Monday 5 January 2015

Persediaan Sesi Persekolahan Awal Tahun 2015

Pada minggu ini, saya fikir semua sekolah agak sibuk kerana sesi persekolahan tahun 2015 akan bermula pada Ahad, 11 Januari 2015 bagi sekolah-sekolah yang terletak di negeri-negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor. Negeri-negeri lain pula akan memulakan sesi persekolahan tahun 2015 pada hari Isnin, 12 Januari 2015. 

Pada kebiasaannya, pegawai-pegawai dari jabatan pendidikan negeri atau pejabat pendidikan daerah akan hadir ke sekolah untuk memantau persiapan pembukaan sesi persekolahan baharu dengan membuat pemeriksaan sekolah berdasarkan instrumen pemantauan awal persekolahan yang dikeluarkan oleh pihak Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, JNJK. Pihak sekolah hendaklah memastikan setiap murid ada 1 set buku teks, 1 meja, 1 kerusi supaya sesi pembelajaran murid tidak tergendala mulai hari pertama sesi persekolahan tahun 2015.

Namum semalam, pada pagi Ahad 4 Januari 2015, saya telah dikejutkan oleh panggilan telefon daripada pengawal keselamatan sekolah, saudara Azuan yang memaklumkan seluruh sekolah terputus bekalan elektrik. Inilah antara fenomena yang berlaku kepada sekolah yang dibina di bawah projek PMC (Project Management Consultants) sebaik sahaja tempoh jaminan tamat. Bagi SMK Taman Forest Heights tempoh jaminan telahpun tamat pada 30 September 2014 yang lalu. Pada hari ini, Isnin, 5 Januari 2015, kami bergelap sehingga jam 4.00 petang barulah bekalan elektrik dapat dipulihkan. Inilah nikmatnya bekalan elektrik. Bayangkanlah saudara-saudara kita yang menghadapi bencana banjir besar di Kelantan,Terengganu dan Pahang serta beberapa negeri yang lain. Keaadaannya lebih menyedihkan daripada ini. Syukur Alhamdulillah keadaan kami jauh lebih baik.

Bagi rakan-rakan pengetua yang baharu dilantik apakah tindakan yang perlu dibuat seandainya bekalan elektrik terputus di seluruh sekolah? Catatan ini bolehlah dijadikan panduan mengurus bencana seperti ini. Jika bekalan terputus di beberapa bangunan sekolah, tindakan boleh dibuat sendiri tanpa melibatkan pihak TNB, JKR Elektrik dan Pejabat Penddidikan Daerah dengan mengenal pasti DB (distribution board) yang mana berlakunya litar pintas. Lihat suis mana litar pintas berlaku dan gerakkan ke tanda ON. Jika bekalan elektrik tidak ada di bahagian plug, kebiasaannya panel suis terletak di bahagian atas sekali pada DB. 

Bagi kes di mana bekalan elektrik terputus seenuhnya di seluruh sekolah, langkah pertama yang perlu diambil ialah menghubungi TNB untuk mempastikan ada bekalan elektrik dari sub-station TNB ke sub-station sekolah. Biasanya kedua-dua sub-station terletak dalam bangunan yang sama tetapi di dalam dua bilik yang berasingan, setiap satu adalah kawasan berpagar. Pihak TNB akan memeriksa adakah ada bekalan elektrik dari luar ke kedua-dua sub-station ini. Langkah kedua ialah menghubungi pihak JKR Elektrik untuk memeriksa circuit breaker jika bermasalah. Jangan sekali-kali cuba mengusik apa-apa suis di panel papan litar kerana bekalan elektrik di sini sangat tinggi dan boleh menyebabkan anda terpelanting. AWAS! Sekiranya pihak JKR Elektrik mengesahkan terdapat masalah pada papan litar bolehlah anda menghubungi Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Unit Pembangunan dan Bekalan dengan memaklumkan tentang bekalan elektrik  terputus ke seluruh sekolah dan nyatakan bila kejadian berlaku dan apakah tindakan awal yang telah dilakukan.

Dalam kes sekolah saya, Alhamdulillah, pihak JKR Elektrik telah mengenal pasti masalah pada circuit breaker di sub-station sekolah, dan telah membuat penetapan semula (reset) pada papan litar. Terima kasih PPD Seremban. Terima kasih Encik Nizam dan Encik Bob dari JKR Elektrik Seremban. Terima kasih TNB Seremban. Semoga Allah membalas jasa kalian. Amin.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...