Friday, 27 January 2012

Kepimpinan Situasi? - Pelajar Dikenakan Aku Janji Cuti Tahun Baru Cina

The Situational Leader
Perbincangan saya kali ini mengajak pembaca merenung dan mentafsir sendiri antara kepimpinan situasi dan suatu situasi yang berlaku di sebuah kolej di utara tanah air. Sebelum menulis lebih lanjut, saya ingin mengulas sedikit tentang teori kepimpinan situasi yang dipopularkan oleh Dr. Paul Hersey, profesor dan penulis buku Situational Leader dan Ken Blanchard, penulis buku The One Minute Manager dalam buku mereka  Management of Organizational Behavior yang diterbitkan pertama kali dalam tahun 1985 setebal 128 muka surat. Teori ini terlebih dahulu diperkenalkan sebagai Life Cycle Theory of Leadership dan kemudian dinamakan Situational Leadership Theory pada pertengahan tahun 1970an.


Asas kepimpinan situasi adalah tiada satu stail kepimpinan yang terbaik. Kepimpinan berkesan bergantung kepada tugasan atau keadaan yang mana pemimpin yang paling berjaya adalah mereka yang dapat mengadaptasikan stail kepimpinan mereka dengan kematangan indivu atau kumpulan yang mereka pengaruhi. Kematangan merujuk kepada keupayaan untuk menetapkan matlamat yang tinggi dan boleh dicapai, kesediaan dan kebolehan untuk mengambil tanggungjawab ke atas tugasan yang diberikan dan pendidikan atau pengalaman individu atau kumpulan yang bersesuaian dengan tugasan tersebut.

Oleh kerana itu seseorang pemimpin pendidikan seperti pengarah kolej atau pengetua sekolah menengah ataupun guru besar sekolah rendah, perlulah menggunakan kebijaksanaannya dalam mengurus insitusi yang dipimpinnya termasuklah menguruskan cuti pelajar-pelajar insitusinya.

Sekarang berbalik kepada situasi yang berlaku di sebuah kolej di utara tanah air yang saya sentuh di atas. Pada perayaan Tahun Baru Cina yang lalu iaitu pada Isnin 23 Januari 2012 dan Selasa, 24 Januari 2012 seluruh negara bercuti umum. Kita juga mengetahui bahawa pejabat-pejabat kerajaan, agensi-agensi kerajaan dan juga institusi pembelajaran kerajaan di tiga buah negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu bercuti pada hari Jumaat, 20 Januari 2012 dan Sabtu, 21 Januari 2012. Ini bermakna di antara kedua-dua hari tersebut, terdapat satu hari bekerja atau bersekolah iaitu pada hari Ahad 22 Januari 2012. Kolej berkenaan menerima pelajar dari seluruh tanah air untuk menghadiri kursus asas sains dan teknologi yang mana pelajar-pelajar itu kemudiannya akan ditempatkan di beberapa universiti luar negara dan dalam negara selepas tamat pengajian selama dua atau tiga semester. Yang menjadi persoalannya ialah pelajar-pelajar telah dibenarkan balik bermalam pada hari Jumaat dan Sabtu tetapi dimestikan hadir menghadiri kuliah pada hari Ahad sebelum bercuti semula pada hari Isnin dan Selasa. 


Nah di sinilah pada pandangan saya, kepimpinan situasi itu boleh ditunjukkan dengan melihat situasi yang ada pada masa itu. Malangnya pelajar-pelajar telah diminta menanda tangani satu surat aku janji akan hadir semula menghadiri kuliah pada hari Ahad. Labih malang lagi surat aku janji itu mengenakan syarat tindakan disiplin boleh diambil sekiranya pelajar mengingkari arahan. Seperti diduga ramai pelajar tidak hadir pada hari Ahad tersebut. Saya sangat bersimpati kepada guru-guru yang mengajar di kolej tersebut yang mungkin telah merancang begitu lama untuk balik ke tempat asal masing-masing untuk menghabiskan cuti panjang Tahun Baru Cina tahun ini. Saya lebih bersimpati lagi terhadap pelajar-pelajar yang telahpun menempah tiket bas untuk balik ke rumah pada malam Khamis dan datang semula ke kolej pada hari Selasa minggu hadapannya. Saya boleh simpulkan kes ini sebagai "antara kuasa dan emosi". Siapa yang akan bertanggungjawab menghampakan harapan ibu bapa dan penjaga pelajar yang ingin bermesra dengan anak-anak mereka? Siapa pula yang akan menggantikan tambang tiket pelajar  tersebut? Keputusan yang silap tentunya akan menjadi kenangan pahit yang sentiasa akan disebut-sebut pada masa-masa akan datang walaupun pemimpinnya telah bersara. Mahukah anda jadi begitu? Tepuk dada tanya selera!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...