Monday 30 November 2015

Kembara Guilin 2015 - Hari Kedua

HARI KEDUA  JUMAAT- 16 OKTOBER 2015

Aktiviti pagi Jumaat di Guilin dimulakan dengan menikmati sarapan pagi di hotel penginapan kami Baigong Hotel. Walau bagaimanapun hanya makanan seperti telur rebus dan jagung manis rebus serta ubi keledek rebus sahaja yang boleh dinikmati di restoran hotel kerana makanan lain seperti nasi goreng tidak dapat dipastikan halalnya. Maka, makanan dalam tin yang dibawa dari Malaysia seperti rendang, serunding, sambal ikan bilis dan sebagainya serta maggie menjadi hidangan sarapan pagi yang paling enak di Guilin ini.
Ubi keledek cicah sambal udang kering
Selepas sarapan pagi kami menaiki bas jam 8.00 pagi untuk bergerak ke destinasi pelancongan seterusnya. Peter, pemandu pelancong kami memaklumkan atur cara lawatan hari ini ialah melawat Istana Chengyun dan Bamboo House, kemudian balik ke hotel. Di sebelah petang kami dimaklumkan akan menaiki bas menuju Yangshiao dan bermalam di situ selama satu malam.

Selepas 20 minit, kami pun sampai ke Princess City and Solitary Beauty Park di mana terletaknya Chengyun Palace yang pernah menjadi pusat pentadbiran wilayah Guangxi.




Setelah melawat kawasan istana yang luas ini rombongan kami dibawa ke kedai Bamboo House untuk mendengar penerangan tentang industri buluh di Guilin. Bamboo House turut menjual produk yang dibuat daripada buluh. Kain yang dibuat daripada buluh dikatakan dapat menyerap lebih banyak air berbanding kain yag diperbuat daripada bahan lain seperti kapas dan seumpamanya. Selain daripada itu kain buluh lebih bersifat anti bakteria.



Perhatikan dinding bangunan Bamboo House yang dihias dengan ruas-ruas buluh sebagai daya tarikan kepada pengunjung. Di sini juga dijual pakaian dalam yang dikatakan dapat membunuh bakteria. Kami berada di kedai ini lebih dari dua jam iaitu dari 10.00 pagi hingga 12.15 tengah hari. Selepas itu kami telah bergerak menaiki semula bas untuk ke Masjid Guilin bagi menunaikan solat fardu Jumaat. Ini merupakan pengalaman pertama bagi sebahagian kami menunaikan solat Jumaat di bumi China ini.

Tatacara solat Jumaat di bumi China ini adalah berbeza dengan keadaan kita di Malaysia. Sebelum solat sunat sebelum Jumaat dilakukan, imam masjid yang datang dari daerah lain akan memberikan tazkirah dahulu, tentunya dalam bahasa Mandarin. Selepas tazkirah, imam dan makmum mendirikan solat sunat sebelum Jumaat sebanyak empat rakaat dengan dua kali salam. Selepas itu khutbah akan dibacakan juga oleh imam yang sama, diikuti dengan mengerjakan solat fardu Jumaat. Selepas solat Jumaat selesai, imam dan makmum sekali lagi bangun untuk solat sunat empat rakaat dengan dua salam. Dan akhirnya barulah ditutup dengan bacaan doa oleh imam tadi.

Imam menyampaikan tazkirah
Selepas selesai solat Jumaat, kami dibawa ke restoran Muslim untuk makan tengah hari. Jam 2.30 petang kami menaiki bas dan mula bergerak menuju Yangshuo yang terkenal dengan keindahan alam semula jadinya.

Kami tiba di Yangshuo sekitar jam 4.50 petang dan terus ke jeti bot untuk menyusuri Li River bagi menikmati pemandangan indah di persekitaran Sungai Li. Ini termasuklah melihat pemandangan yang terdapat di belakang wang kertas 20 yuan.




Keindahan puncak-puncak bukit-bukit batu kapur Guilin terserlah di Yangshuo ini yang merupakan pengakhiran Sungai Li yang merentas bandar Guilin.



Pemandangan yang indah di Sungai Li ini telah diabadikan oleh kerajaan China pada wang kertas 20 yuan. Apa yang menarik pada wang kertas negara China ini adalah penggunaan tulisan Arab seperti tulisan jawi kita. Mereka  menghormati budaya luar yang pernah mempengaruhi atau pernah sampai ke negara mereka.
Tulisan jawi di barisan ketiga
Selepas hampir sejam menyusuri Sungai Li, kami dibawa menikmati hidangan makan malam di sebuah restoran di Yangshuo. Seperti di kedai-kedai mamak di Malaysia password wifi ditampal di salah satu tiang restoran.




Selepas makan malam, kami terus daftar masuk di hotel. Sebahagian daripada kami turut mengunjungi pasar malam di West Street, Yangshuo.


Selfie di pasar malam West Street
Episod kembara Guilin hari kedua berakhir di sini.....

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...