Friday, 23 December 2011

Keputusan PMR 2011 Memberangsangkan

Tahniah kepada semua pelajar-pelajar Tingkatan 3 seluruh Negeri Sembilan yang telah berjaya meningkatkan Gred Purata Negeri Sembilan daripada 2.77 kepada 2.66. Berita tentangnya telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia.


SEREMBAN. 22 Disember 2011 - Seramai 1,707 daripada 18,117 calon sekolah kerajaan di negeri ini memperoleh A dalam semua mata pelajaran dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan hari ini.

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran Negeri (JPNS), Pkharuddin Ghazali memberitahu, dari jumlah berkenaan seramai 296 calon mendapat 9A, 1,192 mendapat 8A manakala selebihnya memperoleh 7A.

Katanya jumlah itu memperlihatkan peningkatan 9.4 peratus iaitu sebanyak 220 pelajar berbanding pada 2010 iaitu seramai 1,487 pelajar. 

"Gred Purata Negeri (GPN) bagi PMR di Negeri Sembilan ialah 2.66 berbanding 2.70 peratus pada 2010. Gred Purata Nasional ialah 2.71 peratus," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pkharuddin menjelaskan, pelajar dan calon sekolah kerajaan yang mencapai tahap penguasaan minimum iaitu D bagi semua mata pelajaran meningkat kepada seramai 12,566 pelajar berbanding tahun sebelumnya 11,991 pelajar.

"Prestasi cemerlang semua A bagi pelajar sekolah kawasan bandar dan sekolah luar bandar tahun ini juga meningkat, masing-masing naik 14 peratus dan 5.9 peratus. Sekolah di bandar tahun ini yang mendapat semua A adalah seramai 1,102 pelajar manakala sekolah di luar bandar seramai 605," jelasnya..

Pkharuddin turut memberitahu, sebanyak 10 mata pelajaran daripada 15 yang ditawarkan menunjukkan peningkatan peratusan pencapaian pada tahun ini. Antara mata pelajaran itu katanya, ialah Bahasa Punjabi, Kemahiran Hidup Bersepadu Perdagangan dan Keusahawanan, Kemahiran Hidup Bersepadu Ekonomi Rumah Tangga, Kemahiran Hidup Kemahiran Teknikal dan Kemahiran Hidup Pertanian.

"Turut meningkat ialah Pendidikan Islam, Bahasa Melayu, Sejarah, Sains dan Matematik," kata beliau.

Thursday, 15 December 2011

Kolokium Kembara Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan Sekolah-Sekolah Menengah dan Rendah Negeri Sembilan Darul Khusus

Alhamdulillah, kolokium telah dapat dijalankan dengan jayanya pagi tadi di Kelana Resort, Seremban. YAB Dato' Seri Utama Haji Muhamad bin Haji Hasan,Menteri Besar Negeri Sembilan telah sudi memberikan amanat  kepada pemimpin-pemimpin sekolah dan menutup rasmi kolokium. Insya Allah, pengalaman Dato' Seri membangunkan Negeri Sembilan Darul Khusus sejak 2004 terutamanya pembangunan dalam sistem pendidikan negeri menjadi inspirasi dan motivasi kepada pemimpin-pemimpin sekolah untuk melonjakkan lagi tahap pendidikan di Negeri Sembilan di masa-masa mendatang apatah lagi sesi persekolahan tahun 2012 akan dibuka dua minggu lagi.

Thursday, 8 December 2011

Mesyuarat Refleksi Pengetua Tahun 2011

Alhamdulillah mesyuarat refleksi pengetua bagi tahun 2011 telah selamat dihadiri pada 5, 6 dan 7 Disember yang lalu bertempat di Hotel Goldcourse, Klang. Bagi sebahagian besar peserta yang hadir, ada yang baru pertama kali menghadirinya. Bagi saya pula, ini adalah kali pertama saya menjejakkan kaki ke Hotel Goldcourse ini, bunyinya macam Goldcoast di Brisbane, Australia. Sebelum menjejakkan kaki ke hotel ini saya telah membuat carian terlebih dahulu dengan enjin pencari Google dan Crawler untuk mendapatkan sedikit sebanyak maklumat tentang hotel ini terutama sekali maklumat tentang lokasinya. Maklumlah baru pertama kali hendak ke hotel ini. Ada pengunjung yang memberi komen hotel ini berbau dan buruk kerana tidak diselenggara dengan baik. Namun apabila sampai di Jalan Pasar, jelas kelihatan hotel tersebut yang tersergam di tepi Sungai Klang memang berada dalam keadaan yang buruk kerana tidak dicat semula. Maklumat yang saya terima daripada pengunjung menyatakan hotel ini baru diambilalih oleh seorang pengusaha Bumiputera dan  dalam proses menaik-taraf.

Encik Omar bin Ahamad sedang berbicara
Mesyuarat kali ini pada hemat saya merupakan mesyuarat yang paling ramai dihadiri oleh wakil-wakil pengetua, tidak kurang daripada 20 orang kesemuanya daripada 117 buah sekolah menengah di Negeri Sembilan. Mesyuarat kali ini lebih menarik dengan pengisian dua slot pendek yang sangat berkesan iaitu pembentangan perkongsian pengalaman daripada dua orang rakan sejawat iaitu Encik Omar bin Ahamad dari SMK Taman Tuanku Jaafar, Seremban yang berkongsi pengalaman beliau membangunkan perkhidmatan ICT di SMK Jelai Felda dan SMK Taman Tuanku Jaafar menerusi slot bertajuk Ke Arah Sekolah Berwatak ICT. Usaha gigih beliau ini telah menobatkan beliau sebagai Pemimpin ICT peringkat Negeri Sembilan dan tempat kedua peringkat kebangsaan. Beliau telah berkongsi pengalaman beliau ketika menghadiri lawatan ke Korea Selatan sebagai sebahagian daripada anugerah dan pengiktirafan yang diberikan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Dalam pada itu, slot kedua perkongsian best practice yang dijadualkan pada jam 8.00 malam 6 Disember oleh Tuan Haji Rosdin bin Kasim dari SMK Simpang Gelami yang berjaya membangunkan SMK Simpang Gelami sehingga mendapat tawaran baru / baiah tidak dapat diadakan. Ini disebabkan adanya intervensi majlis persaraan Yang Berbahagia Dr. Haji Zahri bin Aziz, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Bahagian Operasi Pendidikan yang akan bersara pada 10 Disember 2011.

Yang Berbahagian Dr. Haji Zahri bersama isteri dan Pengarah JPNS
Ramai daripada kalangan pengetua berasa hampa kerana perkongsian pengalaman Tuan Haji Rosdin tidak dapat diadakan dan menganggap slot pendek ini sebagai input yang paling bermakna dalam mesyuarat kali ini. Oleh itu, dicadangkan Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM) Cawangan Negeri Sembilan agar dapat menganjurkan seminar atau kolokium Best Practice pada tahun 2012 nanti supaya pengalaman-pengalaman begini dapat dikongsi bersama-sama pengetua dan pemimpin pendidikan yang lain ke arah meningkatkan tahap pendidikan di Negeri Sembilan dan seterusnya mencapai KPI yang ditetapkan oleh JPNS.

Thursday, 25 August 2011

Baiah Pengetua 2010 - Tahniah!

Saya ingin merakamkan tahniah dan syabas kepada rakan-rakan pengetua dan semua guru serta kakitangan 17 buah sekolah-sekolah menengah di Negeri Sembilan yang berjaya dicalonkan untuk mendapat ganjaran pada tawaran baru bagi tahun 2010. Nama sekolah-sekolah yang dicalonkan mendapat ganjaran di Negeri Sembilan telah diumumkan oleh Puan Hajah Kalsom binti Khalid, Ketua Sektor Jaminan Kualiti, JPNS dalam Mesyuarat Profesionalisme Pengetua bersama PPD Seremban dan Ketua Sektor di bilik mesyuarat PPD Seremban pada 23 Ogos 2011 yang lalu.
Sekolah-sekolah tersebut adalah:
  1. Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (SASER)
  2. SMK Seremban Jaya 2
  3. Kolej Tunku Kurshiah
  4. Sekolah Dato' Abdul Razak
  5. SMK Bukit Jalor
  6. SMK Simpang Gelami
  7. SMK Teriang Hilir
  8. SM Agama Dato' Tan Ahmad
  9. Sekolah Sains Tuanku Jaafar
  10. SM Rendah Agama Ulu Jempol
  11. Sekolah Menengah Agama Teluk Kemang
  12. SMK Yam Tuan Radin
  13. SMA Dato' Haji Mustafa
  14. SBPI Jempol
  15. SMK Tuanku Syed Idrus
  16. SMK Undang Rembau
  17. SMJK Chung Hua, Kuala Pilah
Nama-nama sekolah yang menerima ganjaran mengikut perancangan kementerian sepatutnya diumumkan pada majlis sambutan hari guru yang lalu. Ada desas-desus mengatakan terdapat permasalahan dalam menganugerahkan ganjaran kerana terdapat kontroversi pada pemilihan calon sekolah yang bakal menerimanya. Menurut perjanjian pengetua Tahun 2009 atau Baiah Pengetua 2009, sekolah yang berjaya mestilah mencapai Skor Komposit 92% atau melonjak 300 mata, namun Jawatankuasa NKRA di kementerian telah mengubahnya kepada skor komposit 88% atau lonjakan 500 mata mengakibatkan beberapa sekolah menengah harian digugurkan menjadikan sekolah menengah harian yang layak keseluruhannya adalah 3% sahaja daripada jumlah semua sekolah menengah harian berbanding 45 daripada 60 SBP yang menerima ganjaran. Walau apapun tahniah kepada sekolah yang berjaya walaupun ramai yang terkilan kerana lain yang dijanjikan lain pula yang dikotakan. Bak kata perumpamaan Melayu kerbau dipegang pada hidungnya, manusia dipegang pada janjinya. Ajaran agama Islam pula melalui hadis menyatakan orang yang mungkir janji adalah orang yang munafik dan orang yang munafik pula tidak boleh menjadi wali atau saksi. Wallahu alam.

Maklumat terkini yang diterima adalah 13 buah sekolah menengah layak menerima ganjaran pada tawaran baru 2010 yang akan dinugerahkan kepada mereka dalam satu majlis selepas hari raya Aidil Fitri.

Wednesday, 17 August 2011

Pembelajaran Berkesan Melalui Laman Blog

Alhamdulillah. Akhirnya semua panitia mata pelajaran di SMK Senawang 3 telah mempunyai laman blog sendiri. Tahniah kepada semua guru / ketua panitia yang telah berjaya menghasilkan laman blog panitia dalam kursus  asas membina laman blog yang telah diadakan pada hari Sabtu 13 Ogos 2011 bersamaan 13 Ramadhan 1432 Hijrah. Adalah diharapkan semua panitia mata pelajaran dapat mengemaskinikan laman blog masing-masing sekurangnya-kurangya sekali dalam seminggu. Ini ditetapkan menjadi KPI perancangan strategik panitia bagi tahun 2011 untuk  mencapai objektif meningkatkan tahap  pembelajaran pelajar dan menghaslkan pembelajaran yang berkesan melalui laman blog. 

Buat permulaan bahan-bahan yang dimuatkan di dalam blog panitia boleh didapati dengan mengolah nota dari buku rujukan dan tips belajar subjek yang berkaitan. Teknik belajar juga boleh dimuat-naik ke laman blog di samping memasukkan pautan-pautan ke laman-laman pendidikan yang terdapat dengan begitu banyaknya di Internet yang merupakan gerbang ilmu dalam bentuk digital. Juga boleh dimuatkan aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan oleh setiap panitia dalam mempertingatkan prestasi pelajar dalam mata pelajaran berkenaan.



Friday, 5 August 2011

Temuduga Calon Pengetua Cemerlang - Perkongsian Pengalaman

Pada Rabu 3 Ogos 2011 yang lalu saya bersama-sama 16 orang rakan pengetua DG48  yang lain telah selamat menghadiri sesi pembentangan dan temuduga calon pengetua cemerlang DG52 bagi tahun 2011. Pendaftaran bagi kumpulan yang ditemuduga oleh panel 1 terdiri daripada saya, Tuan Haji Ab Kadir bin Nordin (SMK Dato Shahardin), Puan Norziah binti Mohd Yusof (SMK Dato' Undang Haji Adnan), Encik Abd Halim bin Md Yunus (SMK Mambau), Encik Hasni bin Dolmat (SM Vokasional Ampangan, kini berkhidmat di SM Teknik Jasin mulai 1 Ogos 2011), Tuan Haji Jamaluddin bin Ahmad (SMK Seri Sendayan), Tuan Haji Nor Hashim bin Othman (SMK Undang Jelebu), dan Tuan Haji Rosdin bin Kasim (SMK Simpang Gelami) bermula jam 8.00 pagi di bilik Ketua Sektor Pengurusan Sekolah di JPNS. Temuduga pula bermula jam 9.00 pagi di Balai Gadang, Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan.

Menunggu giliran pembentangan.
Kumpulan kedua seramai 9 orang lagi ditemuduga oleh Panel 2 di Balai Budi SK Rahang pada masa yang sama. Mereka yang termasuk dalam kumpulan yang ditemuduga oleh panel 2 adalah Puan Maimon binti Talib (SMK Desa Cempaka), Puan Norhayati binti Mat Nor (SMK Bandar Baru Serting), Encik Omar bin Ahmad (SMK Taman Tuanku Jaafar), Major Mohd Tahir bin Mustapha (SMK Datuk Abdullah), Tuan Haji Mohd Sazali bin Sam (SMK  Tunku Besar Burhanuddin), Tuan Haji Awaluddin bin Mat Din (SMK Tunku Syed Idrus), Tuan Haji Mad Amin bin Mad Isa (SMK Dato' Undang  Abdul Manap) dan Puan Faridah binti Jabbar (SMK Warisan Puteri).
Kumpulan kedua di Balai Budi, SK Rahang

Panel 1 diketuai oleh Tuan Abdul Halim bin Abdul Razak, Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan, dan dibantu oleh Tuan Haji Kamarudin bin Abu Bakar, Ketua Nazir Negeri Sembilan, Cik Hajah Ipun binti Shamsuddin, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Tuan Mohd Isah bin Ismail, Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Datin Hajah Naemah binti Ahmad Dahalan, Pegawai Pelajaran Daerah Rembau dan Encik Abdul Rahim bin Bahaman,  Jemaah Nazir Negeri Sembilan. Panel 2 pula diketuai oleh Puan Hajah Kalsom binti Khalid, Ketua Sektor Jaminan Kualiti, dibantu oleh Tuan Mohd Zaki bin Abd Ghani, Ketua Sektor Pendidikan Islam, Puan Hajah Rodiah binti Md Jan, Pegawai Pelajaran Daerah Jempol dan Jelebu, Puan Radziah binti Abdul Manap, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Jempol dan Jelebu serta Cik Zariani binti Ghazali dari  Jemaah Nazir Negeri Sembilan.

Soalan-soalan yang ditanya adalah berkisar kepada pembentangan powerpoint setiap peserta. Walau bagaimanapun, bagi panel 1, Tuan Pengarah Pelajaran paling banyak bertanya. Antaranya bagaimanakah ETR dapat dicapai sedangkan keputusan pertengahan tahun pelajar tidak berapa memuaskan. Panel lain bertanya apakah nich area yang dibangunkan di sekolah baru. Bagaimanakah mengawal penggunaan netbook oleh pelajar sekolah. Tiada soalan tentang dasar-dasar kementerian diberikan.

Wednesday, 27 July 2011

Terima Kasih Tuan - Jasamu Tetap Dikenang


Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Bersara kepada Tuan Haji Jamali bin Salam kerana berjaya menamatkan perkhidmatan yang cemerlang sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan. Majlis Jasamu dikenang beliau telah diadakan di Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban pada Jumaat 22 Julai 2011 jam 8.30 malam. Selamat Bersara Tuan. Terima kasih di atas bantuan dan bimbingan yang tuan berikan kepada saya sepanjang saya bertugas.
Pisang emas dibawa berlayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati

Wednesday, 6 July 2011

Pelancaran Program Bulan Kecergasan di Negeri Sembilan

Pada hari Sabtu 9 Julai 2011 ini semua sekolah di Negeri Sembilan akan melancarkan secara serentak program Bulan Kecergasan jam 8.00 pagi. Demikian dimaklumkan oleh Tuan Abdul Halim bin Abdul Razak, Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan pada taklimat kepada semua pengetua dan guru besar sekolah Negeri Sembilan di Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban petang semalam. 

Bulan Julai dipilih sebagai Bulan Kecergasan Kementerian Pelajaran Malaysia dengan tema bertajuk "1Malaysia 1Kecergasan". Di sepanjang bulan Julai ini sekolah-sekolah diikehendaki melaksanakan aktiviti-aktiviti kecergasan berdasarkan tiga komponen berikut: (1) Komponen Kecergasan berteraskan RIMUP seperti senamrobik, futsal, bola jaring; (2) Komponen Pendidikan dan Perpaduan seperti klinik kecergasan, kuiz kesihatan, ceramah kesihatan atau kecergasan, bicara sukan dan klinik sains perubatan; (3) Komponen Kesihatan seperti pameran gaya hidup sihat, kempen derma darah dan pemeriksaan kesihatan.

Objektif Bulan Kecergasan Kementerian Pelajaran peringkat Negeri Sembilan adalah:
  1. Menarik minat pelajar,menyediakan peluang dan menggalakkan mereka menyertai aktiviti-aktviti sukan, rekreasidan kecergasan dengan tujuan bagi melahirkan masyarakat yang cergas dan sihat.
  2. Menanam serta memupuk kesedaran secara mendalam kepada masyarakat khsusnya pelajar terhadap nilai-nilai positif yang terdapat dalam aktiviti sukan dan rekreasi serta bagaimana nilai-nilai ini dapat membantu ke arah melahirkan masyarakat yang cergas dan sihat.
  3. Menjalinkan ikatan perpaduan, memperluaskan pergaulan dan memupuk interaksi yang sihat dalam kalangan pelajar berbagai kaum ke arah melahirkan satu bangsa dan negara yang kuat melalui aktiviti sukan.
Mekanisme pelaksanaan program bulan kecergasan peringkat Negeri Sembilan yang dicadangkan adalah seperti berikut:

Bil. Minggu PelaksanaanAktivitiKumpulan Sasaran/Catatan
1. Pertama
  1. Majlis Pelancaran Bulan Kecergasan KPM 2011 (9 Julai 2011)
  2. Kuiz Kesihatan
Peringkat sekolah
2. Kedua
  1. Futsal
  2. Bola Jaring 3 on 3
  3. Pameran Gaya Hidup Sihat
Peringkat sekolah
3. Ketiga
  1. Sukaneka
  2. Ceramah Kesihatan/Kecergasan
  3. Pemeriksaan Kesihatan
Peringkat sekolah
4. Keempat
  1. Futsal Peringkat Negeri
  2. Bola Jaring 3 on 3 Peringkat Negeri
  3. Klinik Kecergasan
  4. Kempen Derma Darah
Peringkat PPD
Peringkat Negeri

Thursday, 30 June 2011

1Murid 1Sukan 1Malaysia


Pada hari Sabtu 2 Julai 2011 ini sekolah-sekolah di Malaysia akan mencipta sejarah apabila guru, ibu bapa, penjaga, PIBG dan murid-murid menyertai larian 1Murid 1Sukan 1Malaysia bermula tepat jam 7.45 pagi. Program akan bermula dengan kehadiran guru dan murid pada jam 7.00 pagi di dataran sekolah. Pada jam 7.20 pagi, pengetua akan membacakan perutusan Menteri Pelajaran Malaysia. Sekolah-sekolah yang mempunyai kemudahan wifi bolehlah mempertontonkan kepada peserta siaran langsung majlis Pelancaran Larian Serentak 1Murid 1Sukan oleh YB Tan Sri Haji Muhyiddin bin Mohd Yassin, Menteri Pelajaran Malaysia yang akan berlangsung  di Padang Esplanade, Taiping, Perak pada masa yang sama melalui siaran TV3 dan secara live streaming melalui Portal EduWebTv di alamat www.eduwebtv.com mulai jam 7.30 pagi sehingga 9.00 pagi.

Marilah kita saksikan acara bersejarah ini yang merupakan larian terbesar yang disertai oleh murid-murid sekolah yang pernah diadakan di negara ini. Acara ini juga akan dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBR).

Menurut Buku Panduan Pelaksanaan Dasar Satu Murid Satu Sukan (1M 1S) yang diterbitkan oleh Bahagian Sukan, Kementerian Peljaran Malaysia, dasar 1M 1S mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memberi tumpuan ke arah melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Dasar ini selaras dengan Dasar Sukan Negara yang memberi penekanan kepada Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan. Dasar ini memberi perhatian yang utama kepada murid yang kurang aktif supaya mereka melibatkan diri dalam aktiviti sukan. Pada masa yang sama, bakat murid yang berpotensi akan digilap dan dibangunkan melalui Sukan Prestasi Tinggi Sekolah  (SPTS).

Di peringkat Negeri Sembilan, Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan telah mengambil inisiatif untuk menjayakan larian ini dengan (1) memaklumkan semua sekolah melalui surat siaran (2) mengutip maklumat peserta yang akan mengambil bahagian melalui mel elektronik dan (3) mengadakan taklimat kepada semua pengetua dan guru besar di setiap daerah tentang program tersebut dan (4) menghantar softcopy rakaman dan gambar-gambar aktiviti larian ke urusetia di Kementerian Pelajaran Malaysia.

Pada jam 2.40 petang tadi, Tuan Pkharuddin bin Haji Ghazali, Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan mewakili Tuan Pengarah Pelajaran telah menyampaikan amanat pengarah berkaitan dengan larian tersebut di Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar, Seremban. Tuan Mohd Sah bin Zainal Abdidin, Pegawai Pelajaran Daerah Seremban turut memberi taklimat ringkas kepada semua pengetua dan guru besar serta wakil mereka tentang program 1Murid 1Sukan 1Malaysia. 

Saturday, 25 June 2011

Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua-Pengetua Sekolah Malaysia Ke-50

Pada 21 hingga 23 Jun 2011 yang lalu, saya telah mengikuti Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua-Pengetua Sekolah Malaysia Ke-50 di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya, Selangor. Ini merupakan persidangan kedua yang dapat saya ikuti setelah kali pertama menyertainya pada 27 hingga 31 Julai 2007 di Johor Bahru. Persidangan yang merupakan Jubli Emas bertemakan Kepimpinan Holistik Menjana Transformasi Pendidikan Negara yang memang selaras dengan hasrat kerajaan yang memperkenalkan GTP iaitu Government Transformation Programme.
Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya, Selangor
Persidangan kali ini menghimpunkan seramai 842 orang pengetua dari seluruh negara dengan penyertaan teramai tentunya dari Selangor. Hotel Grand Dorsett hanya dapat menampung sebahagian daripada peserta manakala sebahagian lagi ditempatkan di hotel berhampiran iaitu Hotel Holiday Villa Subang. Delegasi dari Kedah, Sabah, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Melaka menginap di hotel ini.

Paluan gong tanda persidangan dirasmikan
Persidangan kali ke-50 ini telah dirasmikan oleh YAB Tan Sri Haji Muhyiddin bin Yasin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia. Persidangan ini lebih bermakna apabila Timbalan Perdana Menteri telah memberi pengiktirafan kepada Majlis Pengetua Sekolah Malaysia, MPSM sebagai suara yang mewakili pengetua-pengetua sekolah Malaysia sambil mengumumkan sumbangan tahunan sebanyak RM 200,000 untuk kegiatan MPSM. Timbalan Menteri Pelajaran II, YB Dr Mohd Puad bin Zarkashi telah berkenan menutup rasmi persidangan pada Khamis 23 Jun 2011.

Gambar-gambar sekitar persidangan ini boleh dilihat di http://galerihamidon.blogspot.com/2011/06/persidangan-kebangsaan-pengetua-ke-50.html

Sunday, 19 June 2011

Hari Bapa 2011

Pekan Rabu, Alor Setar, 15 Mei 2011
Hari ini Ahad, 19 Jun 2011 Hari Bapa disambut di sebahagian besar negara di dunia. Ini kerana Hari Bapa disambut oleh beberapa negara pada tarikh yang berbeza mengikut negara berkenaan. Ada negara yang menyambutnya pada hari Ahad minggu pertama bulan Jun, ada juga yang menyambutnya pada hari Ahad minggu kedua bulan Jun. Negara-negara yang menyambutnya pada hari ini ialah Afghanistan, Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Argentina, Bahamas, Bahrain, Bangladesh, Barbados, Belize, Belanda, China, Colombia, Costa Rica, Croatia, Cuba, Cyprus,  Dominica, Ecuador, Ethiopia, Filipina, Ghana, Greece, Guyana, Haiti, Hong Kong, Hungary, India, Ireland, Jamaica, Jepun, Malaysia, Malta, Mauritius, Myanmar, Namibia, Nigeria, Oman, Pakistan, Panama, Paraguay, Peranchis, Peru, Puerto Rico, Republik Czech, Singapura, Slovakia, Sri Lanka, Thailand, Trinidad dan Tobago, Turki, United Kingdom, Venezuela, Zambia dan Zimbabwe.

Bolivia, Honduras, Itali, Portugal dan Sepanyol telah menyambut Hari Bapa pada 19 Mac 2011 yang lalu manakala Uruguay akan menyambutnya pada 17 Julai 2011 nanti. Thailand pula akan menyambut Hari Bapa pada 5 Disember 2011.

Mengikut sejarah Hari Bapa bermula pada awal abad ke-12 untuk memberi penghormatan dan peringatan terhadap para bapa. Sambutannya melibatkan pemberian hadiah kepada bapa dan lain-lain aktiviti kekeluargaan bertujuan untuk mengenang jasa bapa di dalam keluarga.

Hari Bapa menurut perspektif Islam
Menurut pandangan Islam kasih sayang yang paling utama ialah terhadap Allah s.w.t., diikuti Rasulullah s.a.w., kedua ibu bapa, suami, isteri, anak-anak, ahli keluarga, kaum kerabat, jiran tetangga dan seterusnya. Jika sekiranya hendak membuat sambutan, ianya hendaklah dibatasi dengan syarat-syarat yang telah digariskan dalam Islam termasuklah dalam aspek menjaga perhubungan antara bukan mahram dan maruah individu itu sendiri.

Wednesday, 15 June 2011

Petua Seorang Guru - Renungan buat Guru dan Bakal Guru

PETUA SEORANG GURU
Kalau guru mengajar sambil duduk
Murid belajar sambil mengantuk
Kalau guru mengajar sambil berlakon
Murid belajar dengan tekun
Kalau guru mengajar tanpa alat
Murid belajar dengan ralat
Kalau guru mengajar banyak bercakap
Ada murid bertambah gagap
Kalau guru menjadi pemudah cara
Ramai murid pandai berbicara
Kalau guru mengajar tanpa menilai
Takkan tahu murid bodoh dan pandai
Kalau guru berbudi bahasa
Dikenang murid sepanjang masa

Rangkaian kata-kata hikmat ini sudah lama terdapat di mana-mana sekolah. Namun sebagai ingatan kepada diri sendiri sebagai pendidik dan guru-guru dan bakal-bakal guru, elok rasanya kita berpegang kepada rangkaian kata-kata ini sebagai pendorong untuk meningkatkan tahap pencapaian murid yang kita ajar di kelas.

Petua Seorang Guru ini boleh dilihat di Kamar Permuafakatan SMK Pasoh 2. Sebagai renungan di dalam petua ini terdapat ciri-ciri guru yang diperlukan oleh murid dan apakah akibatnya jika guru mempunyai sikap negatif seperti kata-kata yang terdapat di dalam petua itu.

Sunday, 12 June 2011

Fort Margherita - Apa Ada Di Dalamnya?

Fort Margherita di bandar Kuching, Sarawak mula dibina pada tahun 1878 dan siap sepenuhnya pada 1880. Ia dibina untuk mempertahankan bandar tersebut daripada serangan lanun. Ia mengambil nama isteri Charles Brooke iaitu Ranee Margaret. Bentuknya adalah seperti istana Inggeris di atas tempat stategik untuk mengawal Sungai Sarawak. Gambar di sebelah adalah model Fort Margherita yang dibina bersebelahan Waterfront.

Pada lawatan peserta Program Pengintegrasian Teknologi dan Budaya dalam Pengajaran dan Pembelajaran ke arah Pembestarian Pendidikan PKG Lui pada 4 Jun hingga 8 Jun 2011yang lalu, peserta-peserta tidak dapat memasuki kubu ini kerana telah ditutup untuk proses pemuliharaan sejak tahun 2006 yang lalu. Namun untuk tatapan peserta program saya sertakan beberapa keping gambar apa yang dapat dilihat di dalam kubu ini. Gambar-gambar ini diambil pada bulan Disember tahun 2005 sewaktu saya dan keluarga melawat Kuching pada tahun tersebut.

Pemandangan Fort Margherita dari atas

Bersama ahli keluarga di dalam kubu pada 2005

Sebahgian daripada model yang terdapat di dalamkubu

Lagi objek yang terdapat di dalam kubu Margherita

Lagi objek...

Tuesday, 7 June 2011

Lawatan Pengintegrasian Teknologi dan Budaya dalam Pengajaran dan Pembelajaran ke Arah Pembestarian Pendidikan di Kuching

Alhamdulillah pada 4 hingga 8 Jun 2011, saya telah berkesempatan mengetuai rombongan PKG Lui, Jempol dalam program lawatan pengintegrasian teknologi dan budaya dalam pengajaran dan pembelajaran ke arah pembestarian pendidikan di Kuching, Sarawak Bumi Kenyalang. Sepanjang lawatan selama 5 hari 4 malam kami telah menginap di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Sarawak di Kota Samarahan. Kediaman kami itu dinamakan Baruk Kenyalang. Baruk adalah bahasa tempatan yang bermaksud pondok. Lawatan ini adalah kesinambungan daripada lawatan kembara kajian tindakan inovasi di Sabah pada tahun 2009 yang lalu. BTPN Sabah dinamakan Serudung Bayu. Eloklah kita namakan BTPN kita di Negeri Sembilan dengan nama tempatan juga. Saya mencadangkan Teratak Perpateh kepada BTPN Negeri Sembilan.

Selaku ketua rombongan, saya bagi semua ahli rombongan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tuan Haji A.Wahed bin Rosli, Ketua Penolong Pengarah BTPN Sarawak dan barisan staf beliau yang sudi menerima kunjungan kami dan menyediakan tempat penginapan di BTPN Sarawak. Terima kasih tuan! Keenakan nasi dabai dan kueh selorot yang dihidangkan kepada kami sentiasa menjadi ingatan para peserta.
Di hadapan kilang kek lapis Dayang Salhah di Demak
Objektif lawatan ini adalah untuk menghasilkan pembelajaran berasaskan projek (PBL-Project-Based Learning) bagi tujuan pembelajaran dengan bantuan teknologi pendidikan. Rombongan lawatan terdiri daripada 3 orang pengetua, 5 orang guru besar, penolong-penolong kanan, guru perpustakaan dan media, penyelaras bestari serta turut disertai oleh 11 orang murid - 6 daripada sekolah rendah dan 5 orang daripada sekolah menengah. Pelajar-pelajar ini dibawa ke kilang kek lapis Dayang Salhah dan Kampung Budaya Sarawak di Santubong supaya dapat mengambil foto, merakam perbualan dan menemubual kakitangan kedua-dua tempat. Rakaman ini kemudian dimuatkan dalam projek mereka. Bahan-bahan ini  juga diolah untuk dipersembahkan dengan perisian movie maker.

Gambar-gambar di sepanjang program ini boleh dilihat di http://galerihamidon.blogspot.com/2011/06/pkg-lui-ke-kuching-4-jun-2011.html

Thursday, 3 March 2011

Pekeliling Yang Dilupakan - Masihkah Kau Ingat?

Beberapa hari yang lalu saya melawat beberapa sekolah di seluruh Malaysia secara maya. Ya melawat beberapa sekolah.... Ini semua dapat dilakukan secara maya dengan menggunakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi. Banyak juga daripada sekolah-sekolah itu masih menggunakan singkatan seperti Sek. Keb. dan Sek. Men. Keb. yang mana singkatan ini sebenarnya telah dilarang penggunaannnya oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sejak 1997 lagi.

Jika pembaca masih ingat, Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 1 Tahun 1997 yang ditandatangani oleh Tan Sri Datuk Dr. Wan Mohd Zahid bin Mohd Noordin, mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia berkaitan dasar dan peraturan mengenai nama sekolah dengan jelas menyatakan apa yang saya maksudkan dalam perenggan di atas. Di bawah ini saya siarkan surat pekeliling berkaitan.

Mungkin disebabkan terlalu banyak surat-surat pekeliling, sama ada surat pekeliling perkhidmatan, surat pekeliling kewangan dan surat pekeliling ikhtisas yang dikeluarkan dalam sesuatu tahun semasa sehingga kita sering terlupa mengenainya. Oleh itu, marilah kita warga pendidik mematuhi pekeliling ini dengan membuat penukaran nama dari Sek. Men. Keb. kepada Sekolah Menengah Kebangsaan atau SMK di dalam aktiviti pendidikan kita. Begitu juga jika singkatan Sek. Men. Keb. digunakan di logo sekolah, lencana murid, label sekolah, laman-laman web dan sebagainya sebaiknya ditukar kepada SMK supaya masyarakat yang berada di luar dunia pendidikan dapat memahami makna singkatan itu.

Saturday, 19 February 2011

Program SIPartner - Satu Sudut Pandangan

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan pengetua dan staf mereka di 20 buah sekolah menengah Negeri Sembilan yang terpilih mengikuti Program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP - School Improvement Program di Permai Inn International, Jalan Sultan Mahmud, Terengganu bermula 21 hingga 24 Februari 2011. Di bawah inisiatif NKRA Pendidikan, dinyatakan SIP ini bertujuan untuk membantu sekolah berprestasi rendah meningkatkan prestasi masing-masing. Sekolah-sekolah yang berada di band 6 dan band 7 pada ranking 2010 yang lalu dipilih untuk dilibatkan dalam program ini.

Tahniah juga kepada rakan-rakan pengetua cemerlang dalam Majlis Pengetua Cemerlang Kebangsan Cawangan Negeri Sembilan, MPCK CNS  iaitu Pn. Hjh Hamidah bt Burok dari SMK Yam Tuan Radin, Lukut, Pn. Hjh Radziah bt Abdul Samad dari SMAP Labu, En. Zakaria bin Sapri dari SSN SMK Za'ba, dan Pn. Hjh. Radiah bt Jonet dari SMK Jelai Kuala Pilah yang terpilih sebagai SIPartner. Ooops! macamana nak sebut perkataaan ni: SIPartner? S I Partner ke? atau SIP Partner? Sememangnya salah satu agenda MPCK Negeri Sembilan adalah untuk membantu sekolah-sekolah di Negeri Sembilan yang berada di band 6 dan band 7 meskipun kaedah pengiraan skor komposit yang menentukan ranking itu boleh dipertikaikan.

Beberapa  rakan pengetua pernah mencadangkan supaya peratus GPS SPM yang tinggi melebihi GPS PMR yang diambilkira dalam skor komposit GPS adalah tidak kena. Ini kerana walaupun GPS sekolah tersebut menurun tahun demi tahun dalam PMR (GPS menurun menunjukkan prestasi akademik bertambah baik), pelajar-pelajar yang cemerlang PMR ini lazimnya akan keluar meninggalkan sekolah untuk memasuki sekolah-sekolah berasrama penuh, MRSM, sekolah teknik dan vokasional. Maka baki pelajar yang sederhana dan rendah pencapaiannya inilah yang tinggal di sekolah dan akan mengambil peperiksaan SPM dua tahun lagi. Jika difikirkan secara serius dengan membuat refleksi yang kritikal, pandangan ini ada kebenarannya. Sewajarlah perbandingan di antara sekolah dibuat mengikut satu peperiksaan standard sahaja. Seandainya ranking sekolah disusun semula berdasarkan GPS PMR sahaja, sudah pasti kedudukan sekolah-sekolah ini akan berbeza kerana sekolah-sekolah ini dapat bertanding di padang yang sama. Tentulah agak janggal membandingkan sebuah MyVi dengan sebuah Camry meskipun fungsi kedua-duanya sama iaitu membawa seseorang atau sebilangan orang dari satu tempat ke satu tempat.

Penulisan ini bukan berniat untuk menjatuhkan kredibiliti rakan-rakan pengetua yang terlibat dalam program ini, malah saya berharap saya diberi peluang menyertainya. Ampun dan maaf saya pinta jika hati dan perasaan rakan-rakan pengetua yang menjadi peserta program terusik. Tiada pengetua yang tidak mahu sekolahnya maju, tiada guru yang tidak mahu muridnya pandai. Malah saya kagum dengan kegigihan beberapa rakan saya yang bertungkus-lumus memikir, berusaha dan bertindak untuk memajukan sekolah, namun prestasi murid masih tidak meningkat.

Di sekolah-sekolah kita, isu murid ponteng kelas dan ponteng sekolah memang tidak pernah ada titik noktahnya. Kalau murid tiada di sekolah atau di dalam kelas, bagaimana mereka boleh menimba ilmu.  Di beberapa sekolah ada ibubapa dan penjaga yang menelefon guru meminta guru datang ke rumah untuk memujuk anak mereka pergi ke sekolah. Hal seperti ini tidak pernah berlaku sewaktu kita menjadi murid dahulu. Pada ketika itu, tiada murid yang berani ponteng sekolah kerana ibubapa akan cepat bertindak sama ada memarahi atau menghukum murid. Tetapi inilah sebahagian daripada realiti keadaan murid kita di hari ini ditambah lagi dengan sikap segelintir ibubapa yang cepat melatah apabila anak mereka disentuh. Peratus kehadiran murid di beberapa sekolah Felda misalnya jarang-jarang mencapai 100% bagi keseluruhan kelas. Mungkin pemberian insentif kepada murid-murid yang hadir dapat mengatasi masalah ketidakhadiran murid. 

Program ini sebenarnya merupakan satu peluang yang sangat baik bagi rakan-rakan pengetua memberi input yang bermakna kepada SI Partner tentang situasi sebenar di sekolah di samping mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan yang perlu dibuat untuk meningkatkan prestasi akademik sekolah. Malangnya prestasi kokurikulum dan bidang lain serta kebitaraan sekolah tidak diambilkira sepenuhnya dalam penentuan band itu. Berdasarkan input-input yang diberikan oleh pihak pengurusan sekolah dalam perbincangan melalui bengkel itu nanti, Institut Aminuddin Baki yang menjadi urusetia sewajarnya mengambil tindakan untuk membantu sekolah-sekolah tersebut dari segi material dan tenaga. Sebahagian  besar daripada SI Partner dalam kalangan pensyarah IAB itu khabarnya tidak mempunyai pengalaman sebagai pengetua dan justeru itu kurang memahami realiti mengurus dan mentadbir sekolah terutamanya bekas pegawai-pegawai daripada bahagian-bahagian di kementerian yang dilantik menjadi pensyarah kanan di IAB yang mempunyai pengalaman yang kurang bertugas sebagai guru di sekolah. Namun tidak dapat dinafikan terdapat juga pensyarah-pensyarah yang asalnya adalah guru-guru di sekolah yang mempunyai pengalaman sebagai penolong kanan dan guru kanan mata pelajaran. Ini berbeza dengan sistem pendidikan di United Kingdom yang mana pensyarah-pensyarah yang memberi kursus kepada pengetua-pengetua adalah dalam kalangan mereka yang pernah menjadi pengetua. Kerana itulah sewaktu beberapa orang rakan pengetua yang terpilih mengikuti program sekolah kluster di Kings College London, KCL dahulu menyatakan pensyarah-pensyarah di KCL agak terkejut apabila mengetahui kebanyakan pensyarah IAB yang melatih pengetua tiada pengalaman bertugas sebagai pengetua. Pada hemat saya sekurang-kurangnya mereka pernah menjadi guru kanan mata pelajaran di sekolah telah memadai untuk mengisi keperluan itu. Keadaan ini boleh dianalogikan seperti permainan bola sepak. Mana mungkin orang yang tidak pernah bermain bola sepak menjadi jurulatih bola sepak. Program ini memberi peluang kepada SI Partner dari IAB untuk menghubungkan teori yang mereka memang pakar  dengan realiti di sekolah. Keadaan pelajar, persekitaran dan sikap ibubapa sepuluh tahun dahulu amat berbeza dengan keadaan pelajar, persekitaran dan sikap ibubapa serta guru-guru sekarang.

Apa yang dapat diperhatikan ialah bukan faktor pengetua yang menyebabkan jatuh bangun sesebuah sekolah seperti yang diutarakan oleh Fred M. Hechinger, Presiden Yayasan New York Times  kerana beberapa pengetua cemerlang dan pengetua kanan telah ditempatkan di beberapa sekolah tersebut merupakan pengetua-pengetua yang hebat di sekolah lama mereka sebelum ini. Ia sebenarnya adalah  kolektif beberapa faktor seperti faktor guru, faktor persekitaran, faktor murid, faktor ibubapa, faktor kewangan dan banyak lagi yang perlu dikaji secara teliti dan terperinci serta dilihat secara kes demi kes.

Jika kita mengatakan faktor guru yang menyebabkan kemerosotan keputusan peperiksaan awam di sekolah tersebut, apa kata kita tempatkan guru-guru di sekolah kluster atau sekolah berprestasi tinggi ke sekolah berdekatan yang dikenal pasti berprestasi rendah selama setahun atau lebih. Kemudian lihat hasilnya.  Apa kata pula jika setiap sekolah yang berprestasi rendah itu dibekalkan dengan 4 orang guru cemerlang bagi setiap bidang. Kajian perlu dibuat dengan melihat pemboleh ubah manakah yang paling dominan di setiap sekolah tersebut.

Institut Aminuddin Baki yang bertindak sebagai urusetia pula  perlu membantu sekolah-sekolah ini dari segi menyumbangkan tenaga di samping buah fikiran. Pada hemat saya sumbangan tenaga lebih bermakna daripada sumbangan idea kerana ramai pensyarah-pensyarah IAB bertaraf Master Trainer. Inilah peluang yang besar bagi Master Trainer ini menunjukkan kebolehan mereka membantu meningkatkan prestasi sekolah-sekolah ini dengan berada di sekolah-sekolah tersebut dalam suatu jangka masa yang tertentu. Jika boleh ambil satu kelas tingkatan 3 dan satu kelas tingkatan 5 yang pencapaian akademik mereka paling lemah. Pensyarah yang pakar dalam analisis item misalnya boleh menyediakan perisian analisis item untuk diberikan kepada guru-guru bukannya meminta guru membuat analisis item itu kerana guru-guru ini tiada kepakaran tersebut. Kita percaya IAB boleh membantu menyediakan perisian ini kerana terdapat dua pusat yang berkaitan dengan teknologi maklumat yang menerima pegawai-pegawai dari Bahagian Teknologi Pendidikan sebagai pensyarah dalam beberapa pengambilan yang lalu.

Kepimpinan yang ditunjukkan oleh mantan Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi iaitu "Bekerjalah bersama Saya bukan Bekerja untuk Saya" boleh diamalkan dan dijadikan pegangan. Sebenarnya guru-guru kita di sekolah telah banyak dibebankan dengan tugas-tugas sampingan yang mengganggu core business mereka malah tidak ramai guru yang mampu menggunakan perisian Microsoft Excell untuk membuat analisis item. Maka di sinilah SI Partner boleh memainkan peranan menghulurkan bantuan dari segi bersama-sama menyediakan perisian. Master Trainer yang pakar dalam kajian tindakan pula boleh bersama-sama guru membuat kajian tindakan terutamanya dalam bidang pembelajaran dan pengajaran. SI Partner yang pakar dalam membuat modul pembelajaran pula boleh menyumbang tenaga dengan bersama-sama guru menyediakan Modul Pembelajaran Kendiri misalnya yang boleh digunakan apabila terdapat kelas relief. Isu guru keluar bertugas rasmi di luar dalam jangka masa lama masih berlaku. Dengan adanya modul ini, guru-guru ganti boleh bertindak sebagai penyelia dan pembantu murid menggunakan modul yang disediakan bersama-sama itu.

Salah sebuah sekolah Felda yang cemerlang
Sekolah-sekolah yang berprestasi rendah hendaklah  diberikan sejumlah peruntukan yang sama seperti peruntukan yang diberikan kepada sekolah berprestasi tinggi, SBT. Peruntukan ini boleh digunakan untuk meningkatkan tahap profesionalisme guru sekiranya faktor guru menjadi penyebab kemerosotan prestasi akademik. Peruntukan itu boleh digunakan untuk meningkatkan tahap motivasi dan kaedah pembelajaran murid jika faktor murid yang dominan. Peruntukan itu boleh juga digunakan untuk meningkatkan prasarana sekolah sama ada menyelenggara, membaikpulih atau  menaik taraf prasarana sekolah sekiranya faktor persekitaran adalah dominan. Banyak lagi aspek yang boleh ditingkatkan di sekolah berprestasi rendah seandainya peruntukan ini diberikan kepada sekolah-sekolah berkenaan. Mungkin juga kita boleh mencadangkan supaya sekolah-sekolah yang bilangan muridnya kurang daripada 350 orang misalnya diberikan peruntukan geran per kapita yang lebih tinggi lagi berbanding peruntukan yang sedia ada.

Akhir sekali gandingan kerjasama IAB dan sekolah-sekolah ini hendaklah diteruskan sehingga akhirnya sekolah-sekolah ini menjadi sekolah berprestasi tinggi di samping sumbangan dari bahagian-bahagian kementerian pelajaran yang lain. Ini kerana visi dan misi kita adalah sama iatu "Sekolah Unggul Penjana Generasi Terbilang" dan "Membangun Potensi Individu Melalui Pendidikan Berkualiti". Maka bolehlah kita menjawab soalan keramat yang sentiasa diajukan kepada pendidik iaitu "Apakah sumbangan yang anda berikan kepada sekolah?

Friday, 11 February 2011

Dari Pengetua ke Webmaster

Tugas-tugas sebagai pengetua ini kekadang melampaui tugas sebenarnya. Ada ketika kita terpaksa menjalankan tugas yang di luar bidang kita apabila sesuatu kemahiran itu tidak dimiliki oleh staf kita ataupun staf yang memiliki kemahiran itu berpindah ke luar. Keadaan inilah yang berlaku kepada saya apabila seorang guru saya yang mempunyai kemahiran yang tinggi dalam teknologi maklumat dan komunikasi, ICT ditukarkan ke pejabat pelajaran daerah sebagai penolong pegawai pelajaran daerah sektor ICT. Beliau pula adalah webmaster laman web sekolah. 



Berbekalkan sedikit pengalaman saya dalam bidang ICT, terpaksalah saya belajar menjadi webmaster untuk memastikan maklumat yang dipaparkan dalam web sekolah dapat dikemaskini sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Kalau kita rajin melayari laman-laman web beberapa sekolah, pasti kita akan berjumpa banyak laman web sekolah yang tidak dikemaskini. Ada juga laman web sekolah yang pengetua atau guru besarnya telah berpindah dua atau tiga tahun lalu, namun gambar pengetua atau guru besar lama masih terpampang di laman utama laman-laman web sekolah-sekolah tersebut.

Perkara ini boleh diatasi jika guru ICT yang mahir itu melatih guru lain atau melantik beberapa webmasters bagi laman web sekolah. Laman web sesebuah sekolah itu dapat mencerminkan wajah atau identiti sekolah. Laman web yang sentiasa dikemaskini dapat menunjukkan banyaknya aktiviti yang berlangsung di sesebuah sekolah. Ia juga dapat menunjukkan komitmen guru terhadap sekolahnya. "Guru Aktif Pelajar Kreatif".



Sunday, 30 January 2011

Fikir Sejenak

Sejak beberapa hari ini hujan turun renyai-renyai dan kadang kala lebat sepanjang hari ini. Hari ini hujan turun tanpa henti sejak awal pagi tadi menjadikan hari ini hari yang lembap. Kalau mengikut ilmu geografi yang kita pelajari dahulu, ketika ini iaitu menjelang Februari, iklim negara kita sudah mulai cerah sepanjang masa manakala biasanya musim kemarau melanda di bulan Mac. Sekarang ini keadaan cuaca sudah sukar diramalkan. Ini berlaku akibat perubahan geosistem dan geologi yang pesat oleh aktiviti manusia dalam menjalankan kehidupan di bumi. 

Semalam, 29 Januari 2011 bersamaan 24 Safar 1432 Hijriyah, sekolah (SMK Pasoh 2 Felda) menjalankan latihan dalam perkhidmatan pertama bagi sesi persekolahan 2011. Tajuk LDP atau LaDaP pertama adalah "Meningkatkan Prestasi Pelajar Melalui Kajian Tindakan" disampaikan oleh Haji Hamidon Haji Khalid, pengetua SMK Pasoh 2 (Felda). Sesi LDP ini merupakan sesi perkongsian pengetahuan dan ulang kaji tentang kajian tindakan dan kajian tindakan inovasi kepada semua guru di SMK Pasoh 2. Pada tahun ini, pihak Pejabat Pelajaran Daerah Jempol dan Jelebu telah meminta setiap panitia Sains dan Matematik sekolah menghasilkan dua kajian tindakan, satu bagi mata pelajaran Sains dan satu bagi mata pelajaran Matematik. Berikutan daripada itulah sesi LDP pertama mengambil tajuk tersebut.



Kandungan latihan adalah: (1) Peranan Pendidik sebagai Penyelidik, (2) Definisi dan Konsep Kajian Tindakan, (3) Proses Kajian Tindakan (4) Penulisan Kertas Cadangan / Proposal Kajian Tindakan, dan (5) Penulisan Laporan Kajian Tindakan. Adalah diharapkan guru-guru dapat menghasilkan kajian tindakan sama ada secara bersendirian ataupun secara berkumpulan. Hasil laporan kajian tindakan ini dapat membantu guru mencalonkan diri menjadi Guru Cemerlang.

Friday, 21 January 2011

Mulanya Di Sini...

Bandar Simanggang dari udara
10 Julai 1981. Tarikh keramat bermulanya kerjaya  saya sebagai Guru Bukan Siswazah Kategori T1. Pada ketika itu gaji seorang guru bertaraf diploma hanyalah RM 370.00 (Tiga ratus tujuh puluh sahaja). Namun wang sebanyak itu boleh menyara kehidupan seorang guru dengan selesa. Pada masa itu nilai wang sangat besar berbanding sekarang. Dulu seorang guru mampu membeli sebuah banglo, 10 tahun kemudian, guru hanya mampu membeli rumah berkembar dua, sekarang rumah teres dua tingkat, tak tahu pula bagaimana agaknya pada masa akan datang.

Gambar di atas menunjukkan pemandangan dari udara Bandar Sri Aman (nama lamanya ialah Simanggang), Sarawak di mana saya ditempatkan mengajar kali pertama. Dua deret kedai beratap merah di tepi Batang Lupar /Sungai Lupar (batang  bermakna sungai dalam bahasa Iban) telah hangus terbakar pada bulan Februari 1982.opps kalau tak silap).

Gambar di bawah pula menunjukkan SMK Simanggang, dulu disebut Sekolah Menengah Kerajaan Simanggang, kini Sekolah Menengah Kebangsaan Simanggang. Pengalaman mengajar 5 tahun di sana adalah pengalaman yang manis apatah lagi pada masa itu usia pula masih belia.

Keistimewaan sungai Batang Lupar ini ialah apabila airnya surut, kanak-kanak boleh bermain bola di dasarnya yang kering. Apabila air pasang, ombak besar akan bergerak dari hulu ke hilirnya. Ombak ini dipanggil benak. Jika hendak melihat benak, singgahlah ke Sri Aman, ada pesta melihat benak.
Sekolah Menengah Kerajaan Simanggang - pandangan dari udara
Benak di Sri Aman

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...