Hari ini merupakan hari terakhir kami berada di bumi Guilin ini. Kami mendaftar keluar Hotel Baigong jam 8.30 pagi; selepas bersarapan, terus menaiki bas ke lapangan terbang antarabangsa Liangjiang, Guilin bagi menaiki pesawat AK 157 Air Asia yang dijangka berlepas jam 11.20 pagi. Pengalaman berada di sini selama 5 hari 4 malam penuh dengan pelbagai perasaan - suka, gembira, takjub, sedih, marah. Suka dan gembira kerana dapat mempereratkan silatulrahim dan mengenali lebih mesra antara satu sama lain, sekali-sekala berbincang juga tentang isu-isu pendidikan negara walaupun berada dalam mood bercuti. Takjub kerana melihat alam ciptaan Tuhan yang begitu indah; sedih dan marah juga kerana terasa ditipu peniaga Guilin.
Laluan sepanjang Sungai Li adalah lukisan hidup alam semula jadi terbaik
Kembara yang dianjurkan oleh Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Negeri Sembilan atau MPSM Negeri Sembilan bersama agensi pelancongan Nasaer Travel and Tour Sdn Bhd. dihadiri oleh 34 peserta yang terdiri daripada 2 pegawai dari JPNS iaitu Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Dato' Hajah Kalsom binti Khalid, dan Ketua Unit Pendidikan Menengah, Tuan Haji Misri bin Mistama, 18 orang pengetua, 8 pasangan pengetua, seorang anak pengetua dan 3 orang pensyarah IAB Enstek iaitu Shahrin Ahmad, Shafinaz A. Maulod, Suzana Zakaria dan adik beliau Satina Zakaria. Turut hadir adalah Hjh. Norsiah Sapri, pengurus Nasaer Travel and Tour Sdn Bhd.
Aksi peserta lelaki
Senarai peserta lelaki dari kiri ke kanan - Duduk: Shahrin Alias, Hj.Mad Amin Mad Yusof, Hj.Mohd Md Isa, Hj.Solahuddin Abd Rahman, Hj.Misri Mistama, Peter. Berdiri: Left.Kol. Hj.Mohd Tahir Mustafa, Hj. Mohd Iyon Malek, Hj. Mohamad Jamal, Hj.Mohd Sazali Sam, penulis, Hj.Nor Hashim Othman, Hj.Awalludin Mat Din, Hj.Ismail Hashim, Hj.Sabuddin Hj.Sani, En. Pahrol Azman Wahid.
Aksi perserta wanita
Senarai peserta wanita dari kiri ke kanan - Duduk: Hjh.Norsiah Sapri, Nurul Ain, Shafinaz A.Maulod, Ramlah Alias, Ustazah Suriyah Ghazali, Noridah Shaari. Berdiri: Hjh Noraini Abdullah, Hjh Saripah Mohd Nor, Hjh. Zainab Yaacob, Hjh Yatimah Jiram, Dato' Hjh.Kalsom Khalid, Saadiah Saad, Hjh Hamidah, Suzana Zakaria, Hjh. Faridah Jabbar, Satina Zakaria, Hjh. Hasnah Mat Sono, Hjh. Aini Mohd Salehuddin dan Ustazah Hasnah Mohd Yasin.
APA YANG DIPELAJARI DI GUILIN
Di samping mengutip pengalaman yang manis dan pahit, ada beberapa perkara yang boleh dipelajari dari kembara Guilin ini. Pertama, orang Guilin dan Yangshuo khasnya dan orang China amnya adalah satu bangsa yang sangat rajin. Kerajinan mereka terserlah apabila berusaha gigih menjadikan alam semula jadi dan hasil-hasil dari alam semula jadi seperti teh, herba, batu permata dan mutiara sebagai tarikan pelancong ke negara mereka. Landskap semula jadi Guilin yang unik dibentuk oleh bukit batu kapur, air sungai dan tasik yang jernih menjadikan ia tarikan utama pelancong ke Guilin. Pada ketika posting ini ditulis, negara China telah menyiapkan jambatan kaca yang terpanjang (430 meter) dan tertinggi (375 meter) di dunia di wilayah Hunan.
Jambatan kaca terpanjang dan tertinggi di dunia
Jambatan yang terletak di Taman Hutan Negara Tianmenshan itu menelan belanja sebanyak 26 juta yuan (RM16 juta) dan mengambil masa kira-kira setahun untuk disiapkan. Ia mengatasi laluan pejalan kaki di Grand Canyon, Arizona, Amerika Syarikat yang setinggi 220 meter. Walaupun jambatan yang direka arkitek Israel, Haim Dotan itu sudah siap, ia hanya akan dibuka kepada orang ramai pada Mei 2016. Ini merupakan jambatan kaca kedua yang dibina di negara China selepas jambatan kaca di Gunung Yuntai juga di wilayah Hunan.
Bukan semua lelaki berani
Mungkinkah selepas ini China akan membina lebih banyak lagi jambatan-jambatan kaca? Hanya masa yang dapat menentukan. Kedua, di daerah Guilin, kadar pencemaran udara dan kebisingan dikurangkan dengan penggunaan skuter yang menggunakan kuasa bateri. Terdapat lorong-lorong khas bagi skuter disediakan sepanjang jalan raya di bandar. Harga skuter elektrik adalah murah sekitar 2000 yuan kerana pengeluarannya adalah dalam kuantiti yang banyak. Skuter elektrik tidak mengeluarkan asap dan menjadikan enjin motor senyap. Selain daripada itu, skuter-skuter ini dibolehkan menggunakan payung bagi mengatasi panas terik terutamanya dalam musim panas. Satu idea yang kreatif dan praktikal.
Payung pada skuter
Lorong khas motosikal dan skuter
Alat pengecas bateri skuter berbayar
Kelajuan maksimum skuter yang dilaporkan adalah 35 km sejam. Keadaannya yang tidak laju tentunya dapat menjadikan bandar Guilin aman dari kebisingan dan tak mungkin ada sesiapa yang hendak menjadi mat rempit.
Ketiga: Persekitaran Guilin adalah bersih daripada sampah-sarap kerana pihak berkuasa tempatan menyediakan tong-tong sampah setiap 30 meter jarak. Ini mungkin diiringi oleh penguatkuasaan yang tegas oleh pegawai-pegawai penguatkuasanya menjadikan rakyatnya berdisiplin.
Bandar yang agak bersih
Bandar Guilin turut juga mempunyai landskap yang menarik bersesuaian dengan empat musimnya. Ketika kami melancong ke sini, Guilin berada dalam musim luruh (autumn) iaitu dari penghujung Ogos hingga penghujung Oktober. Inilah masa terbaik untuk melancong ke Guilin kerana keadaan cuacanya yang sederhana dengan suhu sekitar 15 hingga 30 Celsius. Pada musim ini keadaan air sungai adalah jernih. Dengan sebab itulah, kami dapat melihat bayang-bayang bukit-bukau Guilin dan Yangshuo yang cantik di permukaan air.
Landskap menarik dengan banyak tong sampah (kotak kuning) disediakan.
Keempat: Kepada pelancong-pelancong yang melawat negara China yang menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan tempatan, mereka dimestikan melawat gudang-gudang dan tempat-tempat tertentu yang telah ditetapkan oleh kerajaan seperti kedai kraftangan buluh, Bamboo Tree, kedai herba, kedai teh dan kedai membuat sutera serta batu jed. Pemandu pelancong menyebutnya sebagai government store. Agensi pelancongan Malaysia biasanya akan mendapatkan perkhidmatan agensi pelancongan tempatan bagi urusan-urusan di Guilin (ground arrangements).
Kain daripada buluh juga boleh didapati di negara kita
Agensi pelancongan tempatan di Guilin akan diberi komisyen jualan apabila pelancong-pelancong membuat pembelian di tempat-tempat yang mesti dilawati ini. Oleh kerana itu, pemandu pelancong akan memastikan rombongan pelancong yang dibawanya berada lama-lama di tempat-tempat tersebut supaya syarikatnya mendapat lebih banyak komisyen jika pelancong membeli dengan banyak. Tidak hairanlah harga barangan di kedai-kedai ini begitu mahal sekali ataupun diletakkan dengan tanda harga yang terlampau tinggi. Sebagai strategi pemasaran, pengurus kedai atau wakilnya akan memberikan potongan harga yang tidak masuk akal untuk mempengaruhi kita membelinya. Hal ini banyak diperkatakan dalam tulisan-tulisan di blog-blog berkaitan kembara ke China. Sebagai contoh, rujuk blog-blog berikut:
(1) http://saffuanjaffar.blogspot.my/2014/06/realiti-disebalik-trip-beijing-mesti.html dan
(2) http://azwansalleh.blogspot.my/2013/10/wajib-baca-sekiranya-mahu-melancong-ke.html
Barangan China kini telah banyak berada di pasaran negara kita
Apa yang dapat saya perhatikan ialah penipuan itu memang berlaku di Guilin. Penjual tidak menipu dari segi kualiti barang tetapi menipu dari segi harganya. Misalnya pencukur elektrik di dalam gambar di atas dijual dengan harga tawaran RMB 145 (atau RM 97) selepas diskaun. Pencukur yang sama jenama iaitu Goncon boleh dibeli dengan harga RM35 sahaja di kedai Mr. DIY di Tesco Seremban Jaya. Saya dah beli satu di Seremban!
Kelima: Kebanyakan teksi di GuIlin dan Yangshuo tidak menggunakan kenderaan jenama buatan China. Ini agak ironi kerana terdapat begitu banyak kenderaan jenama China dikeluarkan tetapi mereka menggunakan jenama luar seperti Volkswagen.
Kereta jenama Volkswagen begitu popular dijadikan teksi
Akhir sekali, cara muazzin di Guilin melaungkan azan adalah sangat berbeza dengan cara laungan azan di negara-negara Islam. Sambil melaungkan azan, muazzin akan memusingkan badannya ke empat penjuru atau empat arah. Video di bawah menunjukkan dengan jelas pergerakan muazzin apabila melaungkan azan. Rakaman dibuat di Masjid Chongsan, Guilin. Terima kasih Tuan Haji Nor Hashim bin Othman, Pengetua SMK Mambau, Seremban yang mengirimkan video ini.
Sebaik sahaja selesai bersarapan pagi di coffee house hotel Baigong, kami menaiki bas jam 8.00 pagi untuk bergerak ke destinasi pelancongan seterusnya. Peter, pemandu pelancong kami memaklumkan atur cara lawatan hari ini ialah melihat Pagoda Matahari dan Bulan dengan menaiki bot menyusuri sungai, melawat kedai ubatan tradisional, kedai menjual batu jed dan kemudian di sebelah petangnya kami akan dibawa menonton pertunjukan kebudayaan.
Selepas bergerak lebih kurang 20 minit, kami pun sampai ke jeti bot untuk menaiki bot dan mula bergerak menyusuri sungai Li atau Lijiang (jiang bermaksud sungai).
Penerangan tentang perjalanan dalam bahasa China
Terdapat lukisan pada dinding bawah jambatan
Destinasi bot yang dinaiki ini adalah ke suatu pagoda yang mengambil masa perjalanan lebih kurang 30 minit dari jeti tadi. Dalam perjalanan saya terpandang satu hentian yang mempunyai bumbung Minangkabau. Tidak pastilah pula bagaimana idea bumbung Minangkabau ini tercetus dalam pembinaan hentian ini. Mungkinkah ada kaitan dengan sejarah Melayu Melaka?
Bumbung Minangkabau pada bangunan ini
Tidak lama kemudian ternampaklah Pagoda Matahari (saya mendapat tahu kemudian bahawa ini bukanlah Pagoda Matahari kerana Pogoda Matahari dan Pagoda Bulan terletak sebelah-menyebelah), dan kami pun tidak melepaskan peluang mengambil beberapa keping gambar bagi mengabadikan monumen ini sebagai latar belakang gambar-gambar yang diambil. Pagoda ini terletak di atas satu bukit yang dinamakan Pagoda Hill atau Bukit Pagoda.
Bergambar berlatarbelakangkan Pagoda Hill
Berselfie ramai-ramai
Kami tiba di satu jeti lagi untuk menukar bot bagi meneruskan aktiviti menyusuri Sungai Li.
Berhenti di jeti untuk menukar bot
Di sepanjang laluan bahagian sungai Li ini, kelihatan beberapa aktiviti yang dijalankan oleh penduduk tempatan seperti memancing, mandi-manda, dan membasuh pakaian.
Memancing dari atas boya
Memancing dari atas rakit
Membasuh pakaian di gigi air
Elephant Trunk Hill dari jauh
Dari jauh kami melalui Elephant Trunk Hill dan mengambil kesempatan bergambar berlatar belakangkan salah satu destinasi pelancongan yang popular di Guilin.
Setelah selesai aktiviti menyusuri Sungai Li, kami bergerak menuju kedai menjual herba dan sampai di sana lebih kurang jam 10.00 pagi. Di ruang legar kedai herba, terdapat gambar gadis Tibet, kata penjual herba, herba mereka adalah istimewa berasal dari Tanah Tinggi Tibet.
Sebaik sahaja masuk ke kedai herba, kami dibawa ke satu bilik khas, diminta membuka setokin dan kasut, kemudian merendam kaki di dalam bekas berisi air herba.
Selepas kaki direndam selama 10 minit, sepasukan tukang urut masuk untuk mengurut kaki rombongan kami. Kemudian muncul pula beberapa orang yang mengaku doktor untuk memberi penerangan tentang kesihatan pengunjung dan mengesyorkan beberapa jenis ubat herba yang sesuai bagi merawati penyakit yang dapat dikesan sama ada melalui perbualan dengan doktor itu ataupun melalui diagnosa yang dibuat oleh doktor-doktor itu.
Pemuda memakai baju makmal putih diperkenalkan sebagai doktor
Kunjungan ke kedai herba ini mengambil masa lebih kurang satu setengah jam. Selepas makan tengah hari, kami dibawa melawat ke kedai jed dan mutiara pula.
Antara barang kemas yang dijual
Di kedai jed ini, muncul seorang perempuan bernama Rose, yang mengaku adalah adik kepada pemilik kedai sambil menerangkan bagaimana membezakan di antara mutiara yang tulen dengan mutiara tiruan. Dia bertutur dalam Bahasa Inggeris, tidak berapa petah kerana masih belajar lagi katanya. Setiap pengunjung diberikan percuma sebentuk cincin bertatah mutiara tulen.
Kemudian kami dibawa ke ruangan barangan kemas berbatu jed dan bermutiara tulen. Kami ditawarkan harga potongan yang sangat tinggi untuk menarik perhatian membeli barangan kemas yang ditawarkan oleh kedai ini.
Bergambar ramai di ruang jualan batu permata
Selepas lawatan ke kedai jed, kami meneruskan perjalanan ke tempat pertujukan budaya yang bermula jam 5.00 petang. Pertunjukan ini mengisahkan seorang pengembara waktu bernama A Niu yang mengembara ke Guilin dan Yangshou. Kisah pengembaraannya dibahagikan kepada tiga bab. Bab pertama bertajuk Green Hills.
Bab Kedua bertajuk Beautifil Waves menceritakan bagaimana A Niu berkenalan dengan seorang gadis dari Kampung Yao.
Bab Ketiga pula bertajuk Mysterious Cave yang menceritakan bagaimana A Niu bertemu dengan Putera Kelawar di gua misteri dan tersentuh satu batu sumpahan yang dapat membatalkan sumpahan tersebut.
Pertunjukan kebudayaan diakhiri dengan satu acara aksi bermotosikal yang berbahaya dan persembahan nyanyian semua artis di atas pentas.
Selepas menyaksikan pertunjukan kebudayaan, kami mengunjungi barisan kedai di bawah tanah. Biasanya kedai-kedai bawah tanah ini menjadi tumpuan apabila musim sejuk melanda Guilin dan China.
Deretan kedai di bawah tanah
Selepas itu, kami naik semula ke permukaan dan meneruskan kunjungan ke gerai-gerai pasar malam berdekatan.
Berselfie di pasar malam Guilin
Kemudian kami dibawa ke restoran untuk makan malam dan solat di masjid sebelum balik ke hotel.
Pada malam itu kami mengemaskan pakaian dan barang-barang yang dibeli, menyusunnya ke dalam beg besar sebagai persediaan untuk mendaftar keluar hotel dan ke lapangan terbang antarabangsa Guilin pada keesokan harinya.