Sunday, 19 June 2011

Hari Bapa 2011

Pekan Rabu, Alor Setar, 15 Mei 2011
Hari ini Ahad, 19 Jun 2011 Hari Bapa disambut di sebahagian besar negara di dunia. Ini kerana Hari Bapa disambut oleh beberapa negara pada tarikh yang berbeza mengikut negara berkenaan. Ada negara yang menyambutnya pada hari Ahad minggu pertama bulan Jun, ada juga yang menyambutnya pada hari Ahad minggu kedua bulan Jun. Negara-negara yang menyambutnya pada hari ini ialah Afghanistan, Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Argentina, Bahamas, Bahrain, Bangladesh, Barbados, Belize, Belanda, China, Colombia, Costa Rica, Croatia, Cuba, Cyprus,  Dominica, Ecuador, Ethiopia, Filipina, Ghana, Greece, Guyana, Haiti, Hong Kong, Hungary, India, Ireland, Jamaica, Jepun, Malaysia, Malta, Mauritius, Myanmar, Namibia, Nigeria, Oman, Pakistan, Panama, Paraguay, Peranchis, Peru, Puerto Rico, Republik Czech, Singapura, Slovakia, Sri Lanka, Thailand, Trinidad dan Tobago, Turki, United Kingdom, Venezuela, Zambia dan Zimbabwe.

Bolivia, Honduras, Itali, Portugal dan Sepanyol telah menyambut Hari Bapa pada 19 Mac 2011 yang lalu manakala Uruguay akan menyambutnya pada 17 Julai 2011 nanti. Thailand pula akan menyambut Hari Bapa pada 5 Disember 2011.

Mengikut sejarah Hari Bapa bermula pada awal abad ke-12 untuk memberi penghormatan dan peringatan terhadap para bapa. Sambutannya melibatkan pemberian hadiah kepada bapa dan lain-lain aktiviti kekeluargaan bertujuan untuk mengenang jasa bapa di dalam keluarga.

Hari Bapa menurut perspektif Islam
Menurut pandangan Islam kasih sayang yang paling utama ialah terhadap Allah s.w.t., diikuti Rasulullah s.a.w., kedua ibu bapa, suami, isteri, anak-anak, ahli keluarga, kaum kerabat, jiran tetangga dan seterusnya. Jika sekiranya hendak membuat sambutan, ianya hendaklah dibatasi dengan syarat-syarat yang telah digariskan dalam Islam termasuklah dalam aspek menjaga perhubungan antara bukan mahram dan maruah individu itu sendiri.

Wednesday, 15 June 2011

Petua Seorang Guru - Renungan buat Guru dan Bakal Guru

PETUA SEORANG GURU
Kalau guru mengajar sambil duduk
Murid belajar sambil mengantuk
Kalau guru mengajar sambil berlakon
Murid belajar dengan tekun
Kalau guru mengajar tanpa alat
Murid belajar dengan ralat
Kalau guru mengajar banyak bercakap
Ada murid bertambah gagap
Kalau guru menjadi pemudah cara
Ramai murid pandai berbicara
Kalau guru mengajar tanpa menilai
Takkan tahu murid bodoh dan pandai
Kalau guru berbudi bahasa
Dikenang murid sepanjang masa

Rangkaian kata-kata hikmat ini sudah lama terdapat di mana-mana sekolah. Namun sebagai ingatan kepada diri sendiri sebagai pendidik dan guru-guru dan bakal-bakal guru, elok rasanya kita berpegang kepada rangkaian kata-kata ini sebagai pendorong untuk meningkatkan tahap pencapaian murid yang kita ajar di kelas.

Petua Seorang Guru ini boleh dilihat di Kamar Permuafakatan SMK Pasoh 2. Sebagai renungan di dalam petua ini terdapat ciri-ciri guru yang diperlukan oleh murid dan apakah akibatnya jika guru mempunyai sikap negatif seperti kata-kata yang terdapat di dalam petua itu.

Sunday, 12 June 2011

Fort Margherita - Apa Ada Di Dalamnya?

Fort Margherita di bandar Kuching, Sarawak mula dibina pada tahun 1878 dan siap sepenuhnya pada 1880. Ia dibina untuk mempertahankan bandar tersebut daripada serangan lanun. Ia mengambil nama isteri Charles Brooke iaitu Ranee Margaret. Bentuknya adalah seperti istana Inggeris di atas tempat stategik untuk mengawal Sungai Sarawak. Gambar di sebelah adalah model Fort Margherita yang dibina bersebelahan Waterfront.

Pada lawatan peserta Program Pengintegrasian Teknologi dan Budaya dalam Pengajaran dan Pembelajaran ke arah Pembestarian Pendidikan PKG Lui pada 4 Jun hingga 8 Jun 2011yang lalu, peserta-peserta tidak dapat memasuki kubu ini kerana telah ditutup untuk proses pemuliharaan sejak tahun 2006 yang lalu. Namun untuk tatapan peserta program saya sertakan beberapa keping gambar apa yang dapat dilihat di dalam kubu ini. Gambar-gambar ini diambil pada bulan Disember tahun 2005 sewaktu saya dan keluarga melawat Kuching pada tahun tersebut.

Pemandangan Fort Margherita dari atas

Bersama ahli keluarga di dalam kubu pada 2005

Sebahgian daripada model yang terdapat di dalamkubu

Lagi objek yang terdapat di dalam kubu Margherita

Lagi objek...

Tuesday, 7 June 2011

Lawatan Pengintegrasian Teknologi dan Budaya dalam Pengajaran dan Pembelajaran ke Arah Pembestarian Pendidikan di Kuching

Alhamdulillah pada 4 hingga 8 Jun 2011, saya telah berkesempatan mengetuai rombongan PKG Lui, Jempol dalam program lawatan pengintegrasian teknologi dan budaya dalam pengajaran dan pembelajaran ke arah pembestarian pendidikan di Kuching, Sarawak Bumi Kenyalang. Sepanjang lawatan selama 5 hari 4 malam kami telah menginap di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Sarawak di Kota Samarahan. Kediaman kami itu dinamakan Baruk Kenyalang. Baruk adalah bahasa tempatan yang bermaksud pondok. Lawatan ini adalah kesinambungan daripada lawatan kembara kajian tindakan inovasi di Sabah pada tahun 2009 yang lalu. BTPN Sabah dinamakan Serudung Bayu. Eloklah kita namakan BTPN kita di Negeri Sembilan dengan nama tempatan juga. Saya mencadangkan Teratak Perpateh kepada BTPN Negeri Sembilan.

Selaku ketua rombongan, saya bagi semua ahli rombongan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tuan Haji A.Wahed bin Rosli, Ketua Penolong Pengarah BTPN Sarawak dan barisan staf beliau yang sudi menerima kunjungan kami dan menyediakan tempat penginapan di BTPN Sarawak. Terima kasih tuan! Keenakan nasi dabai dan kueh selorot yang dihidangkan kepada kami sentiasa menjadi ingatan para peserta.
Di hadapan kilang kek lapis Dayang Salhah di Demak
Objektif lawatan ini adalah untuk menghasilkan pembelajaran berasaskan projek (PBL-Project-Based Learning) bagi tujuan pembelajaran dengan bantuan teknologi pendidikan. Rombongan lawatan terdiri daripada 3 orang pengetua, 5 orang guru besar, penolong-penolong kanan, guru perpustakaan dan media, penyelaras bestari serta turut disertai oleh 11 orang murid - 6 daripada sekolah rendah dan 5 orang daripada sekolah menengah. Pelajar-pelajar ini dibawa ke kilang kek lapis Dayang Salhah dan Kampung Budaya Sarawak di Santubong supaya dapat mengambil foto, merakam perbualan dan menemubual kakitangan kedua-dua tempat. Rakaman ini kemudian dimuatkan dalam projek mereka. Bahan-bahan ini  juga diolah untuk dipersembahkan dengan perisian movie maker.

Gambar-gambar di sepanjang program ini boleh dilihat di http://galerihamidon.blogspot.com/2011/06/pkg-lui-ke-kuching-4-jun-2011.html

Thursday, 3 March 2011

Pekeliling Yang Dilupakan - Masihkah Kau Ingat?

Beberapa hari yang lalu saya melawat beberapa sekolah di seluruh Malaysia secara maya. Ya melawat beberapa sekolah.... Ini semua dapat dilakukan secara maya dengan menggunakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi. Banyak juga daripada sekolah-sekolah itu masih menggunakan singkatan seperti Sek. Keb. dan Sek. Men. Keb. yang mana singkatan ini sebenarnya telah dilarang penggunaannnya oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sejak 1997 lagi.

Jika pembaca masih ingat, Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 1 Tahun 1997 yang ditandatangani oleh Tan Sri Datuk Dr. Wan Mohd Zahid bin Mohd Noordin, mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia berkaitan dasar dan peraturan mengenai nama sekolah dengan jelas menyatakan apa yang saya maksudkan dalam perenggan di atas. Di bawah ini saya siarkan surat pekeliling berkaitan.

Mungkin disebabkan terlalu banyak surat-surat pekeliling, sama ada surat pekeliling perkhidmatan, surat pekeliling kewangan dan surat pekeliling ikhtisas yang dikeluarkan dalam sesuatu tahun semasa sehingga kita sering terlupa mengenainya. Oleh itu, marilah kita warga pendidik mematuhi pekeliling ini dengan membuat penukaran nama dari Sek. Men. Keb. kepada Sekolah Menengah Kebangsaan atau SMK di dalam aktiviti pendidikan kita. Begitu juga jika singkatan Sek. Men. Keb. digunakan di logo sekolah, lencana murid, label sekolah, laman-laman web dan sebagainya sebaiknya ditukar kepada SMK supaya masyarakat yang berada di luar dunia pendidikan dapat memahami makna singkatan itu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...