Bulan Mei dan bulan Jun merupakan bulan yang paling sibuk kepada ibu bapa serta para lepasan SPM kerana kemasukan ke universiti dan kolej bermula. Mungkin Universiti Kuala Lumpur merupakan institut pengajian tinggi swasta yang pertama mengambil pelajar. Ini kerana pada 13 Mei 2012, kumpulan pelajar yang mengambil kursus asasi sains dan teknologi atau Foundation In Science and Technology Universiti Kuala Lumpur (FIST UniKL) mula mendaftar di Kolej Mara Kuala Nerang, Kedah. Kebetulan anak ketiga saya mendaftar di sana. Kolej-kolej Matrikulasi Kementerian Pelajaran pula mula mengambil pelajar pada 28 Mei 2012.
Kehidupan yang paling menyeronokkan adalah sebagai pelajar |
Kepada ibu bapa dan penjaga yang anak mereka baru pertama kali menjejak kaki ke asrama, saya senaraikan beberapa barang keperluan yang perlu dibawa secara umumnya. Walau bagaimanapun ada beberapa kolej atau institut yang ada menyediakan beberapa kelengkapan yang termasuk dalam bayaran pendaftaran. Senarai ini hanyalah sebagai panduan sahaja:
- Kain buruk untuk mengelap meja dan almari pakaian. Ini kerana terdapat banyak habuk yang berkumpul kerana pada kebiasaannya tiada pekerja yang ditugaskan untuk membersihkan bilik asrama semasa cuti akhir semester pelajar terdahulu.
- Dua set mangga dan kunci untuk (1) almari pakaian dan (2) kabinet menyimpan buku dan fail di bilik kelas, jika disediakan.
- Empat keping kertas pembalut hadiah untuk mengalas meja dan rak-rak dalam almari pakaian.
- Selotep, sebaik-baiknya double cellotape untuk melekatkan kertas pembalut tadi.
- Penyapu, jika perlu untuk menyapu lantai bilik asrama.
- Beg pakaian kecil untuk kegunaan balik kampung semasa cuti pertengahan semester dan cuti semester.
- Beg sandang atau beg galas untuk mengisi kertas menyalin nota, alat tulis dan latihan-latihan yang bakal diberikan oleh pensyarah kolej yang akan dibawa ke kelas.
- Baldi untuk merendam pakaian sebelum dibasuh.
- Salinan sijil-sijil, salinan kad pengenalan ibu bapa, dan salinan slip gaji ibu bapa yang telah disahkan. Kegunaannya untuk memohon bantuan pelajaran atau biasiswa jika ditawarkan.
Akhir sekali, tahniah diucapkan kepada semua pelajar-pelajar lepasan SPM yang berjaya menjejakkan kaki ke kolej matrikulasi, kolej asasi dan yang setara dengannya. Semoga anda berjaya menjadi pewaris bangsa Malaysia yang bepengetahuan dan berkemahiran tinggi dan dapat membantu memajukan negara Malaysia yang kita cintai bersama ini.