Tuesday, 19 March 2013

Kursus Membina dan Mengurus Blog untuk Pengetua

Alhamdulillah, pada hari ini, saya berjaya mengendalikan kursus membina dan mengurus blog untuk  19 orang rakan pengetua yang berminat menceburi dunia blogging. Terima kasih kepada semua rakan pengetua yang sudi menghadiri kursus ini dan tahniah kerana berjaya menghasilkan blog sendiri. 

Kursus ini dinamakan kursus membina dan mengurus blog kerana membina blog adalah sesuatu yang boleh dianggap mudah. Namun untuk meneruskan penulisan atau penghantaran posting adalah sesuatu yang sukar kerana kesibukan tugas pengetua dalam menguruskan sekolah masing-masing. Sering kali kita dapati begitu banyak laman blog yang dapat dicipta, tetapi akhirnya sedang kita asyik mengikuti blog tersebut, penulisnya sering kali berhenti di pertengahan jalan. Oleh kerana itu mengurus blog adalah satu aktiviti yang sangat penting supaya penulisan blog dapat diteruskan secara berkala.



Harapan saya adalah semua pengetua di Negeri Sembilan dapat membina dan mengurus laman blog sendiri supaya segala pengalaman berkaitan keguruan dan pengurusan serta pentadbiran sekolah yang dikumpul begitu lama sepanjang karier rakan-rakan pengetua dapat dirakamkan dalam bentuk penulisan blog. Akhirnya pengetahuan dan pengalaman ini dapat dikongsi bersama dengan guru-guru dan bakal pengetua supaya ianya dapat membantu meningkatkan lagi tahap profesionalisme guru dan pengurus pendidikan dalam mencapai 11 aspirasi dalam 3PM, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Monday, 18 March 2013

PBS Sepintas Lalu

Isu tentang Pentaksiran Berasaskan Sekolah, PBS, sering diperkatakan baik dalam kalangan guru, murid mahupun ibu bapa dan penjaga pelajar. Bagi menjelaskan lagi maksud PBS, Lembaga Peperiksaan Malaysia telah mengeluarkan Surat Pekeliling Lembaga Peperiksaan Bil.2 Tahun 2011.


Menurut surat pekeliling itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan penambahbaikan terhadap Sistem Pentaksiran Kebangsaan bagi PMR iaitu melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah dengan wajaran 100% sepenuhnya pada tahun 2014 bagi murid-murid Tingkatan 3. Murid-murid Tingkatan 1 pada tahun 2012 akan mula melaksanakan PBS bagi PMR ini.

Komponen PBS dengan wajaran 100% dalam Sistem Pentaksiran Kebangsaan merangkumi 4 jenis pentaksiran iaitu:
  1. Pentaksiran Sekolah iaitu pentaksiran yang dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru sekolah berasaskan standard prestasi. Penjaminan kualiti pentaksiran dijalankan melalui pemantauan dan penyelarasan.
  2. Pentaksiran Pusat iaitu pentaksiran yang dilaksanakan di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan tugasan yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan dalam tempoh tertentu mengikut mata pelajaran tertentu berasaskan standard prestasi. Penjaminan kualiti pentaksiran dijalankan melalui pemantauan dan penyelarasan.
  3. Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) iaitu pentaksiran yang dilaksanakan di peringkat sekolah oleh guru untuk mengukur dan menilai prestasi, penglibatan dan penyertaan murid dalam aktiviti jasmani, kesihatan, sukan dan kokurikulum.
  4. Pentaksiran Psikometrik iaitu pentaksiran yang dilaksanakan di peringkat sekolah dan/atau pusat untuk mengukur kebolehan semula jadi, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid.
Pada pandangan saya, PBS ini adalah suatu pentaksiran yang sangat baik kerana murid-murid dapat dinilai secara headcount, namun ia menimbulkan rungutan dalam kalangan guru kerana terpaksa menyediakan pelbagai alat pentaksiran dan kemudahan penyimpanan fail yang banyak perlu disediakan. Di pihak Lembaga Peperiksaan pula mengatakan tak perlu menyimpan terlalu banyak evidens. Ini semua menimbulkan kerumitan dan kekeliruan yang bukan sedikit mungkin disebabkan penjelasan LPM yang tidak dapat dihayati sepenuhnya oleh guru-guru yang bertindak sebagai pentaksir. 

Bagi menyelaraskan pemahaman ini, saya mencadangkan, bahan-bahan dan alat-alat serta apa-apa pun kaedah pentaksiran sebaik-baiknya disediakan oleh pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia sendiri seperti mana yang dibuat dengan peperiksaan PMR sebelum ini. Janganlah semuanya dibebankan ke atas bahu guru-guru di sekolah. Pegawai-pegawai di Lembaga Peperiksaan itupun asalnya adalah guru di sekolah juga sebelum ini, tetapi pengalaman mereka menjadi guru di sekolah dahulu tidaklah sama dengan keadaan guru di sekolah masa kini. Cabaran mengajar dahulu jauh berbeza daripada cabaran sekarang yang lebih hebat lagi terutamanya apabila berhadapan dengan generasi Y yang berada di sekolah hari ini. Jika tidak nanti berlakulah apa yang sering berlaku sebelum ini...Disuruh Lain...Dibuat Lain.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...