Wednesday, 2 December 2015

Kembara Guilin 2015 - Hari Ketiga

HARI KETIGA - SABTU 17 OKTOBER 2015

Alhamdulillah......syukur kepadaMu Ya Allah kerana diberi kesempatan menikmati pemandangan indah ciptaan-Mu di bumi Yangshuo. Ke mana pula hari ni ye? Selepas sarapan pagi di hotel penginapan, kami mendaftar keluar hotel jam 8.00, memasukkan beg besar ke dalam perut bas dan terus menaiki bas. Lupa pula apa nama hotel kerana papan tandanya dalam bahasa China. Pada pengamatan saya, lebih daripada 90 peratus bangunan di Yangshuo dan Guilin mempunyai tanda nama dalam bahasa China.


Papan tanda elektronik nama hotel dalam bahasa China
Di dalam bas, Peter, pemandu pelancong kami, memaklumkan rombongan akan dibawa melawat Silver Cave, kemudian makan tengah hari, melawat kedai teh, dan menyusuri sungai di Guilin.


Menurut Peter lagi, di sepanjang perjalanan 5 km keluar dari Yangshuo, kita dapat melihat beautiful life scenery. Ya, memang benar kenyataan Peter itu. Saya kagum dengan kerajinan dan kegigihan rakyat China mengindahkan persekitaran mereka dengan bertani di sepanjang jalan raya, sama ada untuk mencari rezeki mahupun untuk tujuan mengabadikan kebersihan dan keindahan alam semula jadi daerah mereka untuk tatapan pelancong. Mungkinkah cara hidup di bawah pemerintahan komunis sebelum ini menjadikan mereka rakyat yang penuh berdisiplin?


Setiap inci tanah ditutupi dengan sayur-sayuran

Bukit-bukau batu kapur Guilin dan Yangshuo yang banyak itu menghasilkan ratusan gua di dalamnya. Moon Hill yang merupakan ikon bukit-bukau di Yangshuo, yang mudah dikenali kerana bukit berbatu kapur ini mempunyai lubang yang berbentuk bulan di tengah-tengahnya berukuran 50 meter tinggi dan 50 meter lebar. Di Moon Hill ini terdapat gua terkenal yang dinamakan Gua Bulan di mana di dalamnya terdapat pelbagai bentuk stalagmit dan stalaktit yang cantik. Walau bagaimanapun, kami tidak mendaki Moon Hill, hanya memandangnya dari jauh dari dalam bas kerana kesuntukan masa.

Lubang berbentuk bulan pada Bukit Bulan (Moon Hill)
Moon Hill dari sudut lain
Labih kurang jam 9.00 pagi, bas kami sampai di kawasan Silver Cave. Di sini terdapat sebuah resort yang dinamakan Silver Resort. Di sepanjang laluan pejalan kaki dari hentian bas ke Silver Cave, terdapat beberapa monumen dan gerai-gerai jualan sehinggalah sampai ke kaunter tiket masuk gua perak itu.

Monumen kuda emas menunggu sebelum masuk Silver Cave
Persekitaran yang bersih kerana banyaknya tong sampah disediakan
Gerai buah limau bali
Gerai menjual buah berangan, jagung dan keladi rebus
Di persekitaran pintu masuk Silver Cave terdapat landskap yang menarik yang boleh diaplikasikan di sekolah-sekolah di negara kita. Ini disebabkan tumbuh-tumbuuhan yang ada di negara kita hampir sama dengan flora yang terdapat di Guilin.

Rumpunan buluh yang cantik menambah seri landskap


Pada jam 9.00 pagi kami mula memasuki Silver Cave dan keluar sejam kemudian. Terdapat pelbagai bentuk stalagmit dan stalaktit yang cantik. Suasana menjadi lebih menarik lagi apabila objek-objek itu disinari dengan pancaran cahaya lampu pelbagai warna menghasilkan corak lukisan yang indah. Ini merupakan sesuatu yang boleh dipelajari dan diaplikasikan kepada beberapa gua di negara kita untuk menambahkan lagi tarikan pelancong berekreasi di gua-gua negara kita.




Saiz pelancong yang kecil menunjukkan luasnya gua
Keluasan Silver Cave adalah sangat besar, maka pengunjung harus berhati-hati berjalan kerana lantai adalah licin disebabkan titisan air yang sentiasa turun dari stalaktit.



Bebayang di dalam air dan stalagtit berlampu menghasilkan lukisan hidup yang cantik

Bergambar di kolam releksi (bayangan di dalam air)
Ada gerai jualan cenderamata di dalam gua
Stalagmit bentuk ais krim. Tentu enak jika boleh dimakan.
Stalagmit berbentuk cendawan

Selepas menikmati pemandangan cantik di dalam Silver Cave, kami bergambar pula di persekitaran luar gua.

Telur pindang, jagung manis dan tauhu
Penimbang klasik masih digunakan
Lebih kurang jam 11.00 pagi, bas bergerak menuju restoran untuk makan tengah hari dan tiba di situ satu setengah jam kemudian.

Ruang makan restoran yang luas
Penggunaan payung sebagai bumbung - satu idea kreatif
Selepas makan tengah hari kami solat jamak di ruang makan restoran beralaskan kain alas meja baharu yang disediakan oleh pihak restoran. Kemudian kami dibawa melawat kilang teh, Dr.Tea sekitar jam 2.00 petang.


Setelah selesai melawat Dr.Tea hampir sejam, kami dibawa pula menuju ke destinasi tarikan pelancong seterusnya iaitu menaiki bot rakit dan melihat burung menangkap ikan bagi tuannya. Kami tiba di bot rakit jam 4.00 petang.








Selain daripada bot rakit yang diperbuat daripada buluh, tarikan utama di sungai ini ialah burung yang menangkap ikan bagi tuannya. Burung cormorant ini telah dilatih menangkap ikan apabila tuannya menggoncangkan sampan dengan menghentak-hentakkan kaki.


Setelah berada hampir sejam di atas bot rakit, kami bergerak dengan bas menuju Guilin. Apabila tiba di Guilin kami dibawa menaiki bot lagi menyusuri sungai sambil melihat pertunjukan budaya di sepanjang laluan sungai.



Keindahan alam Guilin terserlah dengan bayang-bayang bukit-bukau di air
Selain daripada melihat pemandangan di persekitaran laluan sungai ini, tiada apa lagi yang nampaknya menarik, mungkin kerana kami telah keletihan. Namun kreativiti pentadbir Guilin untuk menjadikan apa sahaja yang ada di Guilin sebagai tempat pelancongan haruslah dipuji, walaupun menggunakan bahan yang bukan semula jadi. Misalnya pokok bunga yang berwarna-warni di dalam gambar di bawah ini bukanlah pokok yang asli. Apabila diamati dari dekat, ia hanyalah suatu binaan simenfero yang dipacakkan dengan bunga-bunga plastik.


Simenfero dan bunga-bunga plastik digunakan sebagai tarikan
Terdapat juga beberapa stesen yang dijadikan pentas bagi menunjukkan kepelbagaian budaya beberapa etnik China yang mendiami bandar Guilin seperti contoh di dalam gambar di bawah.

Pertunjukan kaum orang asli Guilin
Lebih kurang jam 6.50 petang kami sampai di Endian Halal Restaurant untuk  menikmati makan malam.

Setelah makan malam kami berjalan kaki ke Masjid Guilin untuk mendirikan solat. Kemudian menaiki semula bas untuk melihat pemandangan malam di sekitar bandar Guilin. Di bawah ini adalah rakaman video yang menunjukkan pemandangan malam di sekitar Guilin yang dirakam dari dalam bas.

Kembara Gulin hari ketiga berakhir dengan kami mendaftar masuk Hotel Baigong semula.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...