Friday 4 December 2015

Kembara Guilin 2015 - Hari Keempat

HARI KEEMPAT - AHAD 18 OKTOBER 2015

Sebaik sahaja selesai bersarapan pagi di coffee house hotel Baigong, kami menaiki bas jam 8.00 pagi untuk bergerak ke destinasi pelancongan seterusnya. Peter, pemandu pelancong kami memaklumkan atur cara lawatan hari ini ialah melihat Pagoda Matahari dan Bulan dengan menaiki bot menyusuri sungai, melawat kedai ubatan tradisional, kedai menjual batu jed dan kemudian di sebelah petangnya kami akan dibawa menonton pertunjukan kebudayaan.

Selepas bergerak lebih kurang 20 minit, kami pun sampai ke jeti bot untuk menaiki bot dan mula bergerak menyusuri sungai Li atau Lijiang (jiang bermaksud sungai).


Penerangan tentang perjalanan dalam bahasa China


Terdapat lukisan pada dinding bawah jambatan


Destinasi bot yang dinaiki ini adalah ke suatu pagoda yang mengambil masa perjalanan lebih kurang 30 minit dari jeti tadi. Dalam perjalanan saya terpandang satu hentian yang mempunyai bumbung Minangkabau. Tidak pastilah pula bagaimana idea bumbung Minangkabau ini tercetus dalam pembinaan hentian ini. Mungkinkah ada kaitan dengan sejarah Melayu Melaka?

Bumbung Minangkabau pada bangunan ini
Tidak lama kemudian ternampaklah Pagoda Matahari (saya mendapat tahu kemudian bahawa ini bukanlah Pagoda Matahari kerana Pogoda Matahari dan Pagoda Bulan terletak sebelah-menyebelah), dan kami pun tidak melepaskan peluang mengambil beberapa keping gambar bagi mengabadikan monumen ini sebagai latar belakang gambar-gambar yang diambil. Pagoda ini terletak di atas satu bukit yang dinamakan Pagoda Hill atau Bukit Pagoda.



Bergambar berlatarbelakangkan Pagoda Hill
Berselfie ramai-ramai
Kami tiba di satu jeti lagi untuk menukar bot bagi meneruskan aktiviti  menyusuri Sungai Li.

Berhenti di jeti untuk menukar bot
Di sepanjang laluan bahagian sungai Li ini, kelihatan beberapa aktiviti yang dijalankan oleh penduduk tempatan seperti memancing, mandi-manda, dan membasuh pakaian.

Memancing dari atas boya
Memancing dari atas rakit
Membasuh pakaian di gigi air
Elephant Trunk Hill dari jauh
Dari jauh kami melalui Elephant Trunk Hill dan mengambil kesempatan bergambar berlatar belakangkan salah satu destinasi pelancongan yang popular di Guilin.


Setelah selesai aktiviti menyusuri Sungai Li, kami bergerak menuju kedai menjual herba dan sampai di sana lebih kurang jam 10.00 pagi. Di ruang legar kedai herba, terdapat gambar gadis Tibet, kata penjual herba, herba mereka adalah istimewa berasal dari Tanah Tinggi Tibet.


Sebaik sahaja masuk ke kedai herba, kami dibawa ke satu bilik khas, diminta membuka setokin dan kasut, kemudian merendam kaki di dalam bekas berisi air herba.



Selepas kaki direndam selama 10 minit, sepasukan tukang urut masuk untuk mengurut kaki rombongan kami. Kemudian muncul pula beberapa orang yang mengaku doktor untuk memberi penerangan tentang kesihatan pengunjung dan mengesyorkan beberapa jenis ubat herba yang sesuai bagi merawati penyakit yang dapat dikesan sama ada melalui perbualan dengan doktor itu ataupun melalui diagnosa yang dibuat oleh doktor-doktor itu.


Pemuda memakai baju makmal putih diperkenalkan sebagai doktor
Kunjungan ke kedai herba ini mengambil masa lebih kurang satu setengah jam. Selepas makan tengah hari, kami dibawa melawat ke kedai jed dan mutiara pula.


Antara barang kemas yang dijual
Di kedai jed ini, muncul seorang perempuan bernama Rose, yang mengaku adalah adik kepada pemilik kedai sambil menerangkan bagaimana membezakan di antara mutiara yang tulen dengan mutiara tiruan. Dia bertutur dalam Bahasa Inggeris, tidak berapa petah kerana masih belajar lagi katanya. Setiap pengunjung diberikan percuma sebentuk cincin bertatah mutiara tulen.


Kemudian kami dibawa ke ruangan barangan kemas berbatu jed dan bermutiara tulen. Kami ditawarkan harga potongan yang sangat tinggi untuk menarik perhatian membeli barangan kemas yang ditawarkan oleh kedai ini.

Bergambar ramai di ruang jualan batu permata
Selepas lawatan ke kedai jed, kami meneruskan perjalanan ke tempat pertujukan budaya yang bermula jam 5.00 petang. Pertunjukan ini mengisahkan seorang pengembara waktu bernama A Niu yang mengembara ke Guilin dan Yangshou. Kisah pengembaraannya dibahagikan kepada tiga bab. Bab pertama bertajuk Green Hills.






Bab Kedua bertajuk Beautifil Waves menceritakan bagaimana A Niu berkenalan dengan seorang gadis dari Kampung Yao.





Bab Ketiga pula bertajuk Mysterious Cave yang menceritakan bagaimana A Niu bertemu dengan Putera Kelawar di gua misteri dan tersentuh satu batu sumpahan yang dapat membatalkan sumpahan tersebut.



Pertunjukan kebudayaan diakhiri dengan satu acara aksi bermotosikal yang berbahaya dan persembahan nyanyian semua artis di atas pentas.






Selepas menyaksikan pertunjukan kebudayaan, kami mengunjungi barisan kedai di bawah tanah. Biasanya kedai-kedai bawah tanah ini menjadi tumpuan apabila musim sejuk melanda Guilin dan China.

Deretan kedai di bawah tanah

Selepas itu, kami naik semula ke permukaan dan meneruskan kunjungan ke gerai-gerai pasar malam berdekatan.


Berselfie di pasar malam Guilin
Kemudian kami dibawa ke restoran untuk makan malam dan solat di masjid sebelum balik ke hotel.
Pada malam itu kami mengemaskan pakaian dan barang-barang yang dibeli, menyusunnya ke dalam beg besar sebagai persediaan untuk mendaftar keluar hotel dan ke lapangan terbang antarabangsa Guilin pada keesokan harinya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...