Friday, 27 January 2012

Kepimpinan Situasi? - Pelajar Dikenakan Aku Janji Cuti Tahun Baru Cina

The Situational Leader
Perbincangan saya kali ini mengajak pembaca merenung dan mentafsir sendiri antara kepimpinan situasi dan suatu situasi yang berlaku di sebuah kolej di utara tanah air. Sebelum menulis lebih lanjut, saya ingin mengulas sedikit tentang teori kepimpinan situasi yang dipopularkan oleh Dr. Paul Hersey, profesor dan penulis buku Situational Leader dan Ken Blanchard, penulis buku The One Minute Manager dalam buku mereka  Management of Organizational Behavior yang diterbitkan pertama kali dalam tahun 1985 setebal 128 muka surat. Teori ini terlebih dahulu diperkenalkan sebagai Life Cycle Theory of Leadership dan kemudian dinamakan Situational Leadership Theory pada pertengahan tahun 1970an.


Asas kepimpinan situasi adalah tiada satu stail kepimpinan yang terbaik. Kepimpinan berkesan bergantung kepada tugasan atau keadaan yang mana pemimpin yang paling berjaya adalah mereka yang dapat mengadaptasikan stail kepimpinan mereka dengan kematangan indivu atau kumpulan yang mereka pengaruhi. Kematangan merujuk kepada keupayaan untuk menetapkan matlamat yang tinggi dan boleh dicapai, kesediaan dan kebolehan untuk mengambil tanggungjawab ke atas tugasan yang diberikan dan pendidikan atau pengalaman individu atau kumpulan yang bersesuaian dengan tugasan tersebut.

Oleh kerana itu seseorang pemimpin pendidikan seperti pengarah kolej atau pengetua sekolah menengah ataupun guru besar sekolah rendah, perlulah menggunakan kebijaksanaannya dalam mengurus insitusi yang dipimpinnya termasuklah menguruskan cuti pelajar-pelajar insitusinya.

Sekarang berbalik kepada situasi yang berlaku di sebuah kolej di utara tanah air yang saya sentuh di atas. Pada perayaan Tahun Baru Cina yang lalu iaitu pada Isnin 23 Januari 2012 dan Selasa, 24 Januari 2012 seluruh negara bercuti umum. Kita juga mengetahui bahawa pejabat-pejabat kerajaan, agensi-agensi kerajaan dan juga institusi pembelajaran kerajaan di tiga buah negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu bercuti pada hari Jumaat, 20 Januari 2012 dan Sabtu, 21 Januari 2012. Ini bermakna di antara kedua-dua hari tersebut, terdapat satu hari bekerja atau bersekolah iaitu pada hari Ahad 22 Januari 2012. Kolej berkenaan menerima pelajar dari seluruh tanah air untuk menghadiri kursus asas sains dan teknologi yang mana pelajar-pelajar itu kemudiannya akan ditempatkan di beberapa universiti luar negara dan dalam negara selepas tamat pengajian selama dua atau tiga semester. Yang menjadi persoalannya ialah pelajar-pelajar telah dibenarkan balik bermalam pada hari Jumaat dan Sabtu tetapi dimestikan hadir menghadiri kuliah pada hari Ahad sebelum bercuti semula pada hari Isnin dan Selasa. 


Nah di sinilah pada pandangan saya, kepimpinan situasi itu boleh ditunjukkan dengan melihat situasi yang ada pada masa itu. Malangnya pelajar-pelajar telah diminta menanda tangani satu surat aku janji akan hadir semula menghadiri kuliah pada hari Ahad. Labih malang lagi surat aku janji itu mengenakan syarat tindakan disiplin boleh diambil sekiranya pelajar mengingkari arahan. Seperti diduga ramai pelajar tidak hadir pada hari Ahad tersebut. Saya sangat bersimpati kepada guru-guru yang mengajar di kolej tersebut yang mungkin telah merancang begitu lama untuk balik ke tempat asal masing-masing untuk menghabiskan cuti panjang Tahun Baru Cina tahun ini. Saya lebih bersimpati lagi terhadap pelajar-pelajar yang telahpun menempah tiket bas untuk balik ke rumah pada malam Khamis dan datang semula ke kolej pada hari Selasa minggu hadapannya. Saya boleh simpulkan kes ini sebagai "antara kuasa dan emosi". Siapa yang akan bertanggungjawab menghampakan harapan ibu bapa dan penjaga pelajar yang ingin bermesra dengan anak-anak mereka? Siapa pula yang akan menggantikan tambang tiket pelajar  tersebut? Keputusan yang silap tentunya akan menjadi kenangan pahit yang sentiasa akan disebut-sebut pada masa-masa akan datang walaupun pemimpinnya telah bersara. Mahukah anda jadi begitu? Tepuk dada tanya selera!

Friday, 23 December 2011

Keputusan PMR 2011 Memberangsangkan

Tahniah kepada semua pelajar-pelajar Tingkatan 3 seluruh Negeri Sembilan yang telah berjaya meningkatkan Gred Purata Negeri Sembilan daripada 2.77 kepada 2.66. Berita tentangnya telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia.


SEREMBAN. 22 Disember 2011 - Seramai 1,707 daripada 18,117 calon sekolah kerajaan di negeri ini memperoleh A dalam semua mata pelajaran dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan hari ini.

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran Negeri (JPNS), Pkharuddin Ghazali memberitahu, dari jumlah berkenaan seramai 296 calon mendapat 9A, 1,192 mendapat 8A manakala selebihnya memperoleh 7A.

Katanya jumlah itu memperlihatkan peningkatan 9.4 peratus iaitu sebanyak 220 pelajar berbanding pada 2010 iaitu seramai 1,487 pelajar. 

"Gred Purata Negeri (GPN) bagi PMR di Negeri Sembilan ialah 2.66 berbanding 2.70 peratus pada 2010. Gred Purata Nasional ialah 2.71 peratus," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pkharuddin menjelaskan, pelajar dan calon sekolah kerajaan yang mencapai tahap penguasaan minimum iaitu D bagi semua mata pelajaran meningkat kepada seramai 12,566 pelajar berbanding tahun sebelumnya 11,991 pelajar.

"Prestasi cemerlang semua A bagi pelajar sekolah kawasan bandar dan sekolah luar bandar tahun ini juga meningkat, masing-masing naik 14 peratus dan 5.9 peratus. Sekolah di bandar tahun ini yang mendapat semua A adalah seramai 1,102 pelajar manakala sekolah di luar bandar seramai 605," jelasnya..

Pkharuddin turut memberitahu, sebanyak 10 mata pelajaran daripada 15 yang ditawarkan menunjukkan peningkatan peratusan pencapaian pada tahun ini. Antara mata pelajaran itu katanya, ialah Bahasa Punjabi, Kemahiran Hidup Bersepadu Perdagangan dan Keusahawanan, Kemahiran Hidup Bersepadu Ekonomi Rumah Tangga, Kemahiran Hidup Kemahiran Teknikal dan Kemahiran Hidup Pertanian.

"Turut meningkat ialah Pendidikan Islam, Bahasa Melayu, Sejarah, Sains dan Matematik," kata beliau.

Thursday, 15 December 2011

Kolokium Kembara Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan Sekolah-Sekolah Menengah dan Rendah Negeri Sembilan Darul Khusus

Alhamdulillah, kolokium telah dapat dijalankan dengan jayanya pagi tadi di Kelana Resort, Seremban. YAB Dato' Seri Utama Haji Muhamad bin Haji Hasan,Menteri Besar Negeri Sembilan telah sudi memberikan amanat  kepada pemimpin-pemimpin sekolah dan menutup rasmi kolokium. Insya Allah, pengalaman Dato' Seri membangunkan Negeri Sembilan Darul Khusus sejak 2004 terutamanya pembangunan dalam sistem pendidikan negeri menjadi inspirasi dan motivasi kepada pemimpin-pemimpin sekolah untuk melonjakkan lagi tahap pendidikan di Negeri Sembilan di masa-masa mendatang apatah lagi sesi persekolahan tahun 2012 akan dibuka dua minggu lagi.

Thursday, 8 December 2011

Mesyuarat Refleksi Pengetua Tahun 2011

Alhamdulillah mesyuarat refleksi pengetua bagi tahun 2011 telah selamat dihadiri pada 5, 6 dan 7 Disember yang lalu bertempat di Hotel Goldcourse, Klang. Bagi sebahagian besar peserta yang hadir, ada yang baru pertama kali menghadirinya. Bagi saya pula, ini adalah kali pertama saya menjejakkan kaki ke Hotel Goldcourse ini, bunyinya macam Goldcoast di Brisbane, Australia. Sebelum menjejakkan kaki ke hotel ini saya telah membuat carian terlebih dahulu dengan enjin pencari Google dan Crawler untuk mendapatkan sedikit sebanyak maklumat tentang hotel ini terutama sekali maklumat tentang lokasinya. Maklumlah baru pertama kali hendak ke hotel ini. Ada pengunjung yang memberi komen hotel ini berbau dan buruk kerana tidak diselenggara dengan baik. Namun apabila sampai di Jalan Pasar, jelas kelihatan hotel tersebut yang tersergam di tepi Sungai Klang memang berada dalam keadaan yang buruk kerana tidak dicat semula. Maklumat yang saya terima daripada pengunjung menyatakan hotel ini baru diambilalih oleh seorang pengusaha Bumiputera dan  dalam proses menaik-taraf.

Encik Omar bin Ahamad sedang berbicara
Mesyuarat kali ini pada hemat saya merupakan mesyuarat yang paling ramai dihadiri oleh wakil-wakil pengetua, tidak kurang daripada 20 orang kesemuanya daripada 117 buah sekolah menengah di Negeri Sembilan. Mesyuarat kali ini lebih menarik dengan pengisian dua slot pendek yang sangat berkesan iaitu pembentangan perkongsian pengalaman daripada dua orang rakan sejawat iaitu Encik Omar bin Ahamad dari SMK Taman Tuanku Jaafar, Seremban yang berkongsi pengalaman beliau membangunkan perkhidmatan ICT di SMK Jelai Felda dan SMK Taman Tuanku Jaafar menerusi slot bertajuk Ke Arah Sekolah Berwatak ICT. Usaha gigih beliau ini telah menobatkan beliau sebagai Pemimpin ICT peringkat Negeri Sembilan dan tempat kedua peringkat kebangsaan. Beliau telah berkongsi pengalaman beliau ketika menghadiri lawatan ke Korea Selatan sebagai sebahagian daripada anugerah dan pengiktirafan yang diberikan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Dalam pada itu, slot kedua perkongsian best practice yang dijadualkan pada jam 8.00 malam 6 Disember oleh Tuan Haji Rosdin bin Kasim dari SMK Simpang Gelami yang berjaya membangunkan SMK Simpang Gelami sehingga mendapat tawaran baru / baiah tidak dapat diadakan. Ini disebabkan adanya intervensi majlis persaraan Yang Berbahagia Dr. Haji Zahri bin Aziz, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Bahagian Operasi Pendidikan yang akan bersara pada 10 Disember 2011.

Yang Berbahagian Dr. Haji Zahri bersama isteri dan Pengarah JPNS
Ramai daripada kalangan pengetua berasa hampa kerana perkongsian pengalaman Tuan Haji Rosdin tidak dapat diadakan dan menganggap slot pendek ini sebagai input yang paling bermakna dalam mesyuarat kali ini. Oleh itu, dicadangkan Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM) Cawangan Negeri Sembilan agar dapat menganjurkan seminar atau kolokium Best Practice pada tahun 2012 nanti supaya pengalaman-pengalaman begini dapat dikongsi bersama-sama pengetua dan pemimpin pendidikan yang lain ke arah meningkatkan tahap pendidikan di Negeri Sembilan dan seterusnya mencapai KPI yang ditetapkan oleh JPNS.

Thursday, 25 August 2011

Baiah Pengetua 2010 - Tahniah!

Saya ingin merakamkan tahniah dan syabas kepada rakan-rakan pengetua dan semua guru serta kakitangan 17 buah sekolah-sekolah menengah di Negeri Sembilan yang berjaya dicalonkan untuk mendapat ganjaran pada tawaran baru bagi tahun 2010. Nama sekolah-sekolah yang dicalonkan mendapat ganjaran di Negeri Sembilan telah diumumkan oleh Puan Hajah Kalsom binti Khalid, Ketua Sektor Jaminan Kualiti, JPNS dalam Mesyuarat Profesionalisme Pengetua bersama PPD Seremban dan Ketua Sektor di bilik mesyuarat PPD Seremban pada 23 Ogos 2011 yang lalu.
Sekolah-sekolah tersebut adalah:
  1. Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (SASER)
  2. SMK Seremban Jaya 2
  3. Kolej Tunku Kurshiah
  4. Sekolah Dato' Abdul Razak
  5. SMK Bukit Jalor
  6. SMK Simpang Gelami
  7. SMK Teriang Hilir
  8. SM Agama Dato' Tan Ahmad
  9. Sekolah Sains Tuanku Jaafar
  10. SM Rendah Agama Ulu Jempol
  11. Sekolah Menengah Agama Teluk Kemang
  12. SMK Yam Tuan Radin
  13. SMA Dato' Haji Mustafa
  14. SBPI Jempol
  15. SMK Tuanku Syed Idrus
  16. SMK Undang Rembau
  17. SMJK Chung Hua, Kuala Pilah
Nama-nama sekolah yang menerima ganjaran mengikut perancangan kementerian sepatutnya diumumkan pada majlis sambutan hari guru yang lalu. Ada desas-desus mengatakan terdapat permasalahan dalam menganugerahkan ganjaran kerana terdapat kontroversi pada pemilihan calon sekolah yang bakal menerimanya. Menurut perjanjian pengetua Tahun 2009 atau Baiah Pengetua 2009, sekolah yang berjaya mestilah mencapai Skor Komposit 92% atau melonjak 300 mata, namun Jawatankuasa NKRA di kementerian telah mengubahnya kepada skor komposit 88% atau lonjakan 500 mata mengakibatkan beberapa sekolah menengah harian digugurkan menjadikan sekolah menengah harian yang layak keseluruhannya adalah 3% sahaja daripada jumlah semua sekolah menengah harian berbanding 45 daripada 60 SBP yang menerima ganjaran. Walau apapun tahniah kepada sekolah yang berjaya walaupun ramai yang terkilan kerana lain yang dijanjikan lain pula yang dikotakan. Bak kata perumpamaan Melayu kerbau dipegang pada hidungnya, manusia dipegang pada janjinya. Ajaran agama Islam pula melalui hadis menyatakan orang yang mungkir janji adalah orang yang munafik dan orang yang munafik pula tidak boleh menjadi wali atau saksi. Wallahu alam.

Maklumat terkini yang diterima adalah 13 buah sekolah menengah layak menerima ganjaran pada tawaran baru 2010 yang akan dinugerahkan kepada mereka dalam satu majlis selepas hari raya Aidil Fitri.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...