Friday 21 January 2011

Mulanya Di Sini...

Bandar Simanggang dari udara
10 Julai 1981. Tarikh keramat bermulanya kerjaya  saya sebagai Guru Bukan Siswazah Kategori T1. Pada ketika itu gaji seorang guru bertaraf diploma hanyalah RM 370.00 (Tiga ratus tujuh puluh sahaja). Namun wang sebanyak itu boleh menyara kehidupan seorang guru dengan selesa. Pada masa itu nilai wang sangat besar berbanding sekarang. Dulu seorang guru mampu membeli sebuah banglo, 10 tahun kemudian, guru hanya mampu membeli rumah berkembar dua, sekarang rumah teres dua tingkat, tak tahu pula bagaimana agaknya pada masa akan datang.

Gambar di atas menunjukkan pemandangan dari udara Bandar Sri Aman (nama lamanya ialah Simanggang), Sarawak di mana saya ditempatkan mengajar kali pertama. Dua deret kedai beratap merah di tepi Batang Lupar /Sungai Lupar (batang  bermakna sungai dalam bahasa Iban) telah hangus terbakar pada bulan Februari 1982.opps kalau tak silap).

Gambar di bawah pula menunjukkan SMK Simanggang, dulu disebut Sekolah Menengah Kerajaan Simanggang, kini Sekolah Menengah Kebangsaan Simanggang. Pengalaman mengajar 5 tahun di sana adalah pengalaman yang manis apatah lagi pada masa itu usia pula masih belia.

Keistimewaan sungai Batang Lupar ini ialah apabila airnya surut, kanak-kanak boleh bermain bola di dasarnya yang kering. Apabila air pasang, ombak besar akan bergerak dari hulu ke hilirnya. Ombak ini dipanggil benak. Jika hendak melihat benak, singgahlah ke Sri Aman, ada pesta melihat benak.
Sekolah Menengah Kerajaan Simanggang - pandangan dari udara
Benak di Sri Aman

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...