Sunday 29 November 2015

Kembara Guilin 2015 - Hari Pertama

Pada ketika posting ini ditulis, cuti akhir tahun sesi persekolahan 2015 baharu sahaja selesai seminggu. Ini bermakna guru-guru dan murid-murid masih ada berbaki lima minggu lagi sebelum sesi persekolahan 2016 dibuka pada 4 Januari 2016 bagi sekolah-sekolah di negeri-negeri yang minggu bekerjanya bermula pada hari Isnin manakala bagi negeri-negeri yang minggu bekerjanya bermula pada hari Ahad, sesi persekolahan 2016 akan bermula pada 3 Januari 2016. Namun terdapat juga salah faham dalam kalangan orang awam bahawa pengetua juga turut bercuti sama seperti guru-guru.

Bagi guru-guru, cuti akhir tahun ini boleh dimanfaatkan dengan membawa keluarga bercuti ke destinasi-destinasi pelancongan sama ada di dalam atau di luar negara. Sudah menjadi trend dalam kalangan guru-guru untuk melancong ke luar negara ketika cuti persekolahan. Ianya menjadi lebih bermakna jika pengalaman-pengalaman ketika melancong ke luar negara itu dapat digunakan untuk mencari idea bagi meningkatkan kemajuan sekolah, misalnya mengaplikasi lanskap yang menarik di luar negara ke sekolah.

Pada 15 hingga 19 Oktober 2015 yang lalu, saya telah berkesempatan mengikuti rombongan Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Negeri Sembilan melawat Guilin, China. Guilin adalah sebuah bandar yang terletak di sebelah utara wilayah Guangxi dalam negara China. Menurut pemandu pelancong kami, Peter, muka bumi Guilin terdiri daripada 80% bukit-bukau, 10% tanah pamah dan 10% air. Bukit-bukaunya yang berbatu kapur menyebabkan ia sukar untuk diratakan. Justeri itu, ia dibiarkan supaya membentuk pemandangan yang cantik menjadikan Guilin satu pusat tarikan utama pelancong kerana keindahan pemandangannya yang semula jadi. Selain daripada bukit-bukit batu kapurnya yang menjadi tarikan, Guilin juga mempunyai ribuan gua yang mempunyai pemandangan indah di dalamnya. Sungai-sungainya yang lebar dan sangat jernih turut menjadi tarikan pelancong ke sini.

Bergambar ramai di puncak Gunung Yao
HARI PERTAMA - KHAMIS 15 OKTOBER 2015

Penerbangan dengan pesawat AK 165 Air Asia mengambil masa lebih kurang 4 jam. Kami berlepas dari KLIA2 jam 6.45 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Liangjiang, Guilin jam 10.35 pagi. Selepas selesai urusan imigresen, rombongan kami seramai 34 orang dibawa menaiki bas ke bandar Guilin untuk makan tengah hari di sebuah restoran Muslim berdekatan masjid Guilin sebelum bertolak ke stesen kereta kabel Gunung Yao.


Perjalanan dari stesen di bawah ke stesen di puncak mengambil masa lebih kurang 30 minit. Dari atas kereta kabel, kita dapat melihat pemandangan bukit-bukit batu kapur yang cantik, kelihatan puncak bukit yang tajam, dan sebahagian bandar Guilin.


Ketika kren naik ke atas, akan ada jurukamera yang mengambil gambar pelancong dan setibanya di puncak, gambar telah siap dicetak untuk dijual. Sekeping  gambar bersaiz 8R berharga 20 yuan (RMB) atau renmimbi. Pada ketika ini, kadar pertukaran adalah RM1000 adalah bersamaan dengan RMB 1500 akibat kemerosotan nilai mata wang ringgit.


Selain daripada melihat pemandangn yang indah, di puncak Gunung Yao, terdapat kedai menjual cenderamata seperti ukiran kayu, lukisan tangan, topi, dan sebagainya.


Patung Buddha yang terdapat di hentian membeli-belah di puncak Gunung Yao, yang setinggi 909 meter dari aras laut ini menunjukkan agama anutan utama penduduk Guilin adalah agama Buddha. Perhatikan duit syiling yang diletakkan pengunjung di atas rantai Buddha. Ada syiling 10 sen Malaysia. Bolehkah ia bertahan di situ?


Selepas melawat persekitaran puncak Gunung Yao yang terdapat juga kubur pahlawan Dinasti Tang, kami bergerak menuju ke kilang sutera. Seperti di mana-mana kilang sutera lain, kami dibawa melihat bagaimana kain sutera dihasilkan daripada kepompong ulat sutera.



Jurujual akan memberitahu hasil tenunan sutera di kilang ini adalah yang terbaik di dunia dan menawarkan harga satu set cadar sutera berserta bantal dan selimut dengan harga 1000 yuan sahaja khas untuk pengunjung yang datang pada hari itu sahaja.
Big Banyan Tree berusia ratusan tahun
Setelah itu kami dibawa melawat The Big Tree iaitu melihat sebatang pokok besar spesies Banyan yang usianya ratusan tahun. Di persekitaran kawasan ini terdapat istana lama dan sewaan pakaian Raja dan Maharani untuk tujuan bergambar di hadapan istana lama itu.


 

Selepas itu kami telah bergerak menuju Masjid Guilin menunaikan solat jamak dan qasar.

Bergambar di hadapan Masjid Guilin di Chongsan Road
Kemudian kami berjalan kaki ke sebuah restoran Muslim, Islam Restaurant, berdekatan Masjid Guilin untuk menikmati makan malam pada 6.15 petang. Ini merupakan pengalaman kali pertama bagi sebahagian daripada kami menjamah makanan penduduk Guilin. Makanan yang dihidangkan terdiri daripada pelbagai rasa ada yang masin, ada yang tawar, ada yang pedas terdiri daripada pelbagai jenis sayur-sayuran. Agaknya untuk mendapatkan rasa selera Malaysia, kita perlu mencampurkan beberapa hidangan mengikut kesesuaian selera kita.


Setelah menikmati hidangan makan malam, kami bergerak menuju hotel untuk mengemas diri selepas sehari suntuk berjalan. Tiada sebarang aktiviti dijalankan pada malam itu kerana rombongan telah kepenatan. Kami menginap di Hotel Baigong Guilin dan setiap orang diberikan kupon sarapan pagi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...