mentor mentee
Sehubungan dengan itu semua sekolah telah diarah merancang strategi pelaksanaannya di peringkat sekolah masing-masing. Aktiviti Mengalu-alukan Kehadiran Murid dan aktiviti Memberi Penghargaan Kepada Murid hendaklah bermula pada bulan Mac 2012. Manakala bagi program Mentor Mentee, pelaksanaannnya hendaklah dimulakan pada bulan Mei 2012. seperti yang terkandung dalam surat siaran itu.

Pada pandangan saya ketiga-tiga aktiviti itu sebenarnya memang telah lama dilaksanakan di kebanyakan sekolah-sekolah di negara kita. Walau bagaimanpun dengan adanya surat siaran itu aktiviti-aktiviti ini menjadi satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dan diharapkan amalan guru penyayang ini dapat diperluaskan ke semua sekolah-sekolah yang terdapat di dalam negara kita, yang jumlahnya menjangkau 10,000 buah itu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...