Thursday 8 December 2011

Mesyuarat Refleksi Pengetua Tahun 2011

Alhamdulillah mesyuarat refleksi pengetua bagi tahun 2011 telah selamat dihadiri pada 5, 6 dan 7 Disember yang lalu bertempat di Hotel Goldcourse, Klang. Bagi sebahagian besar peserta yang hadir, ada yang baru pertama kali menghadirinya. Bagi saya pula, ini adalah kali pertama saya menjejakkan kaki ke Hotel Goldcourse ini, bunyinya macam Goldcoast di Brisbane, Australia. Sebelum menjejakkan kaki ke hotel ini saya telah membuat carian terlebih dahulu dengan enjin pencari Google dan Crawler untuk mendapatkan sedikit sebanyak maklumat tentang hotel ini terutama sekali maklumat tentang lokasinya. Maklumlah baru pertama kali hendak ke hotel ini. Ada pengunjung yang memberi komen hotel ini berbau dan buruk kerana tidak diselenggara dengan baik. Namun apabila sampai di Jalan Pasar, jelas kelihatan hotel tersebut yang tersergam di tepi Sungai Klang memang berada dalam keadaan yang buruk kerana tidak dicat semula. Maklumat yang saya terima daripada pengunjung menyatakan hotel ini baru diambilalih oleh seorang pengusaha Bumiputera dan  dalam proses menaik-taraf.

Encik Omar bin Ahamad sedang berbicara
Mesyuarat kali ini pada hemat saya merupakan mesyuarat yang paling ramai dihadiri oleh wakil-wakil pengetua, tidak kurang daripada 20 orang kesemuanya daripada 117 buah sekolah menengah di Negeri Sembilan. Mesyuarat kali ini lebih menarik dengan pengisian dua slot pendek yang sangat berkesan iaitu pembentangan perkongsian pengalaman daripada dua orang rakan sejawat iaitu Encik Omar bin Ahamad dari SMK Taman Tuanku Jaafar, Seremban yang berkongsi pengalaman beliau membangunkan perkhidmatan ICT di SMK Jelai Felda dan SMK Taman Tuanku Jaafar menerusi slot bertajuk Ke Arah Sekolah Berwatak ICT. Usaha gigih beliau ini telah menobatkan beliau sebagai Pemimpin ICT peringkat Negeri Sembilan dan tempat kedua peringkat kebangsaan. Beliau telah berkongsi pengalaman beliau ketika menghadiri lawatan ke Korea Selatan sebagai sebahagian daripada anugerah dan pengiktirafan yang diberikan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Dalam pada itu, slot kedua perkongsian best practice yang dijadualkan pada jam 8.00 malam 6 Disember oleh Tuan Haji Rosdin bin Kasim dari SMK Simpang Gelami yang berjaya membangunkan SMK Simpang Gelami sehingga mendapat tawaran baru / baiah tidak dapat diadakan. Ini disebabkan adanya intervensi majlis persaraan Yang Berbahagia Dr. Haji Zahri bin Aziz, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Bahagian Operasi Pendidikan yang akan bersara pada 10 Disember 2011.

Yang Berbahagian Dr. Haji Zahri bersama isteri dan Pengarah JPNS
Ramai daripada kalangan pengetua berasa hampa kerana perkongsian pengalaman Tuan Haji Rosdin tidak dapat diadakan dan menganggap slot pendek ini sebagai input yang paling bermakna dalam mesyuarat kali ini. Oleh itu, dicadangkan Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM) Cawangan Negeri Sembilan agar dapat menganjurkan seminar atau kolokium Best Practice pada tahun 2012 nanti supaya pengalaman-pengalaman begini dapat dikongsi bersama-sama pengetua dan pemimpin pendidikan yang lain ke arah meningkatkan tahap pendidikan di Negeri Sembilan dan seterusnya mencapai KPI yang ditetapkan oleh JPNS.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...