Sejak beberapa hari ini hujan turun renyai-renyai dan kadang kala lebat sepanjang hari ini. Hari ini hujan turun tanpa henti sejak awal pagi tadi menjadikan hari ini hari yang lembap. Kalau mengikut ilmu geografi yang kita pelajari dahulu, ketika ini iaitu menjelang Februari, iklim negara kita sudah mulai cerah sepanjang masa manakala biasanya musim kemarau melanda di bulan Mac. Sekarang ini keadaan cuaca sudah sukar diramalkan. Ini berlaku akibat perubahan geosistem dan geologi yang pesat oleh aktiviti manusia dalam menjalankan kehidupan di bumi.
Semalam, 29 Januari 2011 bersamaan 24 Safar 1432 Hijriyah, sekolah (SMK Pasoh 2 Felda) menjalankan latihan dalam perkhidmatan pertama bagi sesi persekolahan 2011. Tajuk LDP atau LaDaP pertama adalah "Meningkatkan Prestasi Pelajar Melalui Kajian Tindakan" disampaikan oleh Haji Hamidon Haji Khalid, pengetua SMK Pasoh 2 (Felda). Sesi LDP ini merupakan sesi perkongsian pengetahuan dan ulang kaji tentang kajian tindakan dan kajian tindakan inovasi kepada semua guru di SMK Pasoh 2. Pada tahun ini, pihak Pejabat Pelajaran Daerah Jempol dan Jelebu telah meminta setiap panitia Sains dan Matematik sekolah menghasilkan dua kajian tindakan, satu bagi mata pelajaran Sains dan satu bagi mata pelajaran Matematik. Berikutan daripada itulah sesi LDP pertama mengambil tajuk tersebut.
Kandungan latihan adalah: (1) Peranan Pendidik sebagai Penyelidik, (2) Definisi dan Konsep Kajian Tindakan, (3) Proses Kajian Tindakan (4) Penulisan Kertas Cadangan / Proposal Kajian Tindakan, dan (5) Penulisan Laporan Kajian Tindakan. Adalah diharapkan guru-guru dapat menghasilkan kajian tindakan sama ada secara bersendirian ataupun secara berkumpulan. Hasil laporan kajian tindakan ini dapat membantu guru mencalonkan diri menjadi Guru Cemerlang.
No comments:
Post a Comment