Monday, 12 January 2015

Persiapan Ke Asrama SBP dan Kolej Asasi/Matrikulasi

Esok, 13 Januari 2015, pelajar-pelajar Tingkatan 1 Sekolah Berasrama Penuh akan mula mendaftar di asrama-asrama SBP. Pada posting kali ini, saya ingin berkongsi maklumat dan pengetahuan tentang perkara-perkara yang perlu dibawa bersama ke asrama oleh ibu bapa bagi membantu memberikan keselesaan kepada anak-anak yang bakal menjadi warga SBP yang ditawarkan kepada anak-anak pelajar.


Senarai barang-barang keperluan untuk kehidupan seharian di asrama sekolah biasanya disertakan oleh pihak pengurusan SBP berkaitan di dalam surat tawaran yang diposkan ke alamat pelajar Tahun 6 yang berjaya ke SBP.

Namun berdasarkan pengalaman saya mendaftarkan lima orang anak ke asrama-asrama SBP seperti Saser (SM Sains Seremban), SAS (Sekolah Alam Shah), SAMURA (Sekolah Menengah Sains Muar), SDAR (Sekolah Dato' Abdul Razak) dan TKC (Kolej Tunku Kurshiah) perkara-perkara berikut perlu dibawa bersama:
  1. Pemutar skru untuk memasangkan engsel pada pintu loker pelajar. Pemutar skru juga digunakan untuk membuka engsel yang ada mangga tergantung padanya. Kadang-kadang pelajar lama ada kehilangan kunci mangga, mereka akan merosakkan engsel untuk membuka almari menyebabkan mangga tergantung pada engsel pintu.
  2. Engsel untuk memasukkan mangga (padlock)
  3. Kunci bulat almari bagi menggantikan kunci bulat yang mungkin rosak
  4. Kain lap untuk mengelap habuk-habuk di dalam almari pakaian
  5. Kertas pembalut untuk mengalas rak-rak di dalam almari pakaian
  6. Mangga (pandlock) sekurang-kuirangnya dua unit - satu untuk almari pakaian di asrama, satu untuk loker di bilik kelas.
Kunci dan mangga adalah perlu kerana kebiasaannya terdapat kes-kes mencuri di asrama sekolah. Kecurian biasanya tidak dilakukan oleh rakan-rakan yang sama-sama mendiami bilik asrama tetapi dilakukan oleh pelajar-pelajar dari dorm lain. Ada juga terdapat penghuni asrama yang nakal, suka membuli dan mencuri tetapi pandai berpura-pura di hadapan warden, guru dan pengetua. Mereka pandai membeli kepercayaan guru sehinggakan guru tidak mempercayai tindakan pelajar tersebut di asrama apabila diberitahu kerana mereka memegang pelbagai jawatan yang besar di sekolah seperti Ketua Pengawas, Ketua Pusat Sumber Sekolah, dan Ketua Pembimbing Rakan Sebaya. Jika pelajar-pelajar begini tidak dapat dikesan daripada awal di sekolah, kes-kes jenayah kolar putih akan berlaku di dalam masyarakat apabila pelajar-pelajar ini menjawat jawatan-jawatan penting di dalam sektor kerajaan dan sektor swasta seperti mana yang dilaporkan di dalam media massa.

Monday, 5 January 2015

Persediaan Sesi Persekolahan Awal Tahun 2015

Pada minggu ini, saya fikir semua sekolah agak sibuk kerana sesi persekolahan tahun 2015 akan bermula pada Ahad, 11 Januari 2015 bagi sekolah-sekolah yang terletak di negeri-negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor. Negeri-negeri lain pula akan memulakan sesi persekolahan tahun 2015 pada hari Isnin, 12 Januari 2015. 

Pada kebiasaannya, pegawai-pegawai dari jabatan pendidikan negeri atau pejabat pendidikan daerah akan hadir ke sekolah untuk memantau persiapan pembukaan sesi persekolahan baharu dengan membuat pemeriksaan sekolah berdasarkan instrumen pemantauan awal persekolahan yang dikeluarkan oleh pihak Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, JNJK. Pihak sekolah hendaklah memastikan setiap murid ada 1 set buku teks, 1 meja, 1 kerusi supaya sesi pembelajaran murid tidak tergendala mulai hari pertama sesi persekolahan tahun 2015.

Namum semalam, pada pagi Ahad 4 Januari 2015, saya telah dikejutkan oleh panggilan telefon daripada pengawal keselamatan sekolah, saudara Azuan yang memaklumkan seluruh sekolah terputus bekalan elektrik. Inilah antara fenomena yang berlaku kepada sekolah yang dibina di bawah projek PMC (Project Management Consultants) sebaik sahaja tempoh jaminan tamat. Bagi SMK Taman Forest Heights tempoh jaminan telahpun tamat pada 30 September 2014 yang lalu. Pada hari ini, Isnin, 5 Januari 2015, kami bergelap sehingga jam 4.00 petang barulah bekalan elektrik dapat dipulihkan. Inilah nikmatnya bekalan elektrik. Bayangkanlah saudara-saudara kita yang menghadapi bencana banjir besar di Kelantan,Terengganu dan Pahang serta beberapa negeri yang lain. Keaadaannya lebih menyedihkan daripada ini. Syukur Alhamdulillah keadaan kami jauh lebih baik.

Bagi rakan-rakan pengetua yang baharu dilantik apakah tindakan yang perlu dibuat seandainya bekalan elektrik terputus di seluruh sekolah? Catatan ini bolehlah dijadikan panduan mengurus bencana seperti ini. Jika bekalan terputus di beberapa bangunan sekolah, tindakan boleh dibuat sendiri tanpa melibatkan pihak TNB, JKR Elektrik dan Pejabat Penddidikan Daerah dengan mengenal pasti DB (distribution board) yang mana berlakunya litar pintas. Lihat suis mana litar pintas berlaku dan gerakkan ke tanda ON. Jika bekalan elektrik tidak ada di bahagian plug, kebiasaannya panel suis terletak di bahagian atas sekali pada DB. 

Bagi kes di mana bekalan elektrik terputus seenuhnya di seluruh sekolah, langkah pertama yang perlu diambil ialah menghubungi TNB untuk mempastikan ada bekalan elektrik dari sub-station TNB ke sub-station sekolah. Biasanya kedua-dua sub-station terletak dalam bangunan yang sama tetapi di dalam dua bilik yang berasingan, setiap satu adalah kawasan berpagar. Pihak TNB akan memeriksa adakah ada bekalan elektrik dari luar ke kedua-dua sub-station ini. Langkah kedua ialah menghubungi pihak JKR Elektrik untuk memeriksa circuit breaker jika bermasalah. Jangan sekali-kali cuba mengusik apa-apa suis di panel papan litar kerana bekalan elektrik di sini sangat tinggi dan boleh menyebabkan anda terpelanting. AWAS! Sekiranya pihak JKR Elektrik mengesahkan terdapat masalah pada papan litar bolehlah anda menghubungi Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Unit Pembangunan dan Bekalan dengan memaklumkan tentang bekalan elektrik  terputus ke seluruh sekolah dan nyatakan bila kejadian berlaku dan apakah tindakan awal yang telah dilakukan.

Dalam kes sekolah saya, Alhamdulillah, pihak JKR Elektrik telah mengenal pasti masalah pada circuit breaker di sub-station sekolah, dan telah membuat penetapan semula (reset) pada papan litar. Terima kasih PPD Seremban. Terima kasih Encik Nizam dan Encik Bob dari JKR Elektrik Seremban. Terima kasih TNB Seremban. Semoga Allah membalas jasa kalian. Amin.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...